terima kasih buat kalian semua..

Friday, February 5, 2010

MRR II: Hari-hari macam ini boleh jadi gila

MRR II atau Lebuh Raya Lingkaran Tengah II memang menjadi laluan penting kepada warga kota untuk apa jua urusan. Masalahnya, MRRII inilah yang paling banyak masalah.

Dari masalah keretakan jejambat di Kepong hingga ke masalah kesesakan kronik di sekitar laluan Pandan ke Ampang. Lebuh raya ini nampaknya mempunyai kecacatan kekal dan boleh diklasifikasikan sebagai LKU (Lebuh Raya Kurang Upaya).

Mungkin kerana lebuh raya ini tidak dikenakan tol maka menjadi ‘anak tiri’lah ia. Bagi pengguna yang menggunakannya setiap hari, maka setiap harilah terdetik dalam hati apalah malang lebuh raya ini. Kenapa JKR, DBKL, MPAJ, MPS, dan sebagainya terlepas pandang dan membiarkan lebuh raya ini terus uzur dan menjadi duri dalam daging kepada penggunanya.

Antara masalah yang berpanjangan di lebuhraya tersebut ialah:

* Masalah lopak air di sepanjang laluan antara Batu Caves ke Sg Buluh setiap kali lepas hujan. Yang peliknya, atas jejambat yang bermasalah di Kepong itu pun bertambah parah masalahnya selepas hujan ada lopak air dan banjir kilat di atas jejambat itu.

Sungguh menghairankan bila ada lopak air di atas jejambat! Dan bila sudah ada lopak air yang besar dan banjir kilatlah katakan, maka apa lagi, kesesakan lalu lintas berlaku tanpa belas kasihan. Hari-hari kena macam ini boleh masuk hospital mental.

Apa sudah jadi. Kenapa lebuh raya ini tidak diselenggara. Sudahlah pembaikan keretakan yang menelan belanja berjuta-juta masih lagi menjadi sesal dan bebal dalam hati rakyat, tambah pula masalah ini, jadilah sudah jatuh ditimpa tangga besi. Apa malang lebuh raya ini.

* Masalah gegaran yang masih dirasai di sepanjang jejambat di Kepong itu nampaknya masih terus tiada penghujungnya. Kesesakan yang berlaku atas jejambat itu saban hari menambahkan parah gegaran itu. Tidak mustahil jejambat itu boleh runtuh menyembah bumi jua akhirnya.

Jangan sampai dah ada nyawa yang melayang baru nak buat sesuatu yang sudah terlambat. Kalau masalahnya - membabitkan design, pengurusan pembinaan - tidak boleh dibaiki lagi carilah jalan mengurangkan bebannya.

Tukar laluan kenderaan berat hanya boleh melalui bahagian tengah lebuh raya, hanya lorong yang paling tengah lebuh raya berada pada paksi tiang jejambat lebuh raya itu. Dua lorong lagi berada pada sayap atau sisi atau anjung yang pada asasnya tergantung sedikit pada bahagian tengah lebuh raya. Ini menjadikannya lemah dan bergoyang-goyang.

Bila ada sahaja kenderaan berat melaluinya, pasti jejambat itu akan bergetar. Ini yang berlaku saban hari. Dan dengan tiadanya penyenggaraan dan air yang bertakung, saya yang bukan jurutera struktur masih percaya ia akan runtuh jua akhirnya.

* Masalah kesesakan di sekitar jejambat di Pandan ke Ampang. Jejambat itu mengalami masalah kesesakan yang kronik tahap 4 (seperti pesakit kanser). Hari-hari sesak siang malam pagi petang. Puncanya, bila laluan tiga lorong dijadikan dua lorong dan dah dua lorong bertemu pula dengan exit dan entry pada tempat yang sama.

Tentulah sesak sebab di situlah ada orang yang nak bersesak tukar lorong sebab lorong dah jadi dua, dan ada pula yang nak keluar lepas itu dan ada pula yang nak masuk lebuh raya itu. Tidakkah gila aturan jalan yang begitu?.

* Masalah kesesakan di simpang LDP, Sri Damansara, ke Sg. Buluh. Kerana kesesakan di lampu isyarat di situ maka kesesakan lalu lintas berlaku setiap hari dan panjang sampai ke atas jejambat yang bermasalah tadi. Inilah bahana yang menyeksa orang Kepong dan orang lain yang melalui MRR II ini sabah hari.

Harapan saya dan semua yang melalui dan mengalami pengalaman bangang di MRR II ini kami memohon pihak bertanggungjawab, JKR, DBKL, MPAJ dan sebagainya turun padang dan buatlah kerja.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...