terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 10, 2010

MESIR YANG MACAM BAGHAL!!


Konvoi Viva Palestina dihalang ke Gaza bimbang salah tanggapan Israel

SUKAR untuk menelah apa sebenarnya bersarang dalam fikiran kerajaan Mesir sehingga menjadi kebal kepada kritikan dan rayuan masyarakat dunia supaya membuka sempadannya bagi membenarkan konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk Palestin yang sudah sekian lama dicengkam derita angkara kebuasan Israel.

Selayang pandang, tiada apa yang perlu ditakutkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak untuk membenarkan konvoi Viva Palestina (bermaksud Panjang Umur Palestin dalam bahasa Itali, Portugis dan Sepanyol) masuk ke Semenanjung Gaza kerana bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan termasuk ubat-ubatan tetapi hakikatnya ia dipimpin ahli politik Britain, George Galloway.

Konvoi itu disertai 450 sukarelawan dari seluruh dunia yang bergerak dalam 220 kenderaan dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan bernilai lebih AS$1 juta (RM3.5 juta) kepada rakyat Palestin di Gaza.

Kebimbangan kemungkinan bantuan itu jatuh ke tangan pejuang Hamas yang menguasai Gaza juga tidak berasas kerana pertubuhan itu bersetuju membenarkan ia terus sampai ke badan bukan kerajaan, bukan lagi kepada anggota parti.

Nampaknya pengaruh Galloway dan Britain belum cukup kuat untuk memberi tekanan kepada Mubarak yang jelas lebih bimbangkan 'apa kata Israel' jika beliau membenarkan konvoi Viva Palestina menggunakan sempadannya untuk ke Gaza.

MESIR menggunakan kekerasan menyuraikan tunjuk perasaan di El-Arish.

Sehingga kini masih ada 59 kenderaan konvoi dilarang dibawa keluar dari Pelabuhan El-Arish yang terletak kira-kira 805 kilometer dari Aqaba untuk ke Gaza. Kaherah sebaliknya mengarahkan ia dibawa masuk melalui Israel, sedangkan ia cuma mengambil masa selama empat jam menerusi Aqaba.

Konvoi berkenaan sepatutnya tiba di Gaza pada 27 Disember lalu tetapi dihalang oleh tindakan kerajaan Mesir yang enggan membenarkan penggunaan pelabuhan Nuweiba untuk memasuki Rafah sebelum tiba di Mesir.

Lebih memalukan apabila polis Mesir menggunakan kekerasan untuk menyuraikan tunjuk perasaan pada malam Selasa lalu yang menyebabkan 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah, manakala tujuh lagi ditahan termasuk seorang sukarelawan rakyat Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, penuntut jurusan perubatan di Universiti Bristol.

Tunjuk perasaan dibuat sebagai membantah keputusan Kaherah melarang 59 kenderaan konvoi dibawa keluar dari Pelabuhan El-Arish untuk ke Gaza. Tindakan Mesir mengerah 189 anggota pencegah rusuhan dilengkap meriam air dan gas pemedih mata untuk berdepan anggota konvoi turut menimbulkan persoalan.

George Galloway

Membongkar tindak-tanduk Mesir yang rela melihat penduduk Palestin terus perit dimamah kezaliman Israel tidak mustahil ia ada kaitan dengan Perjanjian Camp David antara Israel dan Mesir pada 1978 yang membawa kepada rundingan damai kedua-dua negara, ditandatangani di Washington pada 26 Mac 1979, yang pertama membabitkan rejim Zionis itu dan negara Arab.

Israel memakai dasar konsisten sejak penubuhannya pada 1948 yang mahukan rundingan secara langsung dan bersemuka sebagai kaedah menyelesaikan perbalahan dengan negara Arab tetapi hanya Presiden Mesir ketika itu, Anwar Sadat, membawa negaranya ke meja rundingan, pada ketika tiada negara Arab lain mahu berunding dengan Israel.

Sadat dan Perdana Menteri Israel ketika itu, Menachem Begin, berkongsi hadiah Nobel Keamanan pada 1978 kerana perjanjian bersejarah itu tetapi di kalangan liga Arab sendiri, tindakan Sadat dilihat sebagai menikam dari belakang. Malah Sadat terasing di dunia Arab dan terpaksa membayar harga yang mahal untuk itu iaitu dengan nyawanya sendiri apabila dia mati ditembak pada 1981.

Memang sukar mencari sebab mengapa Mesir seolah-olah memusuhi penduduk Palestin sehingga rela membiarkan mereka diancam krisis kemanusiaan meruncing dengan menutup pintu sempadannya. Jika benar ia membenci Hamas yang menguasai Gaza, sebesar manakah dosa penduduk yang menyokong pertubuhan itu?

Jasa apakah yang sudah ditabur oleh Israel kepada Mubarak sehingga sanggup memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan Yahudi itu dalam usaha menjahanamkan Palestin?

Tidak ada bezanya Mesir dan Israel dalam hal ini kerana ketika Israel bertindak secara kasar membunuh penduduk Palestin, Mesir sebaliknya mengambil pendekatan lebih lembut tetapi berbisa dengan tidak membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk teraniaya itu dengan 1,001 alasan yang tidak boleh diterima akal.

Mungkin juga Mesir sudah 'termakan budi' Israel yang membebaskan Sinai daripada zon tentera apabila kerajaan Yahudi itu berundur dari wilayah yang dirampas pada 1967, menyerahkan pangkalan tentera, penempatan, jalan raya dan infrastruktur lain, selain telaga minyak Sinai kepada Kaherah berikutan perjanjian berkenaan.

Antara lain kandungan perjanjian juga memerlukan kedua-dua pihak memastikan ancaman, permusuhan atau keganasan tidak dilakukan dari kedua-dua negara dan tidak dibuat dari wilayah masing-masing, atau oleh mana-mana pasukan yang dikawal atau mana-mana pasukan yang bertempat di wilayah mereka, terhadap penduduk, rakyat atau harta benda kedua-dua negara.

Perjanjian itu menghendaki kedua-dua negara menahan diri daripada mengatur, menghasut, membantu atau mengambil bahagian dalam tindakan atau ancaman permusuhan terhad kedua-duanya, di mana-mana saja dan memastikan pelaku tindakan itu dibawa ke muka pengadilan.

Mesir mungkin mengambil terlalu serius isi kandungan perjanjian untuk tidak membantu sebarang bentuk tindakan atau ancaman terhadap Israel oleh Hamas yang mentadbir Gaza tetapi di manakah adabnya sebagai jiran yang bertanggungjawab mencegah kerakusan rejim Zionis membunuh penduduk Palestin atau sekurang-kurangnya membantu mengurangkan penderitaan mereka.

Mubarak, sebagai umat Islam sepatutnya menyembunyikan kepala apabila Galloway yang tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang rata-ratanya beragama Islam, sedangkan beliau yang diamanahkan Allah untuk menyayangi saudaranya seperti menyayangi diri sendiri, bertindak menyebelahi Israel.

Ketika Mesir terus memekakkan telinga kepada rayuan antarabangsa dan berterusan memerah limau pada luka penduduk Palestin yang tidak pernah sembuh, Israel bertepuk tangan melihat negara Arab itu sudah rancak menggayakan tarian mengikut irama gendang yang dipalunya.

Mubarak mungkin ada alasan tersendiri membawa negaranya mengikut acuan yang sudah ditetapkan Israel tetapi satu perkara beliau perlukan jadikan iktibar berbaik-baik dengan rejim Zionis itu � bagaimana Sadat bertemu ajalnya - kerana ketika itu pemimpin Yahudi hanya mampu menghantar utusan takziah.

Oleh Hazirah Che Sab


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...