terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 16, 2010

Memahami masalah masyarakat majmuk


Menghormati setiap agama elemen penting elak perpecahan

DI kebanyakan negara, kewujudan masyarakat majmuk atau sesebuah negara yang didiami pelbagai kaum, berpunca daripada kesan penjajahan. Pada peringkat awal, apabila ada kuasa lain menjajah di sesebuah negara, ia turut membawa pengaruh dan kuasanya. Jika daripada bangsa dan penganut agama yang berbeza, mereka juga membawa agama mereka sekali, terutama jika salah satu misi mereka adalah untuk mengembangkan agama. Ini sering dikaitkan dengan penjajahan oleh satu bangsa dan penganut agama yang lain ke atas bangsa dan penganut agama yang lain.

Di Asia Tenggara, kajian mengenai kolonialisme jelas membuktikan negara dan bangsa penjajah membuka ruang kepada pendatang luar untuk masuk ke negara yang dijajah atas pelbagai faktor. Di Malaysia, bila British menjajah, mereka memberi ruang kepada kaum Cina masuk ke negara ini untuk mengusahakan lombong bijih timah dan kaum India untuk bekerja di estet. Mereka masuk ke sesebuah negara itu bersama adat, budaya dan agama masing-masing. British membawa agama Kristian, Cina dengan kepercayaan Taoisme atau Buddha, manakala orang India dengan Hindu.

Penghormatan kepada setiap agama menjadi penting kerana ia adalah satu elemen yang boleh menyebabkan pertelingkahan sekiranya isu yang membabitkan agama tidak diberi perhatian. Itulah sebabnya isu yang berkaitan soal agama termaktub dalam Perlembagaan. Setiap kaum mestilah menghormati agama kaum lain, walaupun negara itu mempunyai agama rasminya sendiri. Di Malaysia, agama rasmi ialah Islam.

Disebabkan setiap kaum beramal mengikut kepercayaan kepada agama masing-masing, mereka menerima hakikat hidup dalam sebuah negara yang mempunyai perbezaan kepercayaan agama yang sangat ketara. Mereka bukan saja berbeza dari segi warna kulit dan bangsa, tetapi juga kepercayaan beragama. Agama adalah isu yang dianggap paling sensitif kerana ia mudah menjadi punca perbalahan sesama rakyat dan jika membabitkan negara, boleh mencetuskan peperangan.

Dalam senario politik, bagi menjamin kesejahteraan, kaum berkenaan menubuhkan parti politik untuk mempertahankan hak dan agama masing-masing. Banyak tuntutan dibuat menerusi pertubuhan politik seperti ini. Dalam sebuah negara majmuk, sering didengar ungkapan keharmonian kaum kerana ia menjadi tunggak kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Ini diikuti ungkapan kesamarataan yang terasnya adalah untuk memastikan setiap kaum mendapat layanan yang saksama dari segala aspek kehidupan, termasuk kebebasan beragama.

Dalam sesebuah masyarakat majmuk juga wujud kumpulan berkepentingan yang berjuang untuk menegakkan hak kaum dan kepentingan masing-masing. Kewujudan organisasi seperti ini boleh memberi kebaikan dan pada masa sama, juga boleh mencetuskan ketegangan berpandukan apakah isu yang mereka perjuangkan. Sejak merdeka, Malaysia melalui pelbagai proses dan kes pertikaian sosial, politik dan ekonomi. Pertikaian agama juga sudah berlaku beberapa kali khasnya berikutan tuntutan keluarga terhadap mereka yang sudah meninggal dunia akibat pertukaran agama, melalui proses undang-undang. Dalam pengadilan mahkamah, walau apa pun keputusannya, ia tidak akan memuaskan hati semua pihak. Ada pihak yang berasa sebaliknya.

Bukanlah sesuatu yang luar biasa bahawa konflik etnik sering berlaku dalam masyarakat majmuk. Ia boleh berlaku membabitkan di antara kumpulan minoriti dengan majoriti atau minoriti dengan minoriti dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan kaum yang memegang tampuk kuasa terpaksa menghadapi keadaan demi menjamin kesejahteraan rakyat dan keselamatan awam. Kebanyakan konflik terjadi akibat berlaku perubahan kedudukan kumpulan etnik dalam masyarakat yang besar berikutan perubahan dasar dan sebagainya.

Keadaan ini bertambah teruk apabila ada kumpulan etnik di sesebuah negara mengalami diskriminasi atau tekanan. Diskriminasi terhadap kaum dan agama bukanlah perkara baru kerana ia sudah tercatat dalam sejarah dan ekonomi di banyak negara. Kesan tindak balasnya adalah kehancuran, kemusnahan dan kematian. Hari ini paling ketara ialah diskriminasi politik. Keadaan ini berlaku akibat dasar dan amalan yang bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia. Kesan daripada diskriminasi ini berlaku tindakan politik untuk mempertahankan hak terhadap sama ada kerajaan atau pihak tertentu. Walau pun pada peringkat awal protes seperti ini boleh dikawal, ia boleh merebak dengan cepat.

Di Malaysia, usaha terbaru dilakukan untuk mengelakkan berlaku diskriminasi ialah menerusi gagasan 1Malaysia. Sebenarnya usaha mengatasi masalah pertikaian kaum sudah dilaksanakan lebih awal menerusi kemuafakatan rakyat menerusi Parti Perikatan membabitkan Umno yang mewakili kaum Melayu, MCA (Cina) dan MIC (India). Kejayaan parti perikatan diperluaskan menerusi kerjasama kaum melalui komponen parti Barisan Nasional (BN) yang turut membabitkan parti di Sabah dan Sarawak. Kejayaan Perikatan dan BN terbukti mengendurkan ketegangan kaum. Ujian demi ujian yang dilalui, semuanya dapat diatasi menerusi semangat persefahaman kaum. Ketika kerajaan menjalankan kempen menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia tidak mendapat tentangan kerana rakyat memahami matlamat untuk mewujudkan perpaduan kaum. Begitu juga dengan beberapa isu yang lain, termasuk perubahan sistem pendidikan yang membabitkan penggunaan bahasa.

Ujian paling getir berhubung pertikaian etnik ialah pada 1969 berikutan berlaku rusuhan kaum berpunca daripada keputusan pilihan raya umum yang kemudian menimbulkan provokasi dan seterusnya mencetuskan perbalahan kaum. Peristiwa 13 Mei 1969 menghasilkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Ini jelas menunjukkan golongan majoriti juga tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh pemerintah lalu mereka menuntut penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam sektor pemegangan ekuiti. Hari ini, negara menghadapi satu lagi masalah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly. Dengan asas persefahaman yang wujud sekian lama, masalah ini akan dapat dirungkai dalam masa yang singkat.

Oleh Mior Kamarul Shaid


1 comment:

  1. tolak ansur antara masyarakat
    elemen terpenting dlm menjamin kestabilan
    kalau semua ikut kepala sendiri
    mamaposss .. tp jgn sampai
    pijak kepala org lain
    jadilah manusia bertamadun
    kekekekeke


    >>_______<<

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...