terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 4, 2010

Kewajaran naik harga gula tak semanis diharap

KENAIKAN harga gula sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram berkuat kuasa 1 Januari lalu disambut dengan reaksi yang pelbagai oleh segenap lapisan masyarakat. Ada yang menyifatkan kenaikan itu keterlaluan bagi golongan berpendapatan rendah dan meminta kerajaan mengkaji semula harga komoditi berkenaan dan ada pula mengaitkan kenaikan itu, bakal menimbulkan banyak kesan negatif seperti kenaikan harga makanan serta minuman. Namun, bagi golongan yang mementingkan kesihatan pula berpendapat kenaikan harga gula sepatutnya sudah dibuat sejak dulu lagi berdasarkan peningkatan pesakit diabetes, jantung serta mereka yang mengalami masalah obesiti di negara kita. Statistik pada 2009, menunjukkan 17 peratus daripada 27 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes, manakala data pada 2006 pula menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obes. Golongan ini berpendapat, kerajaan menanggung beban berjuta-juta ringgit setiap tahun bagi memberi subsidi gula sedangkan pada masa sama jumlah pesakit diabetes, kardiovaskular dan obesiti kian meningkat. Apapun, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu menjadikan harga bahan berkenaan naik kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung dan RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagaimanapun menegaskan kerajaan masih menanggung kos subsidi gula yang besar sebanyak RM1.008 bilion walaupun selepas harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen.

Bagi kerajaan, kenaikan harga gula tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga gula mentah dunia sejak Ogos tahun lalu. Namun kesan kenaikan 20 sen mungkin amat dirasakan golongan berpendapatan rendah terutama akibat tempias kenaikan pada harga barangan dan minuman yang dihasilkan melalui penggunaan gula. Tiada jaminan pihak industri pengeluaran makanan dan minuman serta pengusaha restoran tidak menaikkan harga barangan mereka kerana kenaikan 20 sen sekilogram gula, akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran maksimum sebanyak lima sen. Sebagai contoh, bagi setiap 500 gram krimer pekat manis, sebanyak 230 gram daripadanya adalah gula dan dengan mengambil kira pengiraan kenaikan 20 sen bagi sekilogram gula, harga krimer pekat manis itu membabitkan kenaikan 4.8 sen. Begitu juga dengan teh tarik yang akan membabitkan kenaikan harga sekitar 0.8 sen jika mengambil kira kandungan 40 gram gula dalam segelas minuman itu. Itu pun jika peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga yang lebih tinggi. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu memantau keadaan ini supaya tidak dieksploitasikan. Kini pula berlaku krisis bekalan gula di beberapa negeri sejak seminggu lalu, gara-gara pembekal menyorok bahan itu, bagi mendapat keuntungan segera meskipun ia stok lama. Kita berharap keadaan tidak menjadi seteruk 2006, iaitu kali terakhir masalah kekurangan gula berlaku berikutan perbuatan menyorok bekalan, gara-gara khabar angin ketika itu harga gula akan dinaikkan.

- sumber Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...