terima kasih buat kalian semua..

Friday, January 15, 2010

Kunta Kinte: Masuk tak keluar cukup bahaya


Syarat keluar visa, permit kerja warga asing elok diperketat

DALAM istilah tidak rasmi, ada negara yang dipanggil 'bread basket' atau negara bakul roti kerana banyak mengeluarkan bijirin. Ada yang digelar 'food basket' atau bakul makanan kerana mengeluarkan makanan yang banyak. Ada pula yang dilabelkan 'basket case', iaitu negara muflis yang hidup atas belas kasihan negara-negara lain.

Negara kita bukan negara bakul roti. Malah kita mengimport beras dan gandum dengan banyak. Kita pun bukan negara bakul makanan kerana kita masih mengimport makanan. Pada 2008, import makanan kita berjumlah RM28 bilion.

Alhamdulillah kita bukan negara 'basket case' dan harap-harap janganlah jadi negara yang mengemis akibat silap langkah.

Tapi maaf cakaplah. Nampak-nampaknya negara kita sudah boleh dibagi label negara 'rubbish bin' atau negara tong sampah.

Macam mana Kunta Kinte tak kata macam tu, tengok sajalah betapa ramainya pendatang yang tidak diingini di negara kita.

Maaf cakaplah. Ramai daripada pendatang itu negara lain memang tak mahu. Tapi kita ni baik hati atau kurang teliti kita terima juga mereka.

Maka macam-macamlah masalah yang kita hadapi � jenayah, penyakit, kekotoran, ketiadaan disiplin dan meminta sedekah.

Yang masuk secara haram tu lain ceritalah. Sempadan kita panjang. Ada laut ada hutan belantara. Kawalan sempadan tidak memadai dan selalu bolos kerana pegawai rasuah.

Yang datang dengan visa pun boleh hilang macam orang ghaib. Tak tahulah Kunta Kinte jika 40,000 rakyat India yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata lesap itu guna ilmu ghaib, kena culik orang bunian atau dibawa ke angkasa lepas oleh UFO.

Jangan main-main. Ramai pendatang India, Bangladesh dan Pakistan segak macam Shah Rukh Khan dan Hrithik Roshan. Mana tahu orang bunian kita pun naik berahi.

Bukan pendatang benua India saja yang hilang. Perempuan benua China yang datang dengan visa pelajar dan visa pelawat pun hilang juga.

Boleh kata semua hilang tak kira dari Indonesia, Bangladesh, Thailand, Vietnam, Burma, Burkina Faso atau Argentina.

Pendek kata, banyak yang masuk tapi tak keluar. Bila masuk, tapi tak keluar memang susah. Macam-macam boleh jadi.

Bila Perdana Menteri bersuara, pak-pak menteri dan kepala-kepala jabatan pun apa lagi. Buatlah janji, ikrar dan sumpah akan buru Pati (pendatang tanpa izin) dan PELES (pendatang yang lesap) habis-habisan. PELES tu ciptaan Kunta Kinte.

Kunta Kinte harap janganlah jadi HHTA (hangat-hangat tahi ayam) sekali lagi. Hangat-hangat tahi ayam tak guna satu duit.

Tapi tahi ayam, bila dah sejuk, reput dan kering boleh dibuat baja. Cuma jangan guna untuk cabai sebab tidak serasi.

Kunta Kinte pernah dibagi jaminan yang sama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri bila Kunta Kinte tanya masalah pendatang. Dia kata sedang ditangani.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein janganlah melenting. Kunta Kinte tahu Muhyiddin Timbalan Perdana Menteri, tetapi bukan Menteri Dalam Negeri dan Hishammuddin pula Menteri Dalam Negeri, tapi bukan Timbalan Perdana Menteri.

Bukan mereka yang Kunta Kinte maksudkan. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri yang Kunta Kinte maksudkan adalah Tun Musa Hitam. Waktu tu dia baru Datuk. Itu cerita pada 1982. Musa letak jawatan tahun 1986.

Itu cerita lama. Cerita 18 tahun lalu masa Kunta Kinte ikut Musa pergi taklimat mengejut jabatan-jabatan kerajaan di Kuala Terengganu.

Biasalah. Bila mula-mula naik pangkat memang komited. Orang putih kata 'new broom sweeps cleaner'. Maklumlah bila penyapu baru, sapuannya pun bersih. Tapi lama-lama, bila dah longgar dan jarang, banyaklah sampah dan debu yang terlepas.

Kunta Kinte rasa, eloklah kita perketat syarat pengeluaran visa dan permit kerja kepada orang asing. Memanglah mudah dan murah guna pekerja asing.

Tapi sampai bila kita nak bergantung kepada pekerja asing dan biarkan rakyat kita sendiri merempat jadi penagih dadah, pelumba haram, GRO dan buruh kasar?

Bukan apa. Kera di hutan yang kita susukan itu tak boleh mengundi. Tapi anak di rumah yang kita biarkan kelaparan itu boleh mengundi.


1 comment:

  1. Salam.

    Tak berapama dulu heboh diceritakan seramai 50 ribu "pelancung" dari negara China lesap. Kita tak tau yang apa kesudahan cerita.

    Baru-baru ini 40 ribu "pelancung" India masuk ke negara kita, dan lesap juga.

    Aku taklah hairan kalau 1 orang atau 10 orang lesap.

    Sudah 90 ribu orang warganegara asing datang ke Malaysia, lesap. Pelek sangatlah.

    Walau pun mereka dikatakan tak boleh mengundi yang boleh menjejaskan negara,apa susah sangatkah kalau ada pihak yang mampu berusaha untuk membolehkan 90 ribu orang bukan warnegara ini "didaftarkan" sebagai pengundi. 90 ribu tu ramai dan boleh mengalahkan beberapa kerusi parlimen !!

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...