terima kasih buat kalian semua..

Monday, February 1, 2010

Menggigil kena cekup




Seorang bakal guru dari institut perguruan di Perak bersama 'tunangnya' terkedu dan menggigil ketakutan apabila dicekup penguat kuasa agama dalam operasi Ops Kasih yang dijalankan di hotel murah sekitar bandar ini, malam Jumaat lalu.

Gadis berusia 26 tahun itu mendakwa dia dan kekasihnya hanya berhenti tidur di hotel terbabit kerana keletihan memandu dari Negeri Sembilan sebelum meneruskan perjalanan keesokan hari ke pusat pengajiannya.

Alasan yang diberi bagaimanapun tidak meyakinkan berikutan pegawai penguat kuasa terpaksa mengetuk pintu bilik lebih 15 minit sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap yang terkejut melihat kehadiran ‘tetamu tidak diundang’ ke bilik mereka.

Walaupun cuba mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang dengan mengatakan majlis perkahwinan mereka akan berlangsung bulan depan, kedua-duanya tetap dibawa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Ibu Pejabat Polis Kajang untuk diambil keterangan.

Seorang lagi gadis berusia 19 tahun dicekup bersama pasangannya berbangsa Iban memberi alasan berada dalam bilik itu bagi mengejutkan pasangannya bangun tidur sebelum menaiki bas pulang ke Kelantan pada malam sama.

Malah, gadis terbabit cuba memberi alasan dengan mengatakan takut untuk tinggal di rumah sewa kakaknya di Sungai Merab kerana tidak berpenghuni berikutan menghadiri majlis perkahwinan.

Sementara itu, lokasi panas di Taman Tasik Cempaka Seksyen 8, Bandar Baru Bangi masih menjadi kawasan pilihan pasangan remaja memadu kasih apabila 7 pasangan ditemui dalam keadaan mencurigakan di tasik itu.

Sepasang ‘suami isteri’ cuba memperdaya penguat kuasa dengan menyerahkan salinan fotostat sijil nikah yang diragui berikutan tiada cap pengesahan dari pejabat agama.

Mereka yang mengaku sudah tiga tahun berkahwin itu turut memberi alasan kehilangan kad nikah dan memperbaharuinya di pejabat agama Kajang tahun lalu.

Walau bagaimanapun, menurut jurucakap Jais, semua proses urusan kendalian kad nikah tidak dijalankan di Kajang pada tahun lalu berikutan ditukar ke Shah Alam.

Ketua Unit Penguatkuasaan Jais daerah Hulu Langat, Norhisham Mohd Idris, berkata operasi pada malam itu dilakukan bagi membanteras kegiatan tidak bermoral di kawasan yang menjadi lokasi pilihan pasangan remaja melakukan perkara tidak senonoh.

“Saya menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak mereka walaupun tidak tinggal serumah dan berada di pusat pengajian kerana sebahagian kes khalwat membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar bandar ini.

“Kita akan mempergiatkan operasi serupa dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai masalah ini supaya melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas dapat diambil,” katanya.

Oleh Sarah Sulaiman


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...