terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 27, 2010

Bantuan kewangan pelajar miskin elok diubah beli keperluan belajar

SAYA bersetuju dengan pandangan 'Pegawai Kerajaan Kumpulan A' yang disiarkan dalam ruangan ini Rabu lalu mengenai cadangan kepada Kementerian Pelajaran supaya tidak menganjurkan kursus jika kurang bajet.

Saya ingin mencadangkan beberapa langkah penjimatan yang boleh dilakukan oleh kementerian bagi mengelak pembaziran wang negara, seperti berikut:

  • Mengubah cara bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Pada masa ini pelajar miskin dan miskin tegar mendapat bantuan KWAPM sebanyak RM200 yang dibayar secara sekali gus serta bantuan bulanan antara RM25 hingga RM50 sebulan bagi sekolah rendah.

    Bantuan bulanan ini juga biasanya dibayar sekali gus apabila pihak sekolah menerima peruntukan. Oleh itu, setiap ibu bapa murid berkenaan akan menerima bayaran antara RM450 hingga RM700 (sekolah rendah) dan RM600 hingga RM900 (sekolah menengah) sekali gus.

    Ia menyebabkan mereka tidak menggunakan wang untuk persekolahan anak, tetapi membelanjakan untuk membeli keperluan keluarga yang lebih utama bagi mereka seperti telefon bimbit dan motosikal. Ini menyebabkan pemberian wang itu tidak mencapai matlamat kerajaan.

    Saya mencadangkan supaya kaedah pemberian diubah dengan cara melantik pembekal atau pihak sekolah atau PIBG untuk membekalkan keperluan sekolah seperti pakaian seragam, pakaian unit beruniform, buku latihan tambahan, kasut dan sebagainya.

    Makan tengah hari perlu diberikan kepada semua pelajar kerana hampir setiap hari murid sekolah pulang lewat menghadiri pelbagai kegiatan seperti kelas Kafa, kelas tasmiq (Program j-Qaf), kelas tambahan, kokurikulum dan sukan.

    Ibu bapa yang bekerja sendiri tidak bermasalah membawa bekal makanan kepada anak mereka sebelum menyambung aktiviti itu. Dengan melantik pembekal makanan waktu tengah hari tentu akan membuka peluang kepada usahawan baru dan merancakkan ekonomi negara.

  • Mengubah cara pemberian biasiswa pelajar Tingkatan Enam. Majoriti pelajar Tingkatan Enam mendapat biasiswa antara RM770 hingga RM1,100 setahun. Setiap kali pelajar mendapat wang biasiswa, akan berubahlah jenama telefon bimbit mereka.

    Sekali lagi matlamat kerajaan tidak sampai dan yang kaya adalah tauke perniagaan. Saya mengesyorkan supaya pemberian biasiswa dihentikan, tetapi digantikan dengan memberi kelengkapan pembelajaran seperti buku rujukan, pakaian, kupon tambang bas, makanan percuma, komputer riba dan sebagainya kepada semua pelajar.

  • Saya juga mencadangkan pemberian biasiswa kepada pelajar kolej matrikulasi, institusi pengajian tinggi (IPT) dimansuhkan dan digantikan dengan kemudahan kelengkapan pembelajaran seperti buku rujukan, komputer riba, kupon tambang bas, makanan percuma dan lain-lain keperluan kepada semua pelajar IPT.

Saya juga dimaklumkan pelajar IPT sanggup makan mi segera kerana berjimat untuk membeli pakaian, telefon bimbit atau laptop berjenama.

Cadangan ini jika dilaksanakan akan membuka peluang perniagaan baru kepada pembekal terutama Bumiputera, kesihatan pelajar lebih terjamin.

PEGAWAI KERAJAAN KUMPULAN B,
Besut, Terengganu.

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...