terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 7, 2010

Pertimbang guru DG41 menjawat jawatan Penolong Kanan


SAYA pada mulanya agak keberatan untuk mengemukakan masalah ini kepada pihak akhbar kerana ia masih lagi menyentuh isu guru. Selama ini, banyak isu guru diberikan perhatian oleh pihak yang berwajib atas peranan yang dimainkan oleh pihak akhbar khasnya Berita Harian. Warga guru mengucapkan jutaan terima kasih.

Perkara yang hendak diketengahkan oleh saya ialah isu perlantikan jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar di sekolah kebangsaan. Untuk makluman, mulai 2004, guru gred DG41 yang dinaikkan pangkat daripada gred DG29 dan DG32 mula dikekalkan di sekolah rendah.

Kebanyakan daripadanya memiliki pengalaman mengajar hampir 20 tahun atau lebih. Bukan saja pengalaman, bahkan prestasi juga cemerlang. Kalau prestasi tidak cemerlang, masakan mereka dilepaskan untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah pertama di universiti. Malah ada yang memiliki ijazah kedua sekarang ini.

Tetapi amat malang, mereka yang rata-ratanya berumur 40-an ini menjadi mangsa kepada Pekeliling Kementerian Pelajaran yang tidak peka kepada perkembangan semasa. Kenaikan pangkat untuk menyandang jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar di sekolah rendah hanya diberikan kepada guru DG32.

Apabila dipersoalkan mengapa guru gred DG41 dan DG44 yang sudah berumur dan berpengalaman ini tidak ditawarkan ke jawatan itu, jawapan diterima ialah mereka tidak layak. Adalah menjadi harapan kami agar Kementerian Pelajaran pada 2010 ini membuat sedikit pindaan kepada pekeliling berkenaan.

Kita tidak mempertikaikan kewajaran DG32 atau lain-lain jawatan kumpulan sokongan diletakkan di tempat itu jika kementerian rasa ia perlu diteruskan, tetapi berilah juga tawaran kepada guru bergred DG41 dan ke atas yang memiliki pengalaman mengajar lebih 20 tahun ini ke jawatan berkenaan.

LALAK LILA,
Sungai Petani,
Kedah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...