terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 7, 2010

Bertimbang rasalah mertua!


WALAUPUN bukan semua, tetapi kebanyakan gadis apabila ingin berumahtangga, perkara utama yang sering menjadi igauan, kebimbangan dan persoalan apakah kehadiran mereka dalam keluarga suami nanti menjadi kesukaan atau kebencian ibu mertua.

''Kita sering menganggap kebencian mertua kepada menantu perempuan cuma cerita dongeng. Ia tidak berlaku pada zaman serba moden dan canggih kini. Kenyataannya kejadian seperti ini masih berlaku,'' cerita Zureena dalam emelnya.

''Saya memberi contoh diri saya sendiri. Mertua saya tidak membantah apalagi mempersoalkan kehadiran saya. Ada orang kata kalau perkahwinan kita dari awal lagi tidak dipersetujui oleh mertua, maka sampai ke mati pun kita tidak akan disukainya. Sebaliknya mertua saya tak banyak soal, tetapi malangnya sampai sekarang setelah 15 tahun berkahwin dia masih tak puas hati terhadap saya.

''Sedangkan masa nak kahwin dulu, saya sudah ingatkan bakal suami, Norzin supaya bertanya dulu dengan ibunya. Adakah ibunya sudah ada calon menantu pilihan, sebab saya tak mahu masalah di kemudian hari. Dia kata tak ada. Ibunya pun ketika meminang juga beritahu dia terima saya, jika itu pilihan anaknya. Dia tak boleh bersuara kerana bukan dia yang kahwin.

''Waktu dia bercakap seperti itu emak dan saya dah terkedu, macam dia tak sukakan saya, tetapi katanya dia mengikut kehendak anaknya. Tetapi selepas berkahwin barulah saya faham apa maksudnya 'dia ikut kehendak anaknya'.

''Sebab pertama mertua saya tak sukakan saya sebab saya orang utara, dia di pantai timur payah nak balik kampung bila hari raya atau ada kenduri kendara. Walaupun kami bekerja dan tinggal di Selangor. Bukan saya saja, dua lagi menantunya pun sama. Tapi peliknya dua anak perempuannya tidak pula beraya di kampung suami mereka. Wajib beraya dengan emaknya.

''Lebih menyakitkan hati sepanjang 15 tahun berkahwin saya mesti balik kampung awal untuk memasak. Anak-anak perempuannya dah siap masak baru sampai, masa belum kahwin dulu, dia tetap tunggu saya masak. Alasannya nak rasa masakan saya.

Perasaan

''Kadang-kadang saya rasa mertua saya tak ada hati dan perasaan, dia langsung tak fikirkan perasaan saya tak dapat beraya dengan emak sendiri, walaupun berselang tahun. Sampai bila sebagai menantu perempuan saya mesti mengalah.

''Semua kehendak mertua kami ikut, malah saya akan pastikan Norzin menghantar duit untuk emaknya setiap bulan. Kalau minta belikan barangan mewah, saya pasti akan belikan walaupun memakan masa dua atau tiga bulan kemudian. Niat saya biar dia gembira.

''Tapi mertua saya tak pernah puas hati. Lepas dapat yang ini dia minta yang lain pula. Apabila balik kampung tak nampak barang yang dibelikan itu. Bila ditanya katanya dia simpan. Tapi sebenarnya barangan tersebut diberikan kepada anak-anak perempuannya.

''Memang betul apabila perempuan berkahwin dia mesti utamakan keluarga suaminya. Tapi mengapa amalan itu tidak berlaku pada anak-anak perempuannya. Ini tidak adil. Mertua saya cuma mementingkan diri sendiri.

''Amat bertuah seseorang isteri jika dikurniakan ibu dan bapa mertua yang memahami keinginan anak menantunya. Bukan saya mengatakan mertua saya banyak kerenah tetapi dia harus faham bahawa anak menantunya juga ada tanggungjawab lain.

''Memang betul anak lelaki bertanggungjawab ke atas orang tua mereka sehingga mati tetapi janganlah sampai membebankan keluarga anaknya sendiri. Segala-galanya minta pada Norzin, tidak pada anak lelaki lain. Sementelah Norzin bergaji tetap segalanya dia minta. Hinggakan saya terpaksa bantu dia tanggung perbelanjaan rumah.

''Kami ada dua kereta bukan bermakna banyak duit, tetapi kerana kami tidak bekerja di tempat yang sama. Rumah kami pun bukan besar. Kami hantar anak-anak ke tuisyen sebab kami tidak ada masa bantu mereka mengulang kaji pelajaran. Kami pakai pembantu rumah sebab ada anak kecil dan jadual kerja saya tak menentu, bukan bermakna kami banyak duit atau berlagak orang kaya seperti kata mertua saya.

''Mertua saya selalu mengumpat mendakwa saya menghabiskan duit anaknya minta beli kereta untuk saya, ambil pembantu rumah dan hantar anak ke tuisyen. Padanya itu semua membazir duit. Tetapi dia tahu tak, kereta itu saya beli sendiri, gaji pembantu rumah saya bayar begitu juga hantar anak ke tuisyen. Norzin selalu mengeluh duitnya habis kerana hantar pada emak dan bayar pinjaman bank kerana membesarkan rumah emaknya.

''Norzin selalu bersyukur emak saya tak pernah menyusahkan kami, walaupun duduk di rumah kecil di kampung, dan sentiasa puas hati dengan wang yang saya hantar, tak pernah menyusahkan saya meminta belikan barang-barang mewah, apa lagi untuk besarkan rumah. Tak macam mertua saya berleter dan bersungut selagi tak dapat.

''Walaupun rumah emak cuma ada dua bilik tapi anak-anak saya senang di kampung saya. Mungkin naluri anak-anak tahu membezakan siapa lebih ikhlas dan lebih menyayangi mereka.

''Kadang-kadang saya rasa tidak adil kepada ibu bapa sendiri. Mereka yang bersusah payah memberi saya pelajaran sehingga saya bekerja sekarang, sedangkan hasilnya tak seberapa saya hulurkan kepada mereka. Malah mertua saya lebih banyak kehendaknya yang terpaksa saya penuhi.

''Pada pandangan saya memang benar mengikut Islam menantu perempuan mesti ikut kehendak suami dan mertuanya. Itu memang sepatutnya, sebab si isteri itu tidak bekerja dan suami tanggung semua perbelanjaan rumah tangga.

''Tetapi zaman ini ramai isteri bekerja ikut sama membantu meringankan beban suami menguruskan rumahtangga, jadi tak adil kalau isteri mesti melupakan ibu bapanya selepas berkahwin. Sedangkan ibu bapanya yang membanting tulang mencari duit membiayai perbelanjaan persekolahannya.

''Oleh kerana itu, sebagai suami, mereka patut fikirkan masalah ini. Jangan bertindak ikut kehendak Islam semata-mata, tanpa berfikir logiknya, sedangkan si isteri dikehendaki bekerja membantunya menguruskan perbelanjaan rumahtangga dan membesarkan anak-anak.''

Demikian cerita Zureena panjang lebar tentang masalahnya berdepan dengan mertua yang kurang bertimbang rasa.

Kepada mertua semua cerminlah diri, fikirkan lebih mendalam jangan bertindak kuku besi terhadap menantu anda. Kepada suami cuba buka mulut terangkan kepada ibu anda tentang tanggungjawab anda dan bantuan yang dicurahkan oleh isteri semoga ibu anda lebih memahami. Jangan fikir kekayaan dan kesenangan yang diperolehi oleh anak anda itu semata-mata dari tenaga dan duit ringgitnya. Dia tidak akan semewah yang anda nampak tanpa bantuan isteri-isteri yang bekerja.

3 comments:

  1. bukan hendak mengumpat tetapi melalui pengalaman tinggal disebuah negeri pantai timur......bukan semua tetapi sebahagian penduduk malas-malas .....dan suka untuk menunjuk-nunjuk tentang kemampuan mereka padahal itu hanya satu alasan untuk menutup kelemahan......cakap nak menang semua mereka betul.....orang lain salah.... tabah hati pasti ada sinar dihujung jalan........Salam Perjuangan.....hidup terus lawan.....

    ReplyDelete
  2. Tahniah..satu luahan ikhlas. Ramai yang tersepit dalam keadan begini. Dan ramai isteri yang merana dek kerana cuba menelan isu ini bersendirian.

    ReplyDelete
  3. racun saja mertua2 jahat ni..

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...