terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 14, 2010

Pelaksanaan VOA lebih memudaratkan rakyat


Timbang tara dasar liberal perlu utamakan keamanan negara

SELASA lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan hampir 40,000 warga India yang masuk ke negara ini kononnya sebagai pelancong hilang tanpa dapat dikesan oleh Jabatan Imigresen atau agensi penguat kuasa lain. Ini gara-gara begitu mudahnya orang asing masuk ke negara kita tanpa perlu memohon visa sebelum bertolak ke mari, tetapi boleh saja dapat visa lawatan sebaik tiba di mana-mana pintu masuk ke sini.

Ini baru rakyat India. Ia didedahkan Najib kepada beberapa orang wartawan India yang berada di sini dalam rangka lawatan mereka sebagai persediaan lawatan rasmi Najib ke India minggu depan. Najib sendiri menyatakan kebimbangannya terhadap hal ini. Lebih mengaibkan lagi pihak imigresen tidak pun tahu di mana mereka ini berada.

Apa kesimpulan yang boleh dibuat daripada perkembangan ini? Jabatan Imigresen gah dengan ada Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Tetapi berapa ramai sudah puak yang mendalangi kemasukan pendatang asing ini atau majikan yang melindungi mereka itu sudah dikemukakan ke pengadilan?

Tidak guna ada undang-undang kiranya ia tidak dapat dikuatkuasakan dengan berkesan. Dasar yang begini liberal sudah diguna pakai sejak beberapa tahun kebelakangan ini konon untuk menggalakkan kemasukan pelancong. Maka Kementerian Pelancongan mendabik dada bahawa kini purata dua juta pelancong memasuki negara ini setiap bulan. Malah dikatakan dalam tempoh 11 bulan hingga November tahun lalu jumlah kemasukan pelancong sudah mencapai 21.5 juta, hampir menyamai jumlah kemasukan bagi seluruh 2008.

Apa gunanya begitu ramai yang datang kiranya ia membawa pelbagai masalah sampingan yang tidak diambil kira Kementerian Pelancongan kerana tanggungjawabnya hanyalah menggalakkan seramai mungkin orang asing datang sebagai pelancong?

Jadi bagi kementerian ini segala masalah yang timbul daripada dasar yang begitu liberal ini, membolehkan begitu ramai rakyat asing masuk dan kemudian tidak dapat dikesan dengan pelbagai macam perlakuan jenayah oleh pendatang asing khususnya yang masuk dengan visa waktu ketibaan (VOA) bukanlah tanggungjawabnya?

Jenayah membabitkan pendatang asing ini termasuk pembunuhan, pecah rumah, mencuri dan lain-lain penipuan dan jenayah membabitkan warga asing dari Afrika, Indonesia, negara Amerika Latin seperti Mexico, Columbia dan Peru sama ada yang masuk secara sah menerusi VOA atau secara haram.

Maka itu sepatutnya, kementerian sudah mengadakan kajian menyeluruh bersama jabatan imigresen dan polis, apakah dasar liberal begini benar-benar menguntungkan negara atau lebih banyak membawa mudarat yang amat mencurigakan hingga boleh menjejas keselamatan warga sendiri daripada mendatangkan kebaikan.

Dikatakan juga bahawa kerajaan dalam tempoh hanya dua tahun kebelakangan ini terpaksa berbelanja lebih RM30 juta untuk menghantar balik lebih 153,000 warga asing yang tinggal di sini melebihi tempoh diberikan atau yang masuk secara haram. Memang siapa pun tidak boleh nafikan bahawa kemasukan mereka ini tanpa henti kononnya sebagai pelancong, tetapi sebenarnya untuk bekerja, selain membabitkan diri dalam pelbagai macam jenayah dan penipuan, membawa banyak masalah yang terpaksa dihadapi rakyat.

Apakah kita tidak cukup mempunyai penjenayah sendiri dan kini perlu mengimport penjenayah asing pula? Selain itu, ada pula pendatang asing yang datang ke sini menggunakan VOA untuk diperdagangkan sebagai pelacur dan pekerja seks. Ini kebanyakannya membabitkan warga China, Thailand dan Vietnam.

Penonton TV tidak habis-habis disajikan peristiwa serbuan oleh pihak berkuasa, termasuk polis dan imigresen ke atas pelbagai sarang pelacur, rumah urut dan spa. Anehnya pendatang asing itu saja yang dicekup. Dalang-dalang yang memperdagangkan mereka, termasuk tauke yang mengendalikan rumah urut dan spa itu nampaknya terlepas daripada sebarang tindakan. Maka tidak menghairankan mereka ini akan berterusan memperdagangkan tubuh manusia.

Tidak pernah ada berita bagaimana tauke atau pengusaha dan pedagang tubuh manusia ini dihadapkan ke pengadilan. Apa susah sangatkah untuk menyiasat siapa yang mempunyai atau menyewa premis itu? Tidak bolehkah tauke itu dibawa ke muka pengadilan? Atau mungkin ada perkiraan lain?

Sebenarnya kita boleh menyediakan kemudahan ini, tetapi mesti ada mekanisme untuk memantau mereka yang menyalahgunakannya dengan berterusan berada di sini tanpa pulang-pulang kerana mengetahui betapa longlainya penguatkuasaan kita.

Inilah masalahnya yang sering dihadapi kerana setiap kali kita menyediakan kemudahan atau mengadakan pelbagai dasar, tetapi usaha untuk menentukan kemudahan yang diberikan itu tidak disalahgunakan, tidak pula disediakan. Kalaulah demikian halnya dengan kelonggaran yang disediakan ini pula membawa kepada pelbagai masalah sosioekonomi dan pelbagai macam perlakuan jenayah lebih baik kemudahan VOA ini dibatalkan saja.

Masalah itu juga timbul kerana majikan dalam pelbagai perusahaan dan syarikat pula bersedia tanpa ragu-ragu mengambil mereka ini sebagai pekerja hanya untuk mengaut keuntungan berlebihan. Majikan ini berterusan mengatakan rakyat Malaysia sendiri tidak mahu bekerja di tempat syarikat itu. Tentulah tidak ada orang tempatan mahu bekerja dengan mereka kalau bergaji tidak seberapa. Kiranya pendapatan yang diberikan boleh menampung sara hidup mereka itu pada tahap munasabah tentunya tidak sukar bagi mana-mana majikan mendapatkan pekerja tempatan.

Mungkin sudah sampai masanya kerajaan menetapkan gaji minimum bagi pekerja kilang, pembinaan dan peladangan termasuk restoran yang akan menggalakkan muda mudi tempatan bekerja di tempat itu. Gaji yang diberikan itu sepatutnya boleh menampung sara hidup harian mereka dan keluarga termasuk bayaran sewa rumah dan pengangkutan.

Buat masa ini pelbagai majikan termasuk pengilangan, pembinaan, peladangan dan restoran mengambil jalan pintas mengambil pekerja asing kerana tidak bersedia memberi gaji berpatutan yang boleh memikat pekerja tempatan memenuhi segala kekosongan yang ada. Masanya sudah tiba bagi kerajaan menetapkan majikan tidak lagi dibenarkan mengambil pekerja asing dengan bayaran gaji rendah.

Mungkin inilah satu caranya bagi kerajaan menentukan Malaysia dapat melonjak kedudukannya daripada kelompok negara berpendapatan sederhana kepada kelompok negara berpendapatan tinggi. Kita sudah begitu lama berada di kelompok sederhana ini, walhal negara yang bertaraf sama dengan kita tidak berapa lama dulu seperti Korea, Taiwan atau Singapura sudah pun melonjak jauh ke hadapan. Kerajaan sememangnya berhasrat melonjakkan kedudukan kita itu, tetapi apakah seluruh perusahaan kita bersedia untuk membawa ekonomi kita ke tahap itu?

Oleh Rejal Arbee


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...