terima kasih buat kalian semua..

Monday, February 15, 2010

Industri kereta beralih ke timur


SELAIN kisah skandal, politik dan bola sepak, satu lagi topik popular sembang sambil minum teh tarik dengan teman-teman ialah kereta. Topik ini begitu unik kerana semua akan mengaku diri masing-masing pakar terutama bab mengkritik kereta nasional tetapi sanggup berbelanja besar membeli kereta asing walaupun berstatus ‘kereta terpakai’ atau second-hand.

Hari ini kita tidak berbicara mengenai spesifikasi kereta atau pengendaliannya kerana ruangan khusus pemotoran akhbar ini ialah dalam sisipan Wow terbitan setiap Sabtu. Sebaliknya, hari ini kita akan mengembangkan sedikit pengetahuan mengenai industri auto global yang boleh anda bahaskan bersama teman-teman bermula dengan dua soalan dibawah:

1) Apakah jenama kereta yang diketahui berasal dari negara A tetapi kini dikuasai negara B?

2) Negara apakah yang pernah dikenali sebagai satu daripada kuasa dunia automotif tetapi kini bukan lagi?

Jawapannya tidaklah susah sangat kalau rajin mengikuti berita seumpamanya. Namun jika anda rasa boleh menemui jawapannya dengan memandang ke arah kereta-kereta yang lalu-lalang depan anda sekarang, pencarian itu mungkin baru mencapai 10 peratus.

Berikut adalah senarai kasar: jenama Amerika Syarikat iaitu keluaran General Motors, Hummer yang dijual kepada Sichuan Tengzhong Heavy Industrial Machinery Company dari China. GM juga sedang dalam proses menjual Saab Automobiles. Jenama Saab yang berasal dari Sweden itu kini sedang dibina oleh entiti dari Belanda dan China.

General Motors (atau diberi jolokan Government Motors kerana menerima dana bail-out Presiden Barack Obama) menamatkan riwayat kereta Pontiac dan Saturn pada tahun lalu setelah tidak dapat menanggung kerugian besar.

Satu lagi syarikat yang pernah menjadi gergasi automotif Amerika, Ford Motors mengumumkan persetujuan untuk menjual jenama Volvo kepada kumpulan syarikat Geely Automotive dari China. Kedua-dua pihak berharap untuk memuktamadkan urus niaga menjelang akhir Mac ini.

potensi

Jelas di sini, syarikat automotif China telah menampakkan potensinya untuk muncul sebagai kuasa automotif dunia menerusi pengambilalihan jenama-jenama besar tersebut. Ia mula dikesan apabila Shanghai Automotive Industry Corporation (SAIC) mengambil alih jenama MG dari United Kingdom setelah ikon kereta sports itu jatuh muflis pada 2005.

SAIC juga kini pemegang saham terbesar iaitu 51 peratus dalam kereta SsangYong Motor Company yang cukup dikenali di Malaysia dengan model kenderaan utiliti sports, Rexton.

Namun, kemunculan China itu tidak bersifat eksklusif. Ini kerana satu lagi negara ekonomi yang pesat tumbuh ialah India. Dengan ketelitian dan ketekunan, Tata Motors Ltd. membeli satu persatu jenama Daimler, Jaguar dan Land Rover, kesemuanya berasal dari UK yang dikuasai oleh Ford Motors.

Trend dalam industri automotif global ini ketara menunjukkan jika sebelum ini, proses pengambil alihan sesuatu jenama berlangsung dari satu syarikat yang terpaksa menjual kepada syarikat sedia ada besar dan terkenal. Alasan yang diberikan ialah dengan menjual kepada entiti besar, maka warisan sejarah, kekuatan jenama dan keyakinan pelanggan akan kekal utuh.

Maka pada 1990-an hingga abad yang baru lalu, dunia menyaksikan penjualan jenama Seat (sebut Sey-yat) yang berasal dari Sepanyol kepada konglomerat automotif Jerman, Kumpulan Volkswagen pada 1990. Jenama MINI dan Rolls-Royce dari UK pula dijual kepada BMW. Daimler dan Chrysler pernah bercantum tetapi bercerai semula setelah jenama Jerman sukar meraih sinergi daripada penggabungan tersebut.

Konglomerat automotif Itali, Fiat memiliki 85 peratus kepentingan dalam Ferrari dan 20 peratus dalam Chrysler yang mungkin ditambah menjadi 35 peratus bergatung kepada rundingan masa depan. Fiat turut menguasai Alfa Romeo dan Maserati.

Ford Motor Company yang banyak menjual jenama kereta di bawah sayapnya, masih mengekalkan pegangan saham sebanyak 13.4 peratus dalam Mazda. Atas faktor ini bila dilihat pada trak pikap Ford dengan Mazda ia begitu mirip antara satu sama lain.

Kumpulan syarikat automotif Korea, Hyundai Kia Automotive menguasai 38.67 peratus ekuiti dalam Kia motors, menyusut dari 51 peratus yang dimilikinya pada 1998.

Porsche Automobil Holding SE pula memegang 50.74 peratus kepentingan dalam Kumpulan Volkswagen. Disebabkan kerumitan kecairan, Volkswagen kini dalam proses mengambil alih sepenuhnya Porsche yang dijangka disempurnakan pada 2011.

model

Renault-Nissan Motors merupakan dua syarikat global yang memiliki model perniagaan yang bukan sahaja unik tetapi terbukti berjaya. Renault mempunyai 44.3 peratus saham Nissan manakala Nissan ada 15 peratus dalam Renault.

Jenama kereta terlaris global pula, Toyota menguasai 51 peratus kepentingan dalam Daihatsu. Di Malaysia, ia ditukar label menjadi Perodua yang baru saja menyaksikan lantikan baru Pengarah Urusannya yang datang dari UMW Toyota Motors.

Dan ini fakta yang pasti merancakkan rangsangan minda anda hari ini: Malaysia turut tercatat dalam senarai kuasa automotif menerusi pemilikan jenama Lotus yang berasal dari UK. Syarikat kereta nasional, Proton mengambil alih Lotus pada 1994 berikutan pemilik asalnya Buggati jatuh bankrap. Kenapa kereta Lotus tidak dijual di Malaysia sebagai Proton? Mungkin tidak sesuai kerana Lotus secara khususnya adalah pengeluar kereta lumba dan sports premium.

Pada 2004, Proton mengumumkan perjanjian dengan Volkswagen AG untuk melaksanakan pakatan strategik. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan industri automotif negara merasai gegak-gempita daripada kedua-

dua pihak. Nampaknya pakatan strategik yang diharapkan gagal dicapai dan diumumkan tamat rundingan pada 2007, terutama apabila membabitkan persoalan melupuskan jenama Proton yang merupakan titik tolak permulaan era perindustrian di Malaysia pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, berdasarkan trend global sekarang seperti yang dibentangkan di atas, satu-satunya cara untuk kekal relevan dan untung ialah menjalin ikatan dengan entiti automotif global. Dalam dunia tanpa sempadan, persoalan asal-asul sesebuah jenama kereta akan hanya dicemuh sebagai agenda emosi semata-mata. Mujurlah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi sentimen ini dan mahu Proton melakukan langkah yang sewajarnya demi memastikan kesinambungan hayat Proton. Sekarang, mulakan hujah anda dan tambah secawan teh tarik lagi!

Oleh Johardy Ibrahim

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...