terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 13, 2010

Mekanisme baru minyak mesti adil


KERAJAAN akan memperkenalkan mekanisme baru bagi menentukan sama ada seseorang warganegara itu layak atau tidak mendapat subsidi petrol bermula 1 Mei ini. Selain penggunaan MyKad, kaedah lain yang mungkin ditetapkan kerajaan dalam menentukan subsidi ini adalah kapasiti enjin kenderaan.

Dalam erti kata lain, golongan berpendapatan sederhana atau tinggi yang memiliki kenderaan berkapasiti besar
mungkin tidak layak menerima subsidi atau berdepan kemungkinan membeli harga petrol lebih tinggi.

Bagaimanapun, sebelum kerajaan atau Kementerian Kewangan melaksanakan mekanisme ini, beberapa perkara perlu diambil kira dalam memutuskan perkara ini supaya rakyat yang dianggap berkereta dengan kapasiti besar adalah golongan mewah tidak diabaikan dalam konsep 'Rakyat Didahulukan'.
Pertama kerajaan perlu sedar golongan berpendapatan sederhana dan tinggi adalah pembayar cukai tegar berbanding mereka berpendapat rendah terutama di bawah RM3,000 sebulan yang boleh dianggap terlepas bebanan membayar cukai pendapatan.

Selain itu, golongan ini juga sudah membayar duti eksais lebih tinggi ketika membeli kenderaan, malah cukai jalan juga lebih mahal berbanding kenderaan berkapasiti rendah.

Dalam pembentangan Bajet 2010 tahun lalu, kerajaan juga mewajibkan setiap AP kenderaan dikenakan bayaran RM10,000 sebuah dan semestinya pengedar dan penjual kenderaan mengenakan beban ini dibahu pembeli.
Mengambil kira perkara di atas bermakna golongan yang dianggap berpendapatan tinggi dan memiliki kenderaan berkapasiti besar sudah membayar jumlah besar kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan sebagainya termasuk insurans kenderaan.

Namun, amat malang sekali jika kerajaan memutuskan mekanisme itu nanti, golongan ini yang menjadi mangsa kena membayar harga petrol lebih tinggi atau tidak mendapat subsidi.

Memang benar, pemberian subsidi minyak ditumpukan kepada mereka berpendapatan rendah tetapi golongan ini sudah menerima banyak kemudahan termasuk penurunan cukai jalan oleh kerajaan sebelum ini.

Sebagai contoh, motosikal hanya RM2 manakala kereta bermotor dengan kapasiti 1,300 kuasa kuda hanya di bawah RM80 saja.
Ini bererti golongan berpendapatan rendah sudah mendapat banyak manfaat daripada kerajaan dengan potongan cukai serta pemberian subsidi sedangkan ada antara mereka tidak membayar cukai pendapatan.

Selain itu, bagaimana pula dengan mereka yang dianggap berpendapatan rendah tetapi mampu memiliki dua atau tiga kenderaan atau berpendapatan tinggi sebaliknya memiliki kenderaan berkapsiti rendah tiga atau empat buah? Perkara ini sudah lumrah dalam kehidupan rakyat di negara ini terutama di bandar utama.

Persoalannya, apakah mereka juga tidak dianggap golongan berpendapatan besar yang tidak sepatutnya menerima subsidi petrol?

Seperkara lagi, seperti saya yang memiliki MPV tujuh tempat duduk berkapasiti lebih 2,000 kuasa kuda, pasti dianggap berpendapatan besar sedangkan kenderaan itu bagi menampung ahli keluarga yang ramai.

Justeru, Kementerian Kewangan perlu meneliti semua perkara itu sebelum memutuskan mekanisme ini dengan tidak menafikan hak golongan berpendapatan sederhana, tinggi atau memilik kenderaan berkapasiti besar sedangkan sudah banyak mereka sumbang kepada kerajaan.

DZULHELMI AHMAD,
Setapak, Kuala Lumpur.


1 comment:

  1. Salam terima kasih kerana linkkan blog saya di sini, saya hargai anda, semoga jasa baik anda untuk mengembangkan dakwah Islam dalam masyarakat yang sedang melupakan Allah ini mendapat nikmat yang setimpal dengan kerja baik anda, saya doakan anda di murahkan rezeki amin.....

    Saya masukkan blog anda di megalink saya, terima kasih atas kerjasama

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...