terima kasih buat kalian semua..

Friday, February 12, 2010

MAS perlu perbaiki sistem online

SAYA adalah pengguna setia Penerbangan Malaysia (MAS). Sebagai satu cara untuk menunjukkan sokongan saya kepada MAS, saya menggunakan syarikat penerbangan ini setiap kali ingin ke sesuatu destinasi.

Tetapi yang menjadi masalah saya ialah sistem online yang diperkenalkan bagi tujuan memudahkan urusan tempahan tiket dan sebagainya. Sebelum ini saya telah beberapa kali melayari laman web MAS jika ingin membuat tempahan tiket. Masalah mula timbul apabila setiap kali ingin membuat bayaran melalui kad kredit, sistem online ini akan bertukar kepada offline secara tiba-tiba.

Setelah membuat beberapa cubaan tetapi masih gagal, saya telah menghubungi bahagian perkhidmatan pelanggan bagi menyelesaikan masalah. Tindakan yang diambil oleh pegawai perkhidmatan pelanggan itu ialah dengan membatalkan bayaran secara online dan mengaturkan bayaran secara manual iaitu mendapatkan kelulusan kad kredit melalui telefon.

Saya mendapat penyata bulanan kad kredit pada bulan berikutnya dan telah menunjukkan transaksi yang telah saya lakukan. Tetapi pada penyata kad kredit bulan berikutnya masih lagi terdapat transaksi yang sama. Ini menunjukkan transaksi telah dibuat dua kali. Ertinya transaksi yang dibuat sebelumnya tidak dibatalkan.

Saya telah mengajukan masalah ini kepada bahagian yang telah diarahkan dan diberitahu bahawa syarikat memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menyiasat perkara ini. Setelah selesai tempoh tiga bulan keputusan yang saya terima ialah mereka menyuruh saya untuk menghubungi pihak bank yang mengeluarkan kredit kad tersebut untuk menyelesaikan tuntutan semula wang yang telah dikreditkan ini.

Saya pun terus menghubungi pihak bank dan menceritakan masalah ini. Pihak bank memerlukan sekurang-kurangnya 45 hari untuk membuat siasatan. Setelah selesai 45 hari, keputusan yang saya dapat ialah pihak bank menyuruh saya untuk menyelesaikan masalah ini dengan MAS.

Bila perkara ini akan selesai sekiranya pihak-pihak yang terlibat hanya bersikap menuding jadi di antara satu sama lain? Apa akan jadi kepada tuntutan saya? Saya percaya masalah ini tidak hanya berlaku kepada saya sahaja tetapi kepada pengguna lain.

Sehingga kini setelah setahun berlalu masalah saya ini masih tidak dapat diselesaikan. Terbaru, saya telah menerima surat daripada pihak bank mengatakan tuntutan saya telah melebihi had masa tuntutan. Sebarang tuntutan perlu dikemukakan kepada MAS dan pihak bank tidak akan melayan sebarang tuntutan. Pihak MAS pula sehingga kini masih lagi tidak memberikan sebarang keputusan.

Walaupun bagi pihak MAS jumlah transaksi tersebut tidaklah sebesar mana tetapi ia melibatkan isu kepercayaan saya terhadap MAS. Sekiranya ingin membuat sesuatu sistem baru, mereka juga perlulah juga telah bersedia untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengguna. Sekiranya perkara ini terjadi kepada pengguna luar negara yang ingin menggunakan perkhidmatan penerbangan ini, bagaimana? Bukankah ini akan memburukkan nama syarikat yang menjadi kebanggaan kita selama ini?

Diharap MAS memandang serius masalah ini kerana beberapa kenalan saya juga pernah menghadapi masalah yang sama. MAS cemerlang kerana memenangi anugerah Cabin Crew Terbaik setiap tahun. Sayangnya masalah seperti yang saya hadapi tidak diambil tindakan.


Klang, Selango

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...