terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 25, 2010

Sekolah perlu jadi tempat selamat guru laksana tanggungjawab

CUKUP menyedihkan apabila dalam tempoh dua minggu, kita disajikan dua berita memalukan, membabitkan guru ditampar pelajar dan ibu pelajar. Kejadian pertama berlaku di Nibong Tebal apabila seorang pelajar berusia 16 tahun menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun.

Insiden dilaporkan berpunca daripada tindakan pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki kelas yang sedang diajar guru berkenaan tanpa menghormati guru berkenaan lantas membuat bising sebelum diarahkan keluar.

Guru terbabit menampar seorang daripada mereka yang tidak mengendahkan arahan berkenaan dan akibatnya seorang lagi daripada pelajar terbabit menampar guru itu pula. Lebih menakutkan, seorang daripada pelajar terbabit bertindak ganas membaling kerusi ke arah guru berkenaan.
Terbaru, dilaporkan seorang guru lelaki yang berusia 28 tahun ditampar ibu seorang pelajar yang dikatakan marah dan tidak berpuas hati dengan tindakannya menampar anaknya di sebuah sekolah di Perlis.

Kejadian ini juga dilaporkan berpunca daripada masalah disiplin pelajar berkenaan. Walaupun pihak sekolah cuba menjernihkan keadaan dengan mendamaikan kedua-dua pihak, wanita berkenaan yang masih tidak puas hati, menampar guru berkenaan di depan Pengetua dan guru lain.

Ini dua kes yang menjadi pembuka bicara isu disiplin pelajar sekolah bagi 2010. Di kala kita masih sedih dengan nasib malang yang menimpa enam pelajar dalam tragedi perahu naga karam, kita dikejutkan dengan pelbagai lagi masalah pelajar, guru dan sekolah.

Masih segar dalam ingatan mengenai nasib malang yang menimpa seorang lagi guru wanita pada Oktober 2008 di sebuah sekolah di Perlis apabila gara-gara tidak berpuas hati dengan tugasan diberikan, dua pelajar perempuan bertindak membelasah seorang guru wanita.

Kejadian sebegini menimbulkan beberapa persoalan yang cukup merisaukan. Apakah pelajar begini yang kita harapkan akan menjadi penyambung warisan negara? Kenapa guru dijadikan mangsa keadaan? Selama ini mungkin kita leka dengan isu kebajikan pelajar dan ibu bapa sehingga olah terlepas pandang masalah yang dialami guru dalam mendidik anak bangsa.

Tidak dinafikan perubahan dan peredaran zaman membawa kepada perubahan minda dan akhlak anak-anak sekarang. Ternyata pelajar sekarang semakin sukar dilentur dan dibentuk. Mereka lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak serta bertindak mengikut emosi. Akibatnya guru terpaksa melalui pelbagai dugaan.

Ibu bapa pula nampaknya lebih mempercayai anak mereka berbanding guru. Ini menyebabkan sering mereka hilang pertimbangan apabila anak mereka diambil tindakan disiplin. Inilah antara cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi guru dalam mendisiplinkan anak didik mereka.

Guru adalah insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar. Di sekolah, guru adalah pendidik, penjaga dan juga selalunya bertindak sebagai ibu dan bapa kepada pelajar yang dihantar oleh ibu bapa setiap hari.

Selama ini guru lebih banyak berdiam diri apabila dikritik ataupun dimarahi ibu bapa dan mungkin sudah tiba masanya mereka bangun mempertahankan hak. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu lebih rasional sebelum bertindak.

Jika keadaan begini berterusan, ia dikhuatiri menjejaskan semangat dan motivasi guru untuk mendidik. Sekolah mestilah menjadi tempat selamat bukan saja untuk pelajar tetapi juga guru. Ibu bapa harus membiarkan guru menjalankan tanggungjawab mereka dengan selesa dan selamat tanpa tekanan.

Berikanlah kebebasan kepada mereka untuk membimbing, mendidik dan membentuk anak-anak mengikut acuan dan ramuan yang betul. Tidak perlulah mereka terlalu mencampuri urusan guru dan pelajar di sekolah atau lebih malang lagi, terlalu menyebelahi anak masing-masing yang tanpa memastikan kesahihan sesuatu perkara.

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...