terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 23, 2010

Pembohongan kafir Quraisy ke atas Nabi SAW

PENULIS sejarah terkenal Hussein Haekal memperuntukkan seluruh Bab 6 dalam bukunya; Sejarah Hidup Muhammad bagi menjelaskan mengenai kisah Gharaniq dengan hujah-hujah yang padat.

Sebabnya, kisah ini biasa digunakan oleh golongan bukan Islam dan orientalis Barat yang mengatakan bahwa kitab suci al-Quran pernah dicemari oleh ayat-ayat syaitan.

Akibat adanya ayat-ayat syaitan itu menyebabkan Nabi Muhammad sebenarnya berkompromi mengakui mengenai kebenaran menyembah patung-patung berhala.

Kisah ini terjadi pada suatu hari dalam keadaan Nabi Muhammad terus berharap akan berlaku perdamaian antara umat Islam dan kafir Quraisy.

Justeru, antara cara bagi baginda mencetuskan perdamaian itu ialah dengan sering membacakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada baginda tanpa terhad kepada para pengikut baginda sahaja.

Baginda turut membacakan ayat-ayat al-Quran itu secara terbuka kepada semua pihak agar mereka turut memahami dan terbuka hati menerima Islam.

Apabila semua dapat menerima dan memahami Islam sama ada secara rasmi atau tidak, tentunya suasana yang aman dapat dinikmati secara bersama.

Sehinggalah pada suatu hari ketika baginda duduk berkumpul dengan para pengikutnya di suatu tempat di sekitar Mekah. Baginda membacakan kepada mereka surah an-Najm sehingga ke ayat yang bermaksud: Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian daripada tanda-tanda Tuhannya yang paling besar. Maka adakah kamu patut menganggap 'Al Lat' dan 'Al Uzza' serta 'Al Manat' yang ketiga (yang terakhir dan bertaraf rendah lagi hina itu sebagai anak perempuan Allah) sebagai sesuatu yang layak disembah? (an-Najm: 18-20)

Sebaik sahaja Nabi membaca ayat itu, dikatakan baginda menuturkan kata-kata berikut: "Itu Gharaniq yang luhur dan mempunyai kedudukan tinggi, perantaraannya sungguh dapat diharapkan."

Baginda kemudiannya melanjutkan bacaan ayat-ayat dari surah itu sehinggalah sampai pada ayat Sajadah (ayat terakhir dari surah tersebut) dan dikatakan baginda melakukan sujud sajadah.

Namun dikatakan baginda melakukan sujud itu di hadapan berhala yang begitu banyak di hadapan Kaabah.

Malah para pengikut baginda yang ada dan termasuk juga para musyrik turut bersujud bersama-sama baginda, kecuali seorang bernama Walid kerana sudah terlalu tua dan uzur.

Peristiwa ini menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk Mekah. Di kalangan musyrik Mekah mereka begitu gembira dengan peristiwa itu kerana mereka beranggapan Nabi Muhammad kini telah 'berbaik-baik' dengan tuhan mereka dengan berbicara dengan perkataan yang elok dan baik terhadap tuhan-tuhan mereka itu.

Kata mereka: "Kami tahu sudah bahwa Allah itu menghidupkan dan mematikan (makhluk), menciptakan dan memberi rezeki. Tetapi dewa (patung) kami ini menjadi perantara kami kepada-Nya. Kalau ternyata dia juga kau berikan tempat, maka kamipun setuju dengan kau".

Di katakan akibat dari peristiwa inilah yang tersebar sehingga sampai ke pengetahuan para pengikut Islam yang mendapatkan perlindungan di negara Habsyah.

Apabila mendengarkan berita itu, mereka beranggapan bahawa keadaan di Mekah telah kembali pulih, aman dan selamat untuk mereka pulang semula ke tanah air.

Namun apabila mereka kembali semula ke Mekah keadaan sebenarnya masih tidak berubah. Ancaman terhadap umat Islam sebenarnya masih lagi berlaku apatah lagi apabila kisah Gharaniq itu sebenarnya tidak benar dan jauh berlaku satu penyatuan antara golongan kafir dan Muslim di kota Mekah.

Ini apabila Jibrail turun membawa wahyu kepada Nabi Muhammad yang meminta baginda supaya menolak kaum musyrik dengan mengatakan syaitan telah membuat baginda menuturkan kata-kata Gharaniq itu. Ini kerana Jibrail sendiri tidak pernah mengeluarkan ucapan yang seperti itu.

Justeru kerana peristiwa inilah Allah telah berfirman: Sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkan engkau (Wahai Muhammad) daripada apa yang Kami telah wahyukan kepada engkau, supaya engkau mengada-adakan kebohongan atas nama Kami dengan perkara yang lainnya. (Jika engkau melakukan yang demikian) barulah mereka menjadikan engkau sahabat karib mereka. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran) tentulah engkau sudah cenderung kepada kehendak mereka. (al-Israk: 73-74)

Berikutan peringatan dari Jibrail dan ayat berkenaan, ia sangat memberi kesedaran kepada baginda.

"Rupa-rupanya aku telah mengatakan sesuatu yang tidak dikatakan oleh Allah," kata baginda.

Namun di kalangan bukan Islam, mereka tetap mempertahankan kisah al Gharaniq ini. Alasan mereka jika tidak kerana tersebarnya kisah ini, manakan umat Islam yang melarikan diri ke ke Habsyah akhirnya akan pulang semula ke Mekah?

Direka-reka

Tidak mungkin mereka sanggup pulang jika kisah itu hanyalah satu khabar angin atau kisah yang direka-reka?

Menjawab persoalan ini, Haekal memberi dua jawapan yang cukup kuat bagi menyangkal segala macam dakwaan bahawa telah berlaku penyatuan antara Islam dan kafir Quraisy hanya dengan Nabi Muhammad akhirnya mengakui ketuhanan dari patung-patung berhala yang selama ini baginda musuhi.

Pertama kata Haekal, umat Islam di Habsyah akhirnya pulang semula ke Mekah berikutan berita pengislaman Umar Al Khattab itu sebenarnya yang menjadi satu berita gembira kepada seluruh umat Islam sehingga mereka yang berada dalam lindungan Raja Habsyah.

Bukannya kisah Gharaniq yang menjadi sebab mereka begitu gembira dan akhirnya pulang semula ke Mekah.

"Umar Al Khattab masuk Islam tidak lama selepas mereka berhijrah (ke Habsyah). Umar masuk Islam dengan semangat yang sama seperti ketika beliau menentang agama ini dahulu.

"Umar masuk Islam tidak secara sembunyi-sembunyi atau rahsia. Malah secara terang-terangan beliau dengan beraninya mengumumkan di hadapan khalayak orang ramai malah memberi amaran kepada sesiapa yang cuba mempertikai tindakannya apatah lagi menganggu Nabi Muhammad, pengikut-pengikut baginda dan Islam yang disebarkan oleh Rasulullah itu," kata Haekal.

Malah Umar sedia berlawan dengan mana-mana musuh Islam yang cuba menganggu agama itu. Lebih penting lagi, Umar tidak mahu lagi kaum Muslimin terpaksa bersembunyi-sembunyi atau terhendap-hendap di celah-celah pergunungan Mekah dalam melakukan ibadat dan mempelajari selok belok agama itu.

Termasuk terpaksa menjauhkan diri, membawa diri sehingga meminta perlindungan negara asing semata-mata mengelakkan diri daripada gangguan kafir Quraisy.

Sedangkan Umar menjanjikan keselamatan kepada umat Islam itu kini sehinggalah umat Islam itu bebas melakukan ibadat dalam kawasan Kaabah.

Mendengarkan pengakuan berani Umar inilah yang memberikan semangat kepada seluruh umat Islam terutama yang dalam dalam pelarian dan persembunyian.

Faktor kedua adalah disebabkan suasana di negara Habsyah itu sendiri.

Menurut Haekal, di Habsyah sendiri yang disebut oleh penulis sejarah ini sebagai negara Abisinia sedang berkecamuk suatu pemberontakan melawan Raja Najasyi atau Raja Habsyah itu sendiri.

Umat Islam yang diberikan perlindungan oleh baginda hanya mampu mendoakan agar raja itu akhirnya berjaya melawan pemberontakan menentang pemerintahan baginda itu.

Mereka tidak mampu atau sampai peringkat untuk melibatkan diri dalam pemberontakan itu bagi mempertahankan Raja Najasyi kerana mereka adalah orang luar atau orang asing dari Habsyah.

"Oleh itu adalah lebih baik kepada umat Islam itu supaya tidak campur tangan dan jika perlu mereka meninggalkan kekacauan itu tanpa perlu menyusahkan lagi kepada Raja Najasyi yang tentunya perlu memberikan perhatian dan tumpuan sepenuhnya terhadap kekacauan yang berlaku itu," kata Haekal.

Ini menyebabkan ada yang pulang semula ke Mekah walaupun ada sesetengah menyebut tidak semua yang pulang tetapi hanya sebahagian sahaja yang berani pulang semula ke Mekah.

Jadi, atas dua faktor inilah mereka pulang semula ke Mekah, bukannya terpengaruh dengan kisah kompromi Rasulullah terhadap kafir Quraisy seperti yang didakwa sebelum ini.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...