terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 7, 2010

Dasar kementerian punca isu kurang doktor tak selesai

LAPORAN akhbar Berita Harian 28 Januari lalu memetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah sebagai berkata, tempoh khidmat wajib doktor perlu dilanjutkan untuk menyelesai masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan.

Saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana dengan melanjutkan tempoh khidmat wajib doktor dengan kerajaan saja, tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang. Kementerian perlu mengkaji kekurangan yang menyebabkan kurangnya minat doktor ini untuk terus berkhidmat dalam kerajaan.

Misalnya skim perkhidmatan, tempoh bekerja dan gaji mereka. Jika dibuat bancian ke atas doktor pelatih mengenai masalah utama dihadapi mereka, kemungkinan perkara pertama yang disuarakan ialah tempoh masa bekerja terlalu panjang dengan bebanan serta tekanan tugas berat.

Berdasarkan pengalaman dihadapi anak saya sebagai seorang doktor pelatih, beliau menceritakan bahawa doktor pelatih diorientasikan selama dua minggu dan mereka dikehendaki bekerja seawal jam 6 pagi dan tamat pada jam 11 malam selama 18 jam tanpa ada jadual rehat, tanpa cuti mingguan dan imbuhan sesuai.

Mereka terpaksa bekerja tujuh hari seminggu. Selepas tamat minggu orientasi, mereka terpaksa bekerja seawal 6 pagi sehingga 5 petang hampir 12 jam tempoh bekerja tanpa imbuhan yang sesuai.

Dengan suasana kerja sedemikian, sama seperti kerajaan menyemai perasaan benci dan tidak minat kepada doktor muda kita untuk mencurahkan bakti mereka kepada hospital kerajaan untuk tempoh masa lama.

Ini adalah satu punca mengapa ramai doktor muda mengundurkan diri daripada terus berkhidmat dalam sektor kerajaan selepas tamat tempoh khidmat wajib mereka. Murugiah sepatutnya memikirkan dan mengkaji bagaimana cara untuk menarik minat doktor daripada sektor luar supaya berkhidmat dengan kerajaan, bukannya mengambil jalan mudah dengan mengikat doktor muda ini supaya mereka tidak berhijrah ke sektor swasta.

Mengapa doktor ini terlalu beriya-iya hendak berkhidmat dengan sektor swasta? Tentu ada sesuatu kelebihan yang memenuhi keinginan mereka ini sebagai seorang insan. Inilah yang perlu diteliti.

Cuba bayangkan berapa ramai doktor negara ini yang menamatkan pengajian di luar negara, tetapi tidak mahu pulang berkhidmat di negara sendiri selepas tamat pengajian setelah kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk menanggung kos pengajian mereka ini.

Mereka sanggup berkhidmat di luar negara walaupun kos sara hidupnya tinggi dan berjauhan daripada keluarga. Tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan perkhidmatan doktor di negara ini.

Permasalahan inilah yang perlu dikaji oleh bijak pandai kita. Itulah keluhan dan rintihan daripada seorang bapa atas layanan kerajaan kita kepada doktor yang berkhidmat dalam sektor kerajaan.



BAPA DOKTOR

PELATIH,

Kpg Gelugor Sedim, Kedah.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...