terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 23, 2010

Peniaga warung perlu budi bahasa


TIDAK dinafikan, Malaysia memang terkenal dengan warung dan gerai makanan yang mempunyai pelbagai cita rasa menu dari semua negeri yang ada di negara ini.

Bukan hanya menjadi tumpuan rakyat tempatan, malah pelancong luar dan juga chef-chef terkenal turut sama menggemari suasana ketika menjamu selera di kebanyakan warung di negara ini.

Dan disebabkan itu juga warung dan gerai yang ada di negara ini tumbuh melata sama ada secara kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau tidak.

Atas dasar itu juga kita dapat melihat ada di kalangan peniaga warung dan gerai di negara ini datang dari negara jiran terdekat, sama ada menggunakan saluran sah dan tidak.

Bidai tidak mahu mempertikaikan perkara ini kerana Bidai tahu tugas penguatkuasaan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.

Penguatkuasa PBT memang ada lakukan serbuan setiap masa. Namun yang merisaukan Bidai kali ini ialah pengurusan hospitaliti pengusaha warung atau gerai berkenaan.

Bukan apa, walaupun mereka beniaga di kawasan warung dan gerai tidak seperti restoran atau hotel yang besar, Bidai merasakan mereka juga memerlukan satu pengurusan hospitaliti mereka perlu memastikan pelanggan yang betul sentiasa betul Right customer is always right.

Itu prinsip orang berniaga dan bukan diadakan oleh Bidai. Jika sebelum ini ramai yang mengatakan customer is always right, namun dengan suasana dan keadaan masa kini, hanya right customer is always right bagi Bidai.

Ini berikutan ada juga pelanggan yang mempunyai banyak kerenah dan mereka bagi Bidai boleh diketepikan dan tak perlu dilayan.

Kembali kepada pengusaha warung dan gerai, Bidai rasa mereka perlu mengamalkan apa yang diamalkan oleh pengusaha hotel atau restoran besar.

Mereka juga perlu sentiasa mesra dengan senyuman dan boleh menerima kritikan secara terbuka.

Walaupun kemungkinan pendapatan yang mereka peroleh tidak sama dengan apa yang diperoleh oleh pengusaha hotel dan restoran besar, hakikatnya, mereka juga merupakan peniaga barisan hadapan yang sentiasa berhadapan dengan orang ramai.

Kena ingat, orang ramai yang hadir membeli makanan mereka bukan makan free tapi terpaksa turut membanting tulang mendapat wang untuk menjamu selera.

Jadi, mereka juga perlu melayan dan sentiasa memastikan orang ramai mendapat hak mereka yang sepatutnya.

Bidai timbulkan cerita ini disebabkan kejadian yang Bidai alami sendiri di sebuah warung atau gerai makanan di sebuah taman perumahan berdekatan Zoo Negara.

Warung ini Bidai lihat memang maju. Penuh dengan orang ramai pada waktu tengah hari dan malam. Makanan yang dijual juga bagi Bidai boleh tahan dan membuka selera.

Mereka menjadi tumpuan kerana ada menjual nasi ayam, makanan dari negara Gajah Putih dan juga pembasah tekak, air tebu, air batu campur (ABC), cendol dan len chee kang.

Semua yang dijual sememangnya makanan yang digemari rakyat Malaysia tidak kira waktu.

Menariknya di sini waktu tengah hari penuh dengan orang ramai tua atau muda, semuanya menjamu selera di situ lebih-lebih lagi di gerai nasi ayam mereka.

Tidak hanya yang makan di situ, gerai itu turut penuh dengan mereka yang mahu membungkus.

Beratur dan tidak berebut-rebut dan service dia juga cepat. Yang membeli nasi ayam itu tak perlu menunggu lama.

Melihat dari segi kerja sama yang ada ketika mereka berniaga, Bidai dapat rasakan ini adalah perniagaan keluarga.

Bidai juga sering makan di situ jika melawat seorang kawan yang tinggal berdekatan.

Nak jadi cerita baru-baru ni, Bidai nak belanjalah kawan Bidai tu makan nasi ayam jadi Bidai ke gerai berkenaan untuk bungkus.

Waktu tu memang orang ramai tapi kebanyakan makan di situ. Bidai teruslah order 10 bungkus nasi ayam.

Memang cepat, yang tukang ambil order tu memang dah tahu tugas dia. Dia khas ambil order bagi mereka yang nak bungkus sahaja.

Sementara nak tunggu nasi tu dibungkus, Bidai ke gerai ABC yang berdekatan yang turut dimiliki oleh pemilik gerai nasi ayam itu. Ini berikutan Bidai nampak, tauke nasi ayam tu selamba je kaut duit yang 'dicampak' oleh peniaga ABC di gerai dia.

Jadi anggapan Bidai mereka ini mempunyai pemilik yang sama.

Sampai di situ, Bidai beratur dan buat pesanan: "Kak ABC bungkus dua."

Tapi tidak disahut dan Bidai agak mungkin dia dah dengar sebab dia pun sibuk.

Ketika itu ada dua pelanggan di depan Bidai yang turut membuat pesanan ABC dan cendol.

Pada Bidai tak apalah, mungkin peniaga tu dah tau pesanan Bidai walaupun dia buat tak reti.

Tapi selepas dua pelanggan di depan Bidai dapat pesanan mereka, secara tiba-tiba seorang pelanggan lain secara tiba-tiba entah dari mana melaung dari jauh: "ABC bungkus satu!"

Awalnya Bidai tak kisahlah sebab mungkin dia pun baru buat pesanan.

Jadi episod menunggu diteruskan sebab ketika itu memang banyak pesanan dari mereka yang sedang makan di situ.

Pada Bidai tak pe lah, mungkin penjual tu nak selesaikan mana-mana pesanan yang dah agak lama.

Tapi selepas 20 minit menunggu, Bidai mula resah sebab kakak penjual tadi buat tak reti Bidai ada di situ.

Satu persatu pesanan baru untuk mereka yang makan di situ masuk dan kakak penjual tadi asyik menyelesaikan pesanan berkenaan.

Bidai bersuara sekali lagi: "Kak ABC bungkus dua, lama dah ni." Sedikit menambah menyuarakan rasa tak puas hati.

Tapi dengan selamba kakak tu tadi beri sebungkus ABC kepada seorang pelanggan yang datang entah dari mana di belakang tadi.

Bidai pun mulalah rasa panas di hati dan terdetik: "Mentang-mentang dia boleh cakap bahasa negeri dia sesama sendiri, yang kemudian pula dilayan."

Lalu dengan perasaan tak puas hati dengan topi keledar yang masih tidak ditanggalkan Bidai terus berkata: "Kak, memey jenih bagi ke ore maghi lambat ko? Ke dok dengar kawe ordar tadi? Pelik sungguh."

Dan Bidai pun blah dari situ, malas nak tunggu.

Muka kakak tadi masam mencuka, senyum tidak, berkata apa pun tidak.

Apa salahnya minta maaf kepada pelanggan kalau rasa diri tu bersalah.

Dan itulah realiti mereka yang dah berjaya, dia tak kisah pelanggan tu suka ke tidak. Yang penting mereka 'mahsyuk'.

Fikirkanlah...

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...