terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 5, 2010

Masih ramai rakyat yang belum dapat kemudahan air bersih..

BERITA wilayah jam 6 petang di RTM1 Ahad lalu antara lain memaparkan berita mengenai bekalan sumber air bersih bagi penduduk sekitar zon Kota Klias Beaufort, Kuala Penyu dan Menumbok dengan kuantiti bekalannya bakal dimaksimumkan dan dijangka bermula minggu kedua Januari 2010, sejajar pertambahan penduduk di kawasan terbabit.

Tahniah kepada pemimpin yang mewakili kawasan berkenaan. Loji baru dibina di sekitar Kampung Mempagar, Beaufort bersumberkan air dari Sungai Padas, sudah hampir mula beroperasi.

Pada masa sama penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan tidak lama lagi bakal menikmati manfaat melalui saluran kedua jaringan paip air yang juga bersumberkan dari Sungai Padas dengan loji rawatan air di Kampung Lawa sudah diperbesarkan bagi mengoptimumkan pengeluarannya untuk kegunaan penduduk di Pulau Bebas Cukai itu.

Ironinya, bagi kami di Kampung Suasa dan beberapa kampung sepanjang laluan Sungai Padas yang mendiami tebingannya sejak beberapa generasi, masih belum memperoleh walau setitik pun sumber air terawat hasil dari sungai ini.

Pada hal penduduk yang jauh di Labuan sudah mendapat manfaatnya sejak berpuluh tahun lalu. Malah bagi kebanyakan kami, cara memperoleh air dari sungai ini juga masih sama seperti sebelum merdeka lagi.

Bagi kediaman yang sudah memperoleh kemudahan paip pula menghadapi masalah bekalan yang sangat terhad sehingga ke tahap sifar (angin saja yang keluar dari batang paip), dan masalah ini berlarutan sejak sekian lama.

Kami mohon perhatian pihak berwajib dan pemimpin bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan ini.

AWANG DUERAMAN,
Beaufort, Sabah.


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...