terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 14, 2010

Musim gurauan tiba lagi

ENTAH kali ke berapa kemalangan besar berlaku di jalan raya negara ini. Apakala berlaku sahaja kemalangan yang melibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan parah, maka ia heboh diperkatakan di media massa. Banyak pihak membuat kenyataan. Banyak tekad hendak dilakukan. Namun, sejenak selepas itu, keadaan sunyi sepi sehinggalah terjadi satu lagi kemalangan yang serupa. Ia tak ubah seperti musim tengkujuh yang pasti berulang datang dan pergi. Seperti bergurau sahaja gamaknya.

Telah banyak diperkatakan tentang sebab-sebab berlakunya nahas seperti itu. Kebanyakannya berlegar sekitar kerosakan bahagian enjin atau peralatan, kurangnya peraturan, lemah atau kurang penguatkuasaan, dan sekali sekala kelemahan pengurusan. Jarang-jarang faktor kemanusiaan diketengahkan sebagai sebab utama.

Lori, bas, feri, peraturan, undang-undang dan organisasi adalah benda-benda kaku. Mengikut hukum akal, ia dengan sendirinya tidak boleh mengakibatkan sesuatu berlaku. Hanya manusia sahaja yang boleh menjadikan sebab sesuatu berlaku, buruk atau baik. Oleh itu, tidak mungkinkah kelalaian atau alpa untuk memberi tumpuan usaha kepada faktor manusia dan kemanusiaan itu merupakan penyebab utama berulangnya musibah-musibah tersebut?

Seteruk mana sekali pun bentuk dan keadaan jalan yang digunakan, sekiranya semua pemandu pengangkutan awam dan persendirian memandu dengan berhati-hati, berhemah, beramanah dan penuh tanggungjawab, nescaya nahas yang tidak diingini itu dapat dielakkan. Buktinya dapat dilihat di negara-negara maju di mana nahas sedemikian rupa jarang-jarang berlaku.

Sifat kelakuan semasa memandu tidak terbentuk dengan sendirinya melainkan dibina sama ada secara sedar atau pun tidak. Sekurang-kurangnya, ada tiga faktor yang mempengaruhi pembinaan sifat kelakuan memandu, yang lama kelamaan menjadi tabiat.

Pertama, kelemahan pengurusan pada organisasi pemilik pengangkutan awam, kedua, ketidakberkesanan cara pelaksanaan dasar dan peraturan-peraturan yang berkaitan dan ketiga, kerenah serta sikap pemandu-pemandu itu sendiri.

Perkara-perkara seperti itulah yang memerlukan perhatian serius bagi mengelakkan berulangnya musibah yang melibatkan pengangkutan awam. Langkah-langkah seperti mengetatkan lagi peraturan atau membekukan operasi syarikat, mahu pun mewujudkan jawatankuasa atau agensi-agensi tertentu setiap kali berlaku musibah atau masalah besar adalah tidak bijak dan membazir.

Pada hakikatnya, pemandu-pemandu kenderaan awam memerlukan kemahiran dan pengetahuan tertentu serta disiplin yang tinggi dan peribadi yang terpuji dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Tugas mereka bukan hanya setakat memandu semata-mata. Mereka juga wajib bertanggungjawab terhadap keselesaan dan keselamatan penumpang-penumpang, keselamatan barangan, dan keselamatan lain-lain pengguna di jalan raya.

Justeru, kerja mereka perlu diiktiraf sebagai kerjaya bertaraf separa profesional, kalau pun tidak profesional sepenuhnya. Dengan yang demikian maka layanan yang diberikan kepada mereka perlulah bersifat yang membolehkan mereka bertugas secara separa profesional atau profesional.

'Profesional' di sini meliputi maksud terlatih secukupnya secara berterusan di bidang teknikal dan bukan teknikal, menerima ganjaran secukupnya dan mendapat perlindungan kebajikan dan terpupuk dengan disiplin serta akhlak yang tinggi.

Latihan teknikal yang meningkatkan kefahaman dan kemahiran dapat mengelakkan kemalangan yang berpunca daripada kerosakan atau kecuaian teknikal. Latihan bukan teknikal, iaitu yang membina dan memupuk budi pekerti dan akhlak yang tinggi lagi mulia, dapat membantu melaksanakan tugas secara mesra pelanggan, cermat, berhemah, bertanggungjawab dan peka terhadap keselamatan pelanggan dan pengguna-pengguna lain jalan raya.

Pemberian gaji yang secukupnya dapat mengelakkan pemandu mengejar masa untuk menambah upah atau komisen yang sangat rendah. Ia dapat mengelakkan mereka daripada mengalami keletihan dan mengantuk yang boleh menyebabkan kemalangan.

Pemeliharaan kebajikan pemandu boleh menghindarkan rasa tidak puas hati dan dendam sekali gus dapat membendung tindakan yang boleh menimbulkan kemalangan. Pembinaan dan pemupukan disiplin yang tinggi akan dapat memastikan mereka berpegang teguh kepada peraturan dan menepati kehendak tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Soalnya, sejauh mana dan berapa banyakkah majikan yang mengambil berat terhadap keperluan profesionalisme pemandu-pemandu mereka seperti tersebut itu? Dan sejauh manakah pula agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bertindak memudah cara dan memastikan keperluan profesionalisme itu dipenuhi? Sejauh manakah mereka berterusan mengambil tindakan-tindakan proaktif memperbaiki keadaan. Atau mereka bekerja macam biasa sahaja dan bergegas hanya apabila telah berlaku satu krisis besar!

Contohnya, lihat sahaja kandungan kursus dan peperiksaan yang wajib diduduki calon-calon pemohon lesen memandu kenderaan komersial. Ia lebih berbentuk akademik daripada melahirkan pemandu yang cekap, berhemah, bertanggungjawab dan mesra pengguna jalan raya. Penekanan lebih diberikan kepada aspek teknikal dan peraturan berbanding dengan sikap, akhlak dan tanggungjawab sosial sebagai pemandu.

Begitu juga soalan peperiksaan (berbentuk objektif), ia lebih merupakan ujian kefahaman maksud bahasa daripada kandungan peraturan-peraturan yang berkenaan. Dalam pada itu diperhatikan, semacam satu lumrah susunan hidup masyarakat, bahawa hampir semua calon terdiri daripada mereka yang rendah tahap pendidikannya. Ada juga sebilangan warga asing. Isunya, siapakah yang ambil peduli sama ada mereka itu betul-betul memahami arahan, peraturan dan tanggungjawab yang disyaratkan? Bagaimana pula dengan lesen pemandu kenderaan persendirian? Tidak mengapa semua itu, musim bergurau akan tiba lagi.

Oleh MOHMAD SHAID MOHD TAUFEK

Penulis ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...