terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 13, 2010

TAK SETUJU DENGAN RM 15JUTA

SAYA amat tidak setuju dengan peruntukan RM15 juta daripada kerajaan yang akan diberikan kepada kaum wanita Islam sambil mereka menunggu keputusan Mahkamah Syariah berhubung permohonan perceraian daripada suami mereka.

Sungguhpun peruntukan itu boleh memberi kelegaan kepada mereka semasa menunggu keputusan Mahkamah Syariah, isu sebenarnya tidak ditangani oleh pihak kerajaan untuk meringan dan mempercepatkan lagi proses perceraian.

Kebelakangan ini ramai wanita yang terpaksa menunggu, kadangkala bertahun-tahun lamanya, untuk mendapat keputusan muktamad berhubung permohonan perceraian mereka. Inilah masalah yang sebenarnya yang membuatkan mereka 'bergantung tidak bertali' bertahun-tahun lamanya.

Kerajaan sepatutnya meminda Undang-undang Syariah dan di masa yang sama memastikan semua permohonan perceraian dilaksanakan dengan cepat dan tidak memudaratkan kaum ibu dan anak-anak mereka. Bukankah ini isu yang paling utama patut ditangani?

Beberapa kes perceraian telah kita baca di akhbar di mana pihak isteri terpaksa turun-naik mahkamah syariah untuk mendapat keadilan tetapi terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Adakah ini keadilan? Atau lebih tepat, adakah ini yang diperuntukkan di dalam Islam?

Saya tidak langsung menyoal kebaikan Undang-Undang Syariah. Tetapi apa yang saya persoalkan ialah cara atau proses undang-undang itu dilaksanakan. Kalau ia adil mengapa pihak kerajaan terpaksa memperuntukkan RM15 juta untuk kaum Hawa sambil mereka menunggu keputusan Mahkamah Syariah berhubung permohonan perceraian mereka?

Kalau undang-undang itu selaras dan adil kaum Hawa tidak langsung terpaksa menunggu sebegitu lama untuk mendapat nafkah. Nafkah ini bukan sahaja untuk mereka tetapi untuk anak-anak mereka.

Satu cadangan yang saya ingin berikan kepada pihak kerajaan ialah menggubal satu Undang-undang Syariah di mana pihak suami hendaklah membuat peruntukan sebanyak RM5,000 dalam bentuk deraf bank atau wang tunai untuk diserah bersama surat permohonan perceraian mereka kepada Mahkamah Syariah.

Wang ini akan menjadi jaminan agar mereka tidak akan lari daripada mahkamah apabila diminta hadir di mahkamah untuk mendengar proses perceraian.

Juga bagi membolehkan pihak isteri membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapat wang perbelanjaan jika suami tidak memberi nafkah. Jika wang itu berkurangan pihak suami hendaklah menambahnya kepada jumlah yang asal.

Wang ini juga memberi peringatan kepada pihak suami atau isteri yang perceraian itu tidaklah sebegitu mudah dan satu perbuatan yang dikutuk Allah SWT. Peruntukan ini boleh ditambah mengikut kemampuan kewangan dan status suami berkenaan.

Banyak lagi proses perceraian melalui Mahkamah Syariah perlu diperbaiki supaya semua pihak mahupun suami, isteri atau anak-anak tidak dianiaya. Inilah yang patut pihak kerajaan tangani di samping meringankan bebanan pihak isteri semasa menunggu keputusan mahkamah.

Yob Kontan

Ipoh, Perak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...