terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, February 10, 2010

Isu Guru Buat Keje Pentadbiran

SAYA menyokong penjelasan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang antara lain menegaskan kerja pentadbiran juga sebahagian tugas guru.

Tulisan Akmal Fairuz dalam ruangan ini baru-baru ini bertajuk 'Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran' ternyata salah, menyimpang dan amat bahaya, jika menjadi pegangan serta amalan.

Guru berbeza daripada kerjaya profesional lain kerana mereka ialah ejen sosialisasi masyarakat yakni 'menginsankan' individu dan memasyarakatkan manusia. Hal ini terkandung secara nyata dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Saudara Akmal Fairuz mungkin teruja dengan teori pengkhususan yang menjadi begitu popular di kalangan pengamal ekonomi industri.

Menurut teori ini, jika seseorang hanya melakukan sebahagian kecil daripada produk tertentu, maka produk keseluruhannya dapat dioptimumkan.

Hal ini ternyata berjaya dalam industri pembuatan, misalnya industri kenderaan. Bahagian kenderaan tertentu diusahakan secara khusus dalam industri berbeza. Kesan akhirnya, kenderaan yang dikeluarkan bertambah dari semasa ke semasa.

Pendekatan teori ini tidak boleh dipraktikkan di sekolah kerana ia bukan kilang atau industri yang memproses manusia untuk menjadi seperti yang kita harapkan.

Proses tumbesaran dan menjadikan manusia amat berbeza dan kompleks sifatnya.

Jika guru bahasa sekadar mengajar bahasa atau guru pendidikan jasmani sekadar mengajar Pendidikan Jasmani, kesudahannya kerja berkaitan dengan sifat manusia dan kemanusiaan murid bagaimana pula?

Siapa yang akan bertanggungjawab hal berkaitan pembangunan jiwa, emosi, kebajikan dan soal berkaitan potensi, bakat, minat serta kecenderungan murid? Paling penting murid yang belajar bahasa tidak semestinya menjadi pakar bahasa. Demikian juga, murid yang belajar Matematik belum tentu menjadi pakar matematik.

Justeru, guru bahasa, Matematik dan guru lain perlu berkompromi dalam usaha menentukan proses kemenjadian murid.

Sehubungan itu sama ada mahu atau tidak, guru perlu melakukan kerja pentadbiran supaya aspek pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan kecekapan murid dalam bidang tertentu dapat dibentuk bersama di kalangan mereka.

Paling penting, Akmal Fairuz dan rakan guru sepertinya perlu faham jiwa pendidik tulen terdahulu. Akronim kata, 'guru' yakni 'Guru Untuk Rakyat Umum' sudah berakar umbi sejak lama dulu.

Guru melakukan apa saja yang terdaya untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Itulah sebenarnya kerja guru sejak dulu, kini dan insya-Allah akan begitulah selama-lamanya.

Guru berjiwa besar tidak saja berdepan dengan muridnya, sebaliknya perlu menghadapi ibu bapa dan masyarakat, berganding bahu dengan agensi masyarakat dan memberi sumbangan tenaga serta fikiran bernas ke arah membangunkan masyarakat dan negara ini.

Anda ditakdirkan menjadi guru, maka jadilah guru sebenar-benarnya untuk masyarakat dan negara.

DR ISMAIL ABD RAHMAN,
Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun,
Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.

3 comments:

  1. salam...saya tertarik untuk memberi komen mengenai artikel di atas. saya bukan seorang guru tetapi saya bertugas seperti seorang guru, mengajar dan mendidik cuma bezanya saya bertugas dari jam 8pagi hingga 5petang bukan 8pagi hingga tengahari. saya juga melakukan tugas2 pentadbiran di samping mengajar dan mendidik, malah setiap tugas itu termaktub sebagai 'tugas sampingan'. cikgu bukan sahaja kerja separuh hari malah cuti berbulan2 setahun tapi saya kerja sepenuh hari malah cuti hanya 25hari setahun. cikgu berkebarangkalian besar naik pangkat dalam tempoh 10 tahun, tapi saya belum tentu lagi, senior yg dah 12 tahun kerja pon masih di gred yg sama, saya sah jawatan pon x lg, induksi dan BTN pon admin kata nama saya ter'lepas pandang'. cikgu mengajar ade buku teks, soalan pon byk di kedai2, tp saya bukan sahaja mengajar tahap diploma, malah silibus pon saya juga kene buat, nota buat sendiri, soalan buat sendiri, kene check dgn MQA lg. cikgu nak naik pangkat kene lepas exam, tp saya kene pergi kursus CPCM dan PPK yg bukan senang nak dapat tambah research paper lg, exam dan ape2 lg tu wajib dah. byk lg la kalau nak cakap, cuma last nak bg tau, cikgu ade NUTP yg jaga pekerja2nya yg kerja separuh hari, cuti berbulan dan cepat naik pangkat, tp sape nak jenguk kami pensyarah politeknik yg kerja 8-5, cuti 25 hari, majoriti DH41 (xnampak bile nak DH44 walaupon dah 12 tahun keje), buat research lg, MQA lg, buat silibus lg, subjek lg susah...saya xfaham kalau orang xnampak keje kami berkali ganda lg susah dan byk tp kebajikan kami terlalu tidak dijaga berbanding rakan2 cikgu sekolah...

    ReplyDelete
  2. AYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

    Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

    Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

    Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

    Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

    Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

    Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

    Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

    Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya.

    ReplyDelete
  3. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

    Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

    Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

    Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

    Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

    Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

    Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

    Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...