terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 31, 2010

Lelaki Melayu tidak romantik?


LELAKI Melayu tidak romantik? Pasti ada yang bersetuju dan sebaliknya. Persoalan ini bukan baru. Ketika pekerja asing terutama dari Bangladesh dan Pakistan berduyun-duyun masuk ke Malaysia, isu ini hangat diperkatakan.

Khabarnya gadis tempatan berpinar mata untuk membuat pilihan.

Selain kelihatan segak, bergaya - lelaki asing dikatakan ada faktor ekstra iaitu romantik. Tidak kurang juga memilih lelaki dari negara sempadan. Sampai sanggup buang emak, buang saudara semata-mata mahu mengikat kasih dengan lelaki bukan Melayu.

Bagaimanapun pula lelaki bukan Melayu tempatan. Lelaki berbangsa Cina, India? Romantikkah mereka berbanding kaum sejenis tetapi berketurunan Melayu?

Bertambahkah angka perkahwinan campur antara gadis Melayu dan lelaki bukan Melayu? Jika meningkat mungkin boleh dijadikan fakta sokongan bahawa lelaki bukan Melayu memang romantik. Sebab itu agaknya mereka berjaya menambat hati gadis Melayu.

Istilah romantik pun bukan lahir dalam masyarakat Melayu. Ia istilah bahasa Inggeris, yang jika dirujuk kepada kamus diterjemahkan menjadi romantis. Tidak ada penjelasan lanjut perihal romantis.

Justeru romantik atau romantis itu sifat sebenarnya sangat subjektif. Boleh jadi ia gabungan sifat penyayang dan mengambil berat. Atau ada elemen membeli jiwa yang keterlaluan - bak kata anak-anak muda sekarang ini tangkap lentok, tangkap leleh.

Ada juga mengaitkan romantik dengan sikap mengambil berat bagi perkara yang dianggap oleh lelaki Melayu remeh-temeh. Misalnya sanggup bangun memberi tempat duduk kepada wanita. Maknanya ada elemen baik hati dalam romantik.

Lelaki Melayu tidak kisah benda remeh-

temeh. Untuk bangun memberi laluan atau tempat duduk sememangnya bukan perkara yang gemar dilakukan oleh lelaki Melayu.

Bukan juga amalan lelaki bukan Melayu tempatan. Justeru jika dikatakan lelaki Melayu tidak romantik mengambil kira keprihatinan perkara remeh-temeh, memang ada benarnya. Tetapi bukan lelaki Melayu saja. Pendek kata semua lelaki tempatan bersifat begitu.

Itu belum lagi disentuh bab mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan, tarikh bertemu yang bagi wanita atau gadis sangat penting. Memang bagi wanita semua tarikh penting, malangnya tidak bagi lelaki

Sebab itu ada lelaki Melayu menghantar sejambak bunga dua hari sebelum ulang tahun kelahiran isteri atau teman wanitanya. Bila ditanya untuk apa bunga itu, dia baru tersedar dan memberi alasan kononnya kejutan pra hari jadi. Itulah lelaki Melayu. Bukan saja tidak romantik, tetapi golongan itu juga selamba dan dikatakan bijak membuat alasan.

Kesemua itu bertujuan menutup kesalahan dan kelemahan yang amat ketara iaitu tidak romantik.

Ada juga berpendapat, lelaki tempatan terutamanya Melayu romantik berkala. Ada masa tertentu alahai romantiknya dia. Apabila taufan melanda, hilang romantik - tanggung sajalah padahnya.

Popular

Bercakap mengenai lelaki warga asing romantik, perlu dilihat juga sejauh mana benarnya rumusan itu. Lelaki asing menumpang di negara ini. Semestinya mereka mahu mengambil hati semua orang. Lebih-lebih lagi hati anak gadis. Kadang-kadang jiwa isteri orang pun cuba dibelinya. Untuk menjadi ‘popular’ di negara orang, maka antara yang perlu ditonjolkan adalah sifat romantik.

Sebab itu apabila hutang karpet tidak dibayar, jawab penjual karpet warga asing dengan nada romantik : ‘‘Tidak apa, lain hari saya datang boleh bayar.’’

Semestinya romantik itu untuk membeli hati atau dengan ayat yang lebih tepat mahu jaga kepentingan diri agar diterima masyarakat setempat. Lebih daripada itu dapat memikat gadis tempatan. Selesai kasih terjalin dan hubungan dipateri dengan ikatan perkahwinan, romantik ke mana ambil berat pun melayang nun di sana.

Lebih malang lagi ramai gadis ditinggalkan begitu saja. Umpama habis madu sepah dibuang. Sifat romantik lelaki dijaja pula ke tempat lain atau kembali ke negara sendiri. Ketika itu menjelmalah sifat sebenar lelaki - tidak kira sama ada warga asing, Melayu atau bukan Melayu.

Apa sifat sebenar itu? Sememangnya lelaki Melayu tidak romantik. Rakan sekerja - lelaki - membuat pengakuan jujur bahawa lelaki memang tidak romantik. Sempat dan selamba dia menambah: ‘‘Bukan saja tidak romantik, lelaki boleh saja dikatakan gatal!’’

Tidak ada rasa bersalah sedikit pun lelaki itu membuat pengakuan. Jika lelaki sendiri mengaku sedemikian, maka apa lagi yang boleh dirumuskan oleh wanita. Tidak kira tempatan atau asing - itulah lelaki. Paling ketara, lelaki tidak suka perkara remeh-temeh. Apa saja berkaitan remeh-temeh diserahkan kepada wanita.

Lelaki tidak betah melakukan perkara kecil-kecil, lantas wanita diberi tugas sedemikian. Sedangkan bagi wanita tiada benda di dunia ini remeh-temeh. Semuanya penting dan mesti diberi keutamaan. Sebab itu wanita mampu mengingati tarikh, sering mengalah dan sarat dengan kemaafan.

Biarpun lelaki mendabik dada bersikap sama rata dan menghormati wanita, namun dalam kebanyakan hal tidak begitu. Lelaki masih berselindung di sebalik ego dan bertindak secara ‘tersurat’ tidak membenarkan wanita menandingi mereka.

romantik

Lelaki juga terlalu mengutamakan ego, jauh menidakkan lagi kenyataan kononnya golongan itu romantik. Lantaran ego juga adakalanya lelaki tidak kisah kehilangan atau melepaskan miliknya. Lantaran ego itu juga adakalanya lelaki ‘menggantung’ pasangan hidupnya.

Tuhan mengatur lelaki dan wanita berpasangan, tetapi Tuhan tidak menetapkan lelaki itu lebih mulia dari wanita semata-mata sehingga melayakkan mereka mengetepikan hak wanita itu sendiri.

Biar tidak romantik, lelaki sepatutnya ada rasa hormat terhadap wanita. Wanita bukan tempat dilontarkan kata-kata yang sarat dengan ‘maksud berlapik’. Lantaran lelaki mesti ingat, dalam hidup mereka ada ibu yang melahirkan mereka ke dunia - ibu itu ialah wanita. Justeru romantik bukan kriteria penting untuk wanita memilih lelaki, ada yang lebih daripada itu - sikap menghormati.

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

1 comment:

  1. Mungkin jadi romantik kerana terlalu banyak makan bawang maka bau peluh mereka sangat beraroma dan meromantik kan sesap yg tercium bau yg khas tuh......

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...