terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, February 3, 2010

Hospital Raja Perempuan Zainab 2 kurang peralatan

SAYA tidak puas hati terhadap mutu perkhidmatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) 2, Kota Bharu, Kelantan.

Baru-baru ini ibu saya dikejarkan ke hospital itu kerana tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.

Selepas dirawat di wad kecemasan, doktor mengesahkan ibu perlu dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaannya agak tenat dan memerlukan pemerhatian serius.

Namun, hospital mendapati tiada kekosongan di wad ICU dan ibu dipindahkan ke wad biasa untuk sementara waktu.

Saya turut diberitahu doktor mengenai peralatan dan alat bantuan pernafasan yang sepatutnya digunakan ibu tidak mencukupi.

Namun, doktor memberi jaminan yang semua itu hanya sementara. Jika ada kekosongan di wad ICU, ibu dipindahkan segera dan mendapat peralatan lebih sesuai dengan keadaannya.

Doktor terakhir yang merawat ibu sebelum saya menulis surat ini turut mengarahkan jururawat menukar peralatan, namun sehingga kini ibu menggunakan peralatan yang tidak bersesuaian dengan keadaannya yang semakin hari semakin kritikal.

Lebih menyedihkan apabila ibu turut terkena jangkitan kuman pada paru-paru dan ia mula merebak ke buah pinggang.

Sehingga kini hampir seminggu terlantar di hospital itu, ibu masih berada di wad biasa, tidak dipindahkan ke wad ICU seperti dijanjikan dan masih menggunakan peralatan yang tidak sesuai dengan keadaannya.

Ada juga percanggahan antara doktor dan jururawat bertugas. Ibu juga demam dan doktor menyarankan kain lembap diletakkan di atas kepalanya dan ia perlu ditukar apabila kering.

Saya mengikut arahan doktor dan masuk ke dalam wad setiap sejam, namun jururawat menghalau saya keluar kerana bukan waktu melawat.

Saya menghormati waktu melawat dan cuma melakukan apa yang disarankan doktor, tambahan pula doktor menyatakan saya dan keluarga perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Saya kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap Hospital Raja Perempuan Zainab 2 atau Kementerian Kesihatan membuat sebarang penambahbaikan.

Dua tahun lalu perkara hampir sama berlaku kepada arwah bapa saudara saya dan tanpa disangka ia berlaku kepada ibu sendiri.

Bagi kami yang tidak tahu perkara sebenar di sebalik semua masalah ini menganggap yang pihak hospital bagai bersikap 'acuh tak acuh' dengan pesakit atau mungkin kerana keluarga saya bukan orang ternama atau pegawai tinggi yang layak menerima layanan baik.

Setiap pesakit yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan tenat layak mendapat rawatan sempurna walaupun mungkin untuk kali terakhir.

YANG KECEWA,
Kota Bharu,
Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...