terima kasih buat kalian semua..

Thursday, February 4, 2010

Cara Makan Nabi

KEPUTUSAN kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung dan RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak mulai 1 Januari 2010 mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Ada yang ‘gembira’ dengan kenaikan itu kerana ia mungkin membantu mengurangkan pengambilan gula di kalangan masyarakat.

Namun, ada juga yang marah-marah kerana kenaikan itu dijangka turut menaikkan harga barang makanan lain terutama kuih muih di pasaran.

Pada masa yang sama, kita juga bakal berhadapan dengan mekanisme harga petrol yang baru mulai 1 Mei ini.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto AHMAD LUQMAN ISMAIL menemu bual pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Prof. Madya Asmak Ali bagi mengupas isu ini.

Apakah sepatutnya sikap Muslim berhubung kenaikan harga gula yang mungkin disusuli dengan kenaikan harga barang lain pula?

ASMAK: Umat Islam harus berfikir secara rasional apa yang tersirat di sebalik yang tersurat natijah daripada kenaikan harga gula.

Kata orang tua-tua, “yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus dibuang”. Sebabnya, yang manis itu adakalanya membawa mudarat seperti penyakit. Sedangkan yang pahit itu selalunya menjadi ubat.

Memanglah kita perlu makan. Ia adalah bahan asas yang penting kepada semua makhluk yang hidup. Cuma, kita perlu amalkan kesederhanaan.

Mengambil gula secara berlebihan tidak baik untuk kesihatan dan boleh menyebabkan diabetes. Semua kita tahun tentang hal ini tetapi sukar untuk kita mengubah tabiat makan.

Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya: ...makan dan minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas. (al-A’raaf: 31)

Rasulullah ada menyarankan umatnya makan madu. Lalu ini dikatakan juga ‘lampu hijau’ untuk makan yang manis-manis. Betulkah?

ASMAK: Memang Nabi SAW mengamalkan makan madu. Baginda juga pernah bersabda yang antara lain maksudnya: “Gunakanlah dua perkara untuk menyembuh penyakit iaitu al-Quran (spiritual) dan madu (fizikal)”. (riwayat Ibn Majah)

Allah turut menjelaskan kebaikan makan madu ini menerusi firman-Nya yang bermaksud:...kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan. (an-Nahl: 69)

Tetapi madu itu tidak sama dengan gula tebu. Walaupun suka makan madu tetapi baginda menyeimbangkan makanan manis dengan yang masam dan sebagainya. Bukan makan manis setiap hari.

Sebaliknya, sebahagian besar kita, kalau suka kepada makanan yang manis tidak akan makan benda yang masam atau tawar.

Kita perlu menjaga kesihatan kerana ia adalah antara nikmat yang besar dalam hidup. Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya: “Barang siapa yang berada dalam keadaan badan yang sihat, aman dalam penghidupannya dan ia memiliki makanan seharian yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya”. (riwayat at-Tirmizi)

Satu lagi godaan hebat dalam bab makan ini adalah apabila makan secara bufet. Bagaimana nak mengawal diri dalam keadaan ini?

ASMAK: Dari mana kita belajar makan cara ini? Kita meniru Barat dalam bab ini. Dalam Islam, kita disuruh makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Bukannya makan selagi boleh makan. Ibarat kata pepatah “membujur lalu melintang patah”.

Rasulullah telah mengajar kita bagaimana membahagikan perut dalam bab makan minum ini.

Baginda bersabda yang maksud-Nya: “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan untuk membetulkan tulang belakangnya. Jika dia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk nafasnya”. (riwayat at-Tirmizi)

Jangan kita makan terlalu kenyang hinggakan sukar untuk melakukan pergerakan solat. Sebabnya, dalam Islam makan bukan agenda utama kehidupan. Kita makan sekadar mendapat tenaga untuk menunaikan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah.

Sekali sekala makan sehingga kenyang itu adalah diharuskan. Cuma perut yang selalu dipenuhi makanan itu adalah rumah penyakit. Ini disebut oleh seorang tabib Arab yang berkata, “perut adalah rumah penyakit dan berpantang adalah kepala segala ubat”.

Mencampur bermacam jenis makanan adalah tidak baik kerana ia menjejaskan sistem penghadaman kita. Bufet juga mengajar kita tamak kerana mengisi perut melebihi keperluan.

Manakan tidak, apabila kita sudah bayar RM80 malah ada yang mencecah RM200 seorang untuk bufet, tak kan kita nak makan sikit saja. Kebiasaannya, kita akan makan banyak setimpal dengan bayaran yang dikenakan.

Sepatutnya, dalam keseronokan menikmati makanan kita kena ingat kepada mereka yang kurang bernasib baik, orang miskin dan sebagainya. Adalah lebih mulia jika kita dapat berkongsi sebahagian wang untuk bufet tadi bersedekah makanan untuk golongan tersebut.

Dalam sidang Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu ia dipenuhi dengan isu permasalahan kronik di negara-negara miskin iaitu kebuluran.

Berdasarkan statistik, seorang penduduk dunia mati akibat kebuluran dalam setiap enam saat. Maknanya, berjuta-juta penduduk kehilangan nyawa setiap tahun akibat kebuluran.

Apa pula ciri-ciri makanan yang baik?

ASMAK: Ada beberapa ciri makanan baik yang boleh kita jadikan amalan seharian. Ia juga adalah bertepatan dengan saranan Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan kerana ia musuh yang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Makanan yang baik mestilah halal dan bersih dari segi rupa, bau serta zatnya. Abdullah ibn Umar menegaskan: Rasulullah melarang makan daging dan susu binatang yang makan kekotoran”. (riwayat at-Tirmizi)

Kedua, binatang yang harus dimakan mestilah hasil sembelihan yang sah.

Ketiga, makanan yang dipilih itu mesti berkhasiat. Badan kita memerlukan 13 jenis vitamin dan zat galian setiap hari.

Disebabkan tiada satu makanan yang boleh membekalkan semua zat ini sekali gus, pengambilan makanan perlu dipelbagaikan.

Rasulullah SAW makan kurma ajwah yang mana antara fadilatnya dapat menguatkan urat perut, mengendurkan urat saraf dan melembutkan perangai.

Dari Saad Abi Waqas, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang makan kurma ajwah tujuh biji waktu pagi maka sepanjang hari itu dia tidak dapat bencana racun dan sihir”.

Keempat, pilih makanan yang segar dan baru. Makanan yang paling dimakan adalah yang masih segar iaitu yang belum melalui proses pengawetan atau pembekuan.

Nabi SAW juga tidak menyimpan makanan yang tidak habis. Sebaliknya, baginda akan mengagihkannya kepada sahabat dan jiran-jiran sebelum tidur.

Apa pula ciri pengambilan makanan yang sihat?

ASMAK: Islam telah menggariskan beberapa panduan dalam hal ini. Antaranya, jangan terus tidur selepas makan. Sebaliknya hendaklah berjalan kira-kira 100 langkah terlebih dahulu.

Rasulullah SAW juga menekankan kepentingan kita makan malam. Cuma seelok-eloknya sebelum waktu Maghrib. Budaya makan begini jarang ada dalam masyarakat Melayu sebaliknya ia diamalkan oleh masyarakat Cina.

Nabi SAW pernah bersabda yang antara lainnya bermaksud, ambillah makan malam walaupun hanya segenggam tamar. Kalau tidak kita akan cepat tua.

Kita perlu membetulkan tanggapan bahawa kekuatan tubuh bukan kerana banyak makan. Tetapi dengan pengambilan makanan yang seimbang dan mencukupi.

Mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi lebih kerap adalah lebih baik berbanding makan banyak selepas berpuasa atau menahan makan untuk beberapa ketika.

Masalahnya, majoriti masyarakat kita makan secara tidak seimbang, menyalahgunakan makanan dan pembaziran makanan. Kita berdepan dengan masalah obesiti.

Memang susah untuk mengubah budaya ini tetapi saya selalu katakan eat fast food, fast die.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...