terima kasih buat kalian semua..

Thursday, February 18, 2010

Isu lambakan warga asing

SAYA ucapkan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sanggup turun padang melihat sendiri senario warga asing yang terdapat di ibu negara. Hasilnya, beliau merumuskan bahawa lambakan warga asing adalah luar biasa.

Terdapat banyak persoalan di sebalik rumusan itu. Mengapakah ia berlaku dan bagaimanakah ia boleh terbiar sehingga jumlah warga asing yang masuk ke negara ini bagaikan tidak terkawal.

Apa yang Hishammuddin lihat itu hanya di Chow Kit. Jika beliau masuk ke kampung-kampung tertentu, pasti beliau akan lebih terkejut. Sekarang ini, apa sudah jadi dengan gerai-gerai jualan atau kedai di Chow Kit. Siapa yang berniaga di situ? Lihat juga di Kepong. Jengahlah ke pinggir ibu negara seperti Kampung Pandan dan Kampung Melayu Ampang misalnya, apa sudah jadi di situ? Bagaimana dengan kampung-kampung lain? Bagaimana dengan warga asing yang sekian lama bertapak di sini, beranak pinak, mendirikan rumah di tanah Malaysia.

Senario kebanjiran warga asing bukanlah perkara asing bagi rakyat. Media kita terutamanya Utusan Malaysia sendiri telah banyak membuat pendedahan mengenai isu ini. Namun, apakah kesudahannya? Warga asing bukan semakin kurang, malah semakin meningkat jumlahnya.

Saya tidak mampu lagi untuk bayangkan keadaan itu dalam tempoh 10 tahun akan datang. Hakikatnya, pemimpin kita (sama ada pemerintah atau pembangkang) terlalu sibuk berpolitik, bercakaran sesama sendiri dan tidak pernah mencari titik noktah bagi menyelesaikan masalah pendatang asing. Maafkan saya, orang politik di negara kita nampaknya mengeksploit masalah untuk menyelesaikan masalah sehingga kita semakin bertambah masalah.

Maka isu-isu penting seperti kebanjiran pendatang tanpa izin ini bagaikan terlepas pandang. Walaupun ia adalah sesuatu yang malang bagi negara kita, namun sebenarnya kita masih belum terlewat untuk bertindak. Hishammuddin telah pun melihat sendiri apa yang berlaku dan sudah tentu beliau tidak akan berdiam diri.

Rakyat gembira dengan pendedahan beliau itu. Rakyat terasa lega apabila pemimpin mereka melihat sendiri apa yang sekian lama menjadi ketakutan dan kebimbangan mereka.

Kepada pemimpin politik, cukup- cukuplah berpolemik kerana yang rugi ialah rakyat sendiri. Rakyat tidak wajar menjadi mangsa kepada permainan politik. Berdasarkan senario ini, saya sebenarnya amat bimbang kalau kata- kata pepatah, menang sorak kampung tergadai menjadi kenyataan.

AYOB MAMAT

Cendering, Terengganu

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...