terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, February 24, 2010

'Dengarlah rintihan kami'

Masyarakat tidak kira di kota atau desa kini memperkatakan mengenai kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang meliputi pelbagai kecanggihan multimedia seperti gajet dan sebagainya.Lebih jauh daripada itu, mereka turut membicarakan tentang jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) bagi mempercepatkan kadar penerimaan sesuatu maklumat.

Namun, selepas negara mencapai kemerdekaan lebih setengah abad lalu, masih ada rakyat yang bukan sahaja tidak mengenali ICT atau HSBB, malah ada yang tidak pernah melihat jalan raya berturap terutama di kalangan warga emas di kawasan pedalaman Pahang.

Keadaan yang menyedihkan ini dapat dilihat terutama bagi penduduk di pedalaman Hulu Tembeling yang ketinggalan dalam bidang infrastruktur.

Terdapat beberapa kampung di pedalaman Hulu Tembeling antaranya Kampung Bantai, Kampung Gusai, Kampung Mat Daling, Kampung Pagi, Kampung Tuit, Kampung Pengau dan Kampung Kuala Sat yang didiami lebih 8,000 penduduk yang 90 peratus daripada mereka adalah Melayu manakala selebihnya, Orang Asli.

Sejak negara merdeka, penduduk di lima kampung terbabit masih menjadikan denai dan sungai sebagai alat perhubungan untuk ke sesuatu tempat.

Berada di perkampungan tersebut bagaikan kembali semula ke era 1950-an atau 1960-an.

Suasana di perkampungan mereka tidak ubah seperti kita menonton sebuah filem epik Melayu seperti Raja Bersiong atau Hang Tuah.

Selepas berdekad-dekad lamanya, penduduk Hulu Tembeling tidak henti-henti meminta dan merayu kerajaan negeri supaya menyegerakan pembinaan jalan raya berturap bermula dari Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling sejauh kira-kira 100 kilometer.

Harapan mereka dengan wujudnya jalan raya itu, projek pembangunan akan turut dirasai di kawasan berkenaan.

Golongan warga emas di kawasan pedalaman itu menegaskan, perjuangan mereka sejak merdeka untuk melihat sebatang jalan raya dibina bagaikan tidak kesampaian.

Menurut mereka, cadangan dan rintihan penduduk kawasan terbabit seolah-olah diketepikan sedangkan tempat lain sudah menikmati kemudahan tersebut.

Seorang warga emas dari Kampung Bantai, Abu Zaman Yusup, 86, berkata, walaupun projek jalan raya kerap diuar-uar ketika berkempen menjelang pilihan raya tetapi sehingga kini belum ada tanda-tanda projek pembinaan jalan raya akan dilaksanakan di perkampungan mereka.

Ketiadaan jalan raya, katanya, menyebabkan penduduk kampung terbabit masih menggunakan bot penambang melalui Sungai Tembeling yang mengambil masa sehingga tujuh jam untuk sampai ke bandar terdekat iaitu Jerantut.

Kesulitan itu juga, jelasnya, menggendalakan urusan penghantaran hasil pertanian ke bandar atau ke luar Hulu Tembeling.

Lebih memburukkan keadaan, ujarnya, apabila berlaku musim tengkujuh dan banjir akan mengundang risiko keselamatan kepada penumpang bot penambang.

''Penduduk tertanya-tanya mengenai status pembinaan jalan raya selepas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memasang papan tanda projek jalan raya antara Kampung Tuit dengan Kampung Pagi pada tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Abu Zaman menjelaskan, ketiadaan alat perhubungan itu juga mengakibatkan sebahagian penduduk masih dibelenggu kemiskinan tegar.

Dia sendiri telah membawa usul pembinaan projek jalan raya itu dalam sembilan mesyuarat agung UMNO cawangan di kawasan itu sejak hampir 20 tahun lalu tetapi tiada maklum balas diterima sehingga kini.

''Saya tidak bersekolah tetapi saya tahu bahawa sesebuah kawasan dan kampung itu tidak boleh dibangunkan jika masih tiada jalan raya dan kemudahan lain," katanya.

Abu Zaman yang uzur itu mengakui tidak pernah menikmati pembangunan sejak dilahirkan dan amat berharap kerajaan negeri merealisasikan segera projek jalan raya tersebut.


Penduduk di Hulu Tembeling masih menggunakan bot penambang dengan mengeluarkan perbelanjaan yang mahal untuk berurusan di bandar Jerantut.


Seorang lagi penduduk Kampung Bantai, Japrun Ali, 49, berkata, jika wujud jalan raya, petani dapat memasarkan produk pertanian mereka ke pasaran lebih luas, sekali gus menambah pendapatan dan menghapuskan kemiskinan tegar.

''Sejak merdeka, kami tidak mendapat pembangunan dan sewajarnya kerajaan melaksanakan segera projek berkenaan sesuai dengan tanggungjawab sosial demi kebajikan penduduk Hulu Tembeling," katanya.

Sehubungan itu, Japrun berharap, projek jalan raya itu dapat disegerakan bagi memacu pertumbuhan pembangunan sekali gus mengubah taraf hidup penduduk yang masih dibelenggu kemiskinan.

Seorang penduduk Kampung Pagi, Abdul Jamil Md. Yassin, 52, berkata, selama ini, ramai pemimpin dan pegawai kerajaan yang berkunjung ke kampung berkenaan memberi jaminan untuk mempercepatkan projek berkenaan tetapi janji hanya tinggal janji.

''Seingat saya, sudah banyak kali pilihan raya, pemimpin tempatan dan pegawai kementerian berjanji akan menyegerakan projek jalan raya tetapi sehingga kini belum dilaksanakan. Sampai bila kampung kami akan terus disisihkan dengan dunia luar," ujarnya.

Penduduk Hulu Tembeling, katanya, menaruh harapan tinggi kepada kerajaan untuk menyegerakan projek jalan raya berkenaan sebagai salah satu usaha mencorak pembangunan kawasan pedalaman itu.

Sementara itu, pengusaha bot penambang di Kampung Mat Daling, Abdul Rani Saidi, 54, berkata, pengangkutan sungai cukup membebankan apabila mereka terpaksa menanggung kos petrol dan penyelenggaraan enjin yang semakin meningkat pada masa ini.

''Semua itu memberi kesan kepada kenaikan tambang yang menyebabkan penduduk hanya ke bandar Jerantut untuk berurusan sekali dalam sebulan.

''Walaupun menerima subsidi, kos tambang pergi balik dari Kuala Tahan ke Hulu Tembeling ialah sebanyak RM600 bagi penduduk tempatan dan untuk pelancong ialah RM900 sekali perjalanan," katanya.

Justeru, jelas Abdul Rani, kos itu akan dapat dikurangkan jika ada jalan raya ke kawasan pedalaman Hulu Tembeling selain ia lebih selesa dan pantas.

''Pelancong juga boleh menikmati keindahan alam sekitar dan budaya penduduk tempatan," katanya.

Penduduk Kampung Pengau, Abdullah Ismail, 66, menjelaskan, ketiadaan pembangunan di kawasan itu menyebabkan kebanyakan penduduknya miskin.

''Tengoklah rumah saya ini, dibina 30 tahun lalu dengan kayu hutan dan kulit pelupuh serta tidak mampu dibaiki semula lantaran ketiadaan duit apatah lagi saya uzur dan tidak mampu bekerja," katanya.

Menurutnya, kemunduran Hulu Tembeling menyebabkan golongan belia berhijrah ke tempat lain untuk mencari kehidupan baru yang lebih selesa.

Seorang lagi warga emas kampung itu, Abd. Hamid Dahaman, 73, berkata, isu jalan raya antara topik hangat apabila penduduk bertemu pemimpin dan pegawai kerajaan yang hadir di kampungnya.

''Ketiadaan jalan raya membantut semua urusan harian penduduk terutama membabitkan pengeluaran hasil pertanian dan perniagaan sedangkan perkara itu kerap disuarakan oleh pemimpin untuk memajukan penduduk luar bandar," katanya.

Dia berharap pemimpin dan pegawai kerajaan mendengar segala rintihan penduduk di Hulu Tembeling yang amat dahagakan pembangunan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak ketika diminta mengulas masalah tersebut mengakui masih ramai penduduk di kawasan Hulu Tembeling berada pada paras kemiskinan tegar.

Menurut beliau, sehingga kini, seramai 112 keluarga berpendapatan di bawah RM250 sebulan yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dan ketua keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai dikenal pasti di kawasan itu.

''Kita sedang berusaha mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan tegar menerusi pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dijalankan," jelasnya.

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...