terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 21, 2010

Berkorban demi mertua

SERONOK sangat saya baca kisah minggu lalu meminta setiap isteri belajar cara memikat ibu mertua, cadangan Norsyuhaila memang baik dan amat menyenangkan kalau mertua kita mahu terima kita akhirnya. Tetapi jangan jadi macam mertua saya bertahun-tahun kita sanjung dan berbuat baik dengannya, tetapi dia tak peduli, sebaliknya dia mahu kami suami isteri bercerai.

''Apa saya tak buat, bantu suami pinjamkan duit semata-mata membesarkan rumah dapurnya yang sedia besar, buatkan kabinet dapur, bantu sekolah adik-adik ipar sampai masuk ke IPTA, pendek kata selama lapan tahun saya berkahwin, duit simpanan saya memang habis, berhutang dengan emak saya lagi ada, tapi dia tetap puji anaknya yang bagi duit, tak fikir langsung pengorbanan saya.

''Semua bantuan saya dia kata duit anaknya, sedangkan gaji saya lebih tinggi sebab saya lulusan universiti sedangkan anaknya kolej pun tak lulus, jadi fikir sendirilah mana anaknya nak cari duit bantu emaknya setiap bulan, kalau saya tak bantu.'' Demikian cerita Zamzarina dalam e-melnya kepada penulis Isnin lalu.

''Saya bukan nak salahkan Norsyuhaila tapi nak ceritakan bukan semua mertua senang ditawan hatinya, kalau dia sendiri tidak sanggup menerima menantunya sebab dia ada pilihan lain. Nak kata saya tak berduit saya bekerja, ada kelulusan, rupa paras pun bukanlah buruk sangat, saya tak pernah membantah apa lagi melawan cakapnya, saya pakai ilmu tutup mulut, apa dia marah saya diam, itupun dia tak suka.

''Akhirnya setelah lapan tahun berumahtangga dan hidup pun tak aman, kerana suami pun dah seronok sangat nak kahwin lagi satu kerana takut membantah cakap ibu, kami pun bercerai, sebab pertama saya tak sanggup bermadu.

''Biarlah orang kata saya berdosa, tetapi setelah saya fikirkan masak-masak saya ambil jalan lebih baik bercerai, daripada buat dosa kerana saya tahu suami saya Fikri memang tak mampu nak tanggung kami empat beranak.

''Setiap bulan dia kata tak cukup duit sebab kena hantar pada emak dan bayar pinjaman bank. Sayalah yang kena bayar sewa rumah, duit penjaga anak-anak, belanja anak-anak ke sekolah dan taska, makan minum, dan macam-macam lagi sebab itulah saya hanya mampu beli kereta Kancil sahaja. Dalam pada tu nak kahwin lagi bakal isterinya cuma kerja kerani di syarikat kecil di kampungnya. Jadi daripada pikul beban lebih besar biarlah saya berkorban.

''Pada mulanya memang saya bantah, tapi orang lelaki ini semakin kita bantah semakin kuat semangatnya nak kahwin lagi, selepas berfikir panjang akhirnya saya buat keputusan pujuk suami ceraikan saya dengan baik. Alasan saya kerana faham emaknya memang tak sukakan saya. Mulanya memang dia naik angin, tetapi setelah saya pujuk tidak akan buat tuntutan nafkah anak-anak kalau dia tak mampu, maka dengan mudah dia mengikut dan setuju menceraikan saya.

''Kerana kami bercerai cara baik, sebulan sekali dia datanglah jengok anak-anak kami yang tiga orang ini, bawa mereka jalan-jalan makan-makan di restoran makanan segera. Tetapi selepas setahun, mula jarang nampak muka. Alasannya sibuk, tetapi sebenarnya dia sibuk bila dapat anak baru. Tanggungjawab bertambah isteri pulak tak bekerja.

''Saya faham masalahnya yang selalu tak berduit tu, walaupun emaknya memang tak minta duit lagi, sebab anak-anak yang lain dah bekerja. Namun setahun sekali pun dia tak pernah beri duit untuk perbelanjaan sekolah, dan pakaian baru untuk anak-anaknya berhari raya, paling tidak dia bagi duit RM50 seorang.

''Katanya dia tak perlu bagi sebab saya dah buat perjanjian tak akan tuntut nafkah anak-anak ketika bercerai dulu. Saya pun tak minta. Tetapi saya cuma nak tanya di manakah tanggungjawab seorang lelaki yang bergelar ayah? Dia sanggup tengok anak-anaknya hidup susah daripada memberi bantuan.

''Walaupun pada awalnya hati saya begitu kecewa, sedih dan amat hiba dengan apa yang terjadi, namun setelah memikirkan lebih banyak masalah akan menimpa hidup saya apabila jadi menantu yang tidak disukai, akhirnya saya reda dengan keputusan saya.

Keputusan''Saya juga yakin keputusan saya tepat apabila saya menoleh ke belakang setelah enam tahun berpisah, hidup saya menjadi lebih senang, anak-anak tidak susah diasuh dan dibesarkan, pelajaran mereka meningkat, malah mereka lebih memahami masalah dan kepayahan saya mendidik mereka seorang diri. Mereka tak banyak kerenah.

''Kini pendapatan saya bukan sahaja meningkat lebih baik, malah kedudukan saya lebih stabil sebab fikiran saya tidak berserabut kerana sentiasa tidak berduit setiap bulan selain menjadi bahan cacian, kebencian ibu mertua yang sentiasa tidak puas hati dengan saya kerana mengambil anaknya menjadi suami.

''Kalau dulu saya cuma mampu beli kereta Kancil, kini saya pakai kereta 1.6, baru. Sedangkan bekas suami saya mampu beli kereta 1.3 terpakai. Jadi kalau bekas mertua saya ada otak tentu dia boleh buat perbandingan apakah saya selama ini menyusahkan anak lelakinya, atau sayalah yang paling banyak membantu dan berkorban untuk membantu keluarganya.

''Sebenarnya sejak dulu lagi saya bukan banyak duit sangat, tetapi emak ayah saya tak pernah minta saya duit, kecuali saya yang memberi. Malah emak ayah saya sentiasa membantu kalau dia lihat saya dalam kesempitan semasa saya berkahwin dulu.

''Bukan niat saya, semua mertua suka minta duit anaknya, lagi pun itu hak mereka kalau nak minta duit anaknya, sebagai isteri saya tak boleh sekat. Tetapi jangan sampai menyusahkan hidup anak-anak. Berpada-padalah. Anak cucu kita pun nak hidup juga.

''Namun saya bersyukur kerana dikurniakan oleh Allah otak yang baik dan saya dapat melanjutkan pelajaran hingga ke tahap yang baik. Kemudian saya mendapat pekerjaan yang baik. Jika tidak hidup saya tentu berbeza, sudah tentu saya jadi suri rumahtangga sepenuh masa yang mungkin hidupnya penuh dengan penderitaan zahir dan batin apabila suami kahwin dua dan mendapat mertua yang membencinya.

''Di sinilah bezanya kehidupan kalau kita bekerja. Saya dapat mencorakkan kehidupan cara mana yang saya sukai mengikut kehendakNya. Di samping itu apa yang lebih penting saya dapat mendidik dan membimbing anak-anak saya mendapat kehidupan dan pelajaran yang lebih baik. Apa akan jadi kepada kehidupan mereka ditakdirkan saya tidak bekerja sedangkan ayahnya kahwin dua, tentu lebih susah lagi.

''Memikirkan masalah inilah saya lebih rela berkorban jadi ibu tunggal, asalkan hati mertua saya lebih tenang kerana anaknya berkahwin dengan menantu pilihannya dan tidak menderhaka kerana tidak mengikut pilihan ibunya. Kini tentu bekas mertua saya boleh membuat penilaian sendiri setelah melihat kehidupan anaknya berbanding saya.'' Demikian cerita Zamzurina kerana menjadi menantu bukan pilihan mertua.

Bahagialah mereka yang bertuah mendapat mertua yang berhati mulia dan bertimbang rasa, namun tidak dinafikan ada juga menantu cuba pijak kepala mertua apabila mertua yang terlalu baik. Ada yang sanggup jadikan mertua macam kuli.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...