terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 18, 2010

MAMAK!!! TEH TARIK WUNNEY...PERE GLASS..


PENGUNJUNG tetap restoran mamak di sekitar Lembah Klang mungkin selalu atau pernah mengalami keadaan di mana pelayannya membawa makanan atau minuman lain daripada apa yang diminta. Jika teh ais yang diminta, kopi ais dibawa atau roti telur yang dipesan, tosei yang datang. Malah ada ketikanya, bila membuat pesanan atau meminta bil bayaran, pelayan terbabit akan memanggil rakan lain atau ketua mereka untuk melayan pelanggan.

Sebabnya ialah kebanyakan pelayan di restoran jenis ini adalah warga India yang baru tiba untuk bekerja, menggantikan rakan mereka yang baru tamat tempoh lawatan ke negara ini dan tidak tahu langsung bercakap Melayu atau Inggeris. Sejak kebelakangan ini, masalah serupa turut berlaku di restoran Cina, bistro, steak house, malah di restoran kelab golf, yang mengambil warga dari China dan Myanmar sebagai pekerja.
Itu belum termasuk pekerja di kedai-kedai urut kaki yang bersepah di sekitar Lembah Klang atau pelayan rumah urut badan dan ‘pelayan pelanggan’ pusat-pusat hiburan yang saban minggu ditahan melalui serbuan pihak berkuasa. Kita tidak tahu sama ada mereka ini mempunyai permit pekerjaan atau sebahagian daripada warganegara India dan China yang dilaporkan ‘hilang’ di negara ini selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Yang kita pasti, rakyat tempatan berkongsi kebimbangan Datuk Seri Najib Razak, yang disuarakannya ketika menemui wartawan India di pejabatnya minggu lalu. Menurut Perdana Menteri, sejumlah 39,046 warganegara India ‘hilang’ selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen. Sebelum ini dilaporkan lebih 50,000 warga China hilang dengan cara sama. Belum ada laporan rasmi mengenai jumlah warga Afrika yang hilang seperti itu tetapi berdasarkan pelbagai kerenah mereka di negara ini sekarang, ia turut membimbangkan rakyat tempatan yang sudah lama menghadapi masalah dengan kehadiran pendatang dari Indonesia.

Bagaimanapun, fenomena rakyat asing hilang ini turut membabitkan warga Malaysia di luar negara. New Sunday Times semalam melaporkan, dianggarkan 30,000 rakyat negara ini tinggal secara haram di Britain, Australia dan Jepun, selain sebilangan lagi ‘hilang’ di Kanada dan Amerika Syarikat. Kebanyakan mereka ialah pelajar yang selepas menamatkan penggajian mereka di sana, enggan pulang kerana mahu mencari pekerjaan. Kerana itu, negara berkenaan mula mengetatkan pemantauan kehadiran rakyat Malaysia di negara mereka walaupun sebagai pelancong.

Britain dilaporkan akan menyemak semula pada 2011 cadangan untuk mengenakan visa terhadap pelawat dari Malaysia berikutan kira-kira 20,000 rakyat negara ini tinggal secara haram di sana. Sebarang tindakan Britain terhadap kemudahan yang dinikmati Malaysia itu, dikhuatiri menjadi ikutan negara Eropah lain. Peningkatan warga asing hilang di negara ini dikesan sejak kerajaan memperkenalkan pemberian Visa Waktu Ketibaan (VOA) pada 2006 bertujuan menggalakkan lebih ramai pelancong melawat negara ini.

Namun, selepas kira-kira dua tahun diperkenalkan, kerajaan mendapati hampir 30 peratus daripada 251,908 visa yang dikeluarkan disalahgunakan, membabitkan lebih 70,000 pelancong, kebanyakannya berasal dari negara berkonflik dan miskin. Sebahagian mereka pula menjadikan Malaysia sebagai transit ke negara ketiga melalui bantuan sindiket antarabangsa. Anehnya, pihak berkuasa pelancongan sejak akhir-akhir ini nampaknya memberi tumpuan kepada China dan India, kononnya rakyat dua negara itu antara kumpulan pelancong paling ramai datang ke negara ini.

Memang jika angka kemasukan yang diinginkan dan dijadikan asas ukuran jumlah kedatangan pelancong, rakyat Indonesia, China dan India paling ramai datang ke negara ini. Soalnya apakah mereka ini benar-benar datang sebagai pelancong, tinggal di hotel dan pusat peranginan, makan di restoran atau memenuhi gedung beli-belah kita? Jawapannya ialah hanya sebilangan kecil rakyat negara terbabit berbuat demikian kerana ramai yang datang untuk bekerja, bukan saja secara haram malah melakukan kegiatan haram seperti jenayah dan pelacuran.

Malah tidak salah untuk kita mengandaikan peningkatan jenayah sejak kebelakangan ini turut disumbangkan oleh kehadiran ‘pelancong’ seumpama ini. Sementara kita memerlukan kehadiran pekerja asing dan pelancong untuk memacu pertumbuhan ekonomi, kita tidak mahu kedatangan mereka menimbulkan padah kepada rakyat tempatan dan masa depan negara. Jika negara maju yang turut bergantung kepada pekerja asing dan pelancongan, mengambil tindakan lebih ketat dan tegas terhadap kemasukan rakyat asing, kita juga perlu berbuat demikian.

Tanggungjawab ini pula tidak seharusnya dibebankan kepada Jabatan Imigresen semata-mata tetapi semua pihak berkaitan. Jangan hanya menunggu Perdana Menteri bersuara, barulah pelbagai pihak termasuk ahli politik sibuk mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan tetapi kemudiannya sepi semula.

Penyelesaian masalah ini bukan setakat mengkaji semula pemberian VOA tetapi memerlukan pendekatan bersepadu membabitkan semua agensi terbabit seperti imigresen, polis, pihak berkuasa tempatan, sumber manusia, pelancongan, pengajian tinggi dan majikan yang menggaji pekerja asing. Lebih penting lagi ialah sejauh mana kesungguhan kita untuk menanganinya dan tidak tunduk kepada desakan atau rayuan pihak tertentu apabila tindakan tegas diambil nanti.

Oleh Manja Ismail


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...