terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 10, 2010

Puaka Pak Jaha


RUMAH itu sudah usang. Suatu ketika dulu ia berdiri megah walaupun diselubungi dengan aura misteri yang bisa menggerunkan siapa sahaja yang lalu-lalang. Kini ia telah dimakan usia. Pintunya tergantung dari engsel, tidak sudi berfungsi sebagai penjaga rumah lagi. Tingkapnya pula pecah akibat balingan batu si anak nakal yang sudah tidak lagi takut dengan rumah itu.

"Kenapa kita takutkan sangat rumah ni dulu ya?"

Soalan Deris memecah ruang minda aku yang sedang khayal. Persahabatan aku dan Deris bermula apabila kami berkongsi musuh yang sama; pisau Tok Mudim. Selesai giliran Deris di atas batang pinang, dia berselisih dengan aku yang menggigil ketakutan. Tapi sempat dia berbisik padaku, "Tak sakitlah! Macam gigit semut saja!"

Sejak dari itulah kami bersahabat. Kami jelajahi setiap ceruk kampung ini bersama-sama. Kami tahu batu sungai mana yang paling licin, pokok rambutan mana yang paling sedap buahnya dan nenek mana yang paling kuat melatah. Dek kerana didorong oleh sifat ingin tahu itu jugalah, kami memasang telinga mendengar cerita tentang rumah hujung kampung itu. Rumah Pak Jaha.

Dari kedai kopi Pak Usop hinggalah ke rumah Wan Lijah, sibuk memperkatakan tentang Pak Jaha yang baru berpindah ketika itu. Tanah di hujung kampung yang selama ini tidak berpenghuni kini sudah didirikan sebuah rumah batu. Sudah pasti ia mengundang pelbagai buah mulut orang. Katanya Pak Jaha orang kaya dari bandar. Apa kerjanya tidak pula diketahui, jadi makin galaklah orang kampung meneka pekerjaannya. Itu belum lagi bercerita tentang isterinya, Cik Siti.

Ah, Cik Siti gadis awal 20-an yang menjadi isteri kepada Pak Jaha yang hampir dua kali ganda usianya. Kulitnya putih gebu, matanya bundar dan bibirnya halus bak limau seulas. Tatkala dia melenggang-lenggok ke kedai Wak Dollah dengan payungnya, tak lekang mata-mata yang memandangnya, termasuklah aku dan Deris yang baru hendak menghidu usia remaja di ketika itu. Tak kurang juga mata-mata yang menjeling tajam sambil tangan mencubit si suami yang lupa diri.

Tapi Cik Siti jarang-jarang keluar rumah. Anehnya, Pak Jaha juga tidak kelihatan keluar untuk pergi bekerja. Mereka seperti hidup di dalam dunia mereka sendiri. Dari situlah cerita puaka Pak Jaha bermula.

Kata orang, Pak Jaha mengamalkan ilmu hitam. Masakan dia dapat mendirikan rumah batu yang agam itu tanpa pergi bekerja, dan bagaimana pula dia mendapat isteri secantik Cik Siti? Cerita yang bermula dengan pelbagai persoalan ini berlegar sekitar kampung, ditambah perisa secukup rasa sehinggalah ia menjadi sebuah karya agung.

Apa yang menguatkan lagi karya agung ini ialah bukti-bukti separa benar yang disaksikan oleh seorang dua penduduk kampung. Pernah sekali Abang Budin bercerita di tembok tempat dia dan rakan-rakan penganggurnya menyumbangkan suara diiringi gitar buruknya. Katanya di suatu petang dia pernah ternampak Cik Siti duduk di tepi sungai sambil menyanyi seorang diri. Abang Budin baru sahaja hendak menegur, tetapi Pak Jaha telah tiba dan menarik tangan Cik Siti untuk berlalu pergi. Katanya berlaku pergaduhan. Marah benar Pak Jaha kerana Cik Siti keluar tanpa pengetahuannya.

Ada pula yang mengaku pernah terdengar jeritan Cik Siti di malam hari ketika lewat di perkarangan rumah Pak Jaha. Makin kuatlah teori yang mengatakan Pak Jaha si pengamal ilmu hitam. Waktu siang dihabiskan di dalam rumah, mengarahkan si toyol mencuri wang dan pada waktu malam pula menghembus kemenyan ke arah Cik Siti, supaya si cantik manis itu tergila-gilakan dirinya yang sudah mula beruban. Jika Cik Siti keluar di siang hari, takut nanti terlanggar pantang. Itulah yang membuatkan Pak Jaha naik berang.

Jika sesiapa terserempak dengan Pak Jaha, tiada siapa yang berani menegur kecuali orang-orang tertentu. Seperti Tok Alang selaku ketua kampung dan juga Pak Usman yang merupakan tok siak surau. Sedangkan Haji Ghazali yang selalu menjadi imam pun jarang-jarang mahu bertegur-sapa dengan Pak Jaha.

"Maklumlah, alim ulama macam Haji Ghazali tu takkanlah mahu bergaul dengan pengamal ilmu hitam!" Becuk mulut Wan Lijah bercerita sewaktu aku menemani emak melihat kain-kain ela jualan Wan Lijah.

"Kau rasa betul ke Pak Jaha tu ada ilmu hitam?" tanya aku pada Deris yang sentiasa menjadi bahan rujukan aku di ketika itu. Maklumlah, dia setahun lebih tua. Bagi aku, dia tahu segala-galanya. Gayanya menjawab soalan sahaja sudah cukup meyakinkan.

Mengusap

Deris mengusap dagunya sambil termenung panjang. "Kau perasan tak di luar rumahnya ada pokok besar?" dia menduga aku. Aku mengangguk.

"Pokok beringin tu namanya. Tempat langsuir bergayut," jelas Deris dengan bersungguh-sungguh.

Tercacak bulu roma aku mendengarnya. "Tapi… pokok itu kan sudah lama ada di situ. Sejak sebelum Pak Jaha pindah ke situ lagi," aku cuba berbahas.

"Sebab pokok itu ada di situlah Pak Jaha pindah ke situ! Mak aku kata, kalau pandai ilmu hitam, langsuir ini akan ikut cakap kita. Jadi orang suruhan," jelas Deris lagi.

"Langsuir pun jadi orang suruhan dia?" soal aku, gerun berbaur kagum.

Malam itu aku tidak dapat tidur memikirkan kehebatan ilmu hitam Pak Jaha. Bunyi cengkerik aku sangkakan siulan si hantu yang dikawal Pak Jaha untuk memerhatikan aku yang sudah mengetahui rahsianya. Aku terkenangkan cerita langsuir Deris. Katanya kalau dipaku di belakang kepala, langsuir ini menjadi wanita jelita.

Cik Siti itu langsuirkah?

Kata orang, kalau di kampung, waktu berjalan dengan perlahan. Tapi bagi aku dan Deris yang memang dah sebati dengan kampung, waktu berjalan dengan terlalu pantas. Zaman kanak-kanak kami telah belayar, membawa bersama cerita-cerita Pak Jaha dan puakanya. Aku dan Deris menjadi pengganti ahli konserto tembok dan giliran adik-adik pula berlari ketakutan setiap kali melintasi rumah hujung kampung itu.

Sungguhpun begitu, sesekali aku mencuri pandang pada Deris yang merenung ke arah rumah itu. Tanda tanya bermain di matanya. Di telinga aku sendiri, masih terngiang-ngiang segala cerita tentang Pak Jaha dan Cik Siti. Tetapi usia remaja memaksa kami memaparkan kedewasaan yang belum sepatutnya kami miliki.

Malam sebelum aku dan Deris berangkat ke universiti, kami dikejutkan oleh satu berita ketika duduk bersembang dengan Pak Usman di surau. Cik Siti meninggal dunia.

Tok Alang dan Pak Usman bergegas ke rumah Pak Jaha, diekori aku dan Deris. Tak ramai yang tahu tentang kejadian itu; Pak Jaha khabarkan pada Tok Alang dan Tok Alang cuma memberitahu Pak Usman.

Aku dan Deris tidak ikut Tok Alang dan Pak Usman masuk ke dalam rumah Pak Jaha. Sebaliknya kami senyap-senyap mengendap dari luar tingkap sebuah bilik, dan di situlah kami melihat badan Cik Siti terbujur kaku.

Cik Siti sedang terbaring di atas katil sambil Pak Jaha berdiri di tepinya. Wajah Cik Siti pucat lesi; tidak melampau aku katakan yang wajahnya memang kelihatan seperti hantu. Pak Jaha tidak menangis; dia hanya membatu di situ sambil memandang mayat isterinya.

"Ya Allah, macamana boleh jadi ni, Jaha?" Tanya Tok Alang sebaik saja dia dan Pak Usman masuk ke dalam bilik tersebut.

"Saya tinggalkan sekejap saja petang tadi, Tok. Sekejap saja. Selepas solat Isyak tadi, dia macam tak sedarkan diri. Sekali-sekala, badannya kejang. Saya ingatkan biasalah…" Pak Jaha sudah mula teresak-esak menangis.

"Banyak ke, Jaha?" tanya Pak Usman.

Aku memandang Deris. Aku bertanya tanpa suara, "Apa yang banyak?" Deris mengangkat bahu. Kami terus mendengar.

"Banyak juga, Pak Usman. Patutnya saya lebih hati-hati," keluh Pak Jaha lagi.

"Sabar, Jaha. Benda dah nak jadi," Tok Alang cuba menenangkan.

"Lewat petang tadi dia dah mengadu sakit perut, Tok. Waktu saya hendak ambil wuduk untuk solat Maghrib, dia baru lepas ke bilik air. Saya perasan air kencingnya warna hitam. Patutnya saya dah tahu ada yang tak kena masa tu," cerita Pak Jaha lagi.

Kali ini Deris pula memandang aku. Aku tahu apa yang bermain di fikirannya. Baru minggu lepas kami terdengar Kak Piah Janda bercerita sambil menjual kuih seri mukanya, "Si Siti tu lawa macam tu sebab ilmu hitamlah tu! Bukan susah nak tahu. Kalau dah namanya hitam, semua benda dalam badannya tu jadi hitam. Luarnya saja yang nampak cantik, putih, gebu."

Memandangkan aku dan Deris sudah perlu berangkat ke universiti, kami tidak menghadiri pengebumian Cik Siti. Dengar cerita, tidak ramai yang hadir. Tidak lama selepas pengebumian itu, Pak Jaha juga berpindah. Tinggallah rumah di hujung kampung itu tidak berpenghuni.

Sehinggalah hari itu; hari aku dan Deris kembali ke kampung selesai saja majlis graduasi aku. Deris mengambil jurusan kejuruteraan sementara aku pula lebih berminat dalam bidang perubatan.

"Nak masuk tak?"

Soalan itu tiba-tiba terpacul keluar dari mulut Deris ketika kami masih berdiri di pinggir rumah usang itu.

Aku ketawa kecil. "Buat apa?"

Deris memandang aku dengan senyum mengejek. "Takut ya?"

"Tak adalah!" bantah aku, walaupun jantung aku sebenarnya berdegup kencang mendengarkan usul Deris tadi.

Tercacak

"Kalau tak, marilah masuk!" cabar Deris. "Untung-untung dapat jumpa Cik Siti," usik Deris lagi. Tercacak bulu roma aku.

Dengan langkah pura-pura berani, kami berjalan ke arah rumah Pak Jaha. Deris menolak daun pintu yang tidak lagi berfungsi itu. Bunyinya saja sudah cukup membuatkan aku rasa kedinginan. Deris terus melangkah; aku tahu hala tujunya.

Ke bilik Cik Siti.

Dalam perjalanan ke bilik Cik Siti, aku terpandang gambar-gambar yang tergantung di ruang tamu. Masih terletak cantik di dalam bingkai, merakamkan detik-detik bahagia Pak Jaha bersama Cik Siti. Melihatkan gambar-gambar itu, timbul pula rasa kesal dalam diri aku. Mereka benar-benar nampak seperti pasangan suami isteri yang bahagia. Kenapa Pak Jaha tidak membawa gambar-gambar ini bersama?

Tanpa aku sedari, Deris sudah mendahului aku ke bilik Cik Siti. Dek kerana terlalu asyik memerhatikan gambar-gambar di ruang tamu, aku tidak perasan ketiadaan Deris.

Sehinggalah dia melaungkan nama aku dari bilik Cik Siti, "Ali!!!"

Berderau darah aku mendengar jeritannya. Aku bergegas ke bilik Cik Siti. Deris kelihatan berdiri di tepi sebuah laci yang terbuka. Di dalam laci tersebut terdapat sebuah fail berwarna kuning. Di tangan Deris pula sebotol ubat.

"Kau ni, Deris! Buat terkejut aku saja!" marah aku sambil mendekatinya.

"Cuba kau tengok ni," ujar Deris sambil mengunjukkan botol ubat itu pada aku.

Aku mengambil botol ubat itu dari Deris. "Ini… clozapine," kata aku.

Deris mengeluh. "Itu aku pun boleh baca! Kau tu kan doktor, beritahulah aku ubat itu untuk apa," balas Deris.

"Ubat siapa ni?" tanya aku.

"Ubat Cik Siti. Namanya kan ada situ," jawab Deris.

Aku terdiam seketika. "Ini ubat anti-psychotic. Ubat merawat sakit mental," jawab aku, sambil fikiran aku sendiri ligat berputar. Teringat kembali detik-detik ketika Pak Jaha dan Cik Siti masih di kampung.

Pak Jaha tidak membenarkan Cik Siti keluar rumah seorang diri. Pak Jaha seharian di rumah menemani Cik Siti. Kadangkala terdengar jeritan Cik Siti di malam hari.

"Maknanya Cik Siti tu gila?" tanya Deris.

Aku mengangguk. Dalam sekelip mata, segala-galanya menjadi terang dan jelas buatku. Pak Jaha telah berkorban untuk isteri tercinta. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang tidak mungkin diingini oleh lelaki lain dek kerana sakit yang dialaminya. Menjaga orang yang sakit mental memang sukar dan mencabar. Sakitnya datang tidak menentu, perlu diperhati setiap masa.

"Kenapa Pak Jaha biarkan saja dirinya ditohmah begitu dulu?" tanya aku.

Deris tersenyum sinis. "Nak katakan pada semua orang kampung yang isterinya gila? Makin teruk jadinya, Li. Rasanya Pak Jaha lebih rela dianggap sebagai pengamal ilmu hitam," jelas Deris,

Aku mengangguk tanda faham dan setuju. Aku terpandang fail kuning di dalam laci. Aku pasti fail itu menerangkan sakit Cik Siti dengan lebih lanjut. Mungkin terlalu pahit untuk Pak Jaha membawa peninggalan Cik Siti yang satu itu bersamanya. Mungkin juga dia sengaja meninggalkannya buat sesiapa yang sudi mengambil tahu.

Aku mencapai fail tersebut. Ubat gegat yang terlekat di celah-celah fail tersebut terkeluar dan terjatuh ke lantai.

Ubat gegat? Serta-merta aku teringatkan kembali malam Cik Siti meninggal dunia…

"Banyak ke, Jaha?"

"Banyak juga, Pak Usman. Patutnya saya lebih hati-hati"

Kata Pak Jaha, Cik Siti mengadu sakit perut. Diikuti pula dengan kencing berwarna hitam. Kemudian dia tidak sedarkan diri, sekali-sekala badannya kejang. Aku terbayang wajah Cik Siti malam itu. Pucat lesi.

Simptom-simptom tertelan bahan kimia bernama naphthalene. Atau lebih dikenali sebagai ubat gegat. Aku terduduk di atas katil, tempat Cik Siti menghembuskan nafas terakhir beberapa tahun dulu. ketika fikiran aku dan Deris masih mentah. Ketika kami masih percayakan hantu dan jembalang.

Ketika kami masih belum terfikir yang 'puaka' sebenar ialah rasa kasih dan sayang; begitu kuat sehingga mampu mengatasi segala tohmahan untuk mempertahankan orang yang dicintai.

Kuat sungguh 'puaka' Pak Jaha.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...