terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, February 10, 2010

Rakyat tempatan mampu isi kekosongan kerja di restoran mamak

MENU nasi kandar, roti canai dan teh tarik boleh dikatakan sebati dengan masyarakat pelbagai kaum di negara ini apabila restoran India Muslim atau lebih dikenali 'kedai mamak' bagi masyarakat tempatan menjalankan operasi perniagaan makanan mereka.

Kewujudan restoran India Muslim yang dibuka 24 jam juga menjadi sebahagian budaya masyarakat apabila menjadi antara lokasi popular untuk makan, menonton perlawanan bola sepak atau bersantai bersama keluarga dan rakan.

Suasana meriah dengan pelanggan tanpa mengira kaum di restoran itu bukan perkara baru. Begitu juga kehadiran pekerjanya yang rata-rata terdiri daripada warga India sama ada yang mempunyai permit atau tidak.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa bimbang apabila sejumlah 39,046 warga negara India dilaporkan 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Kemasukan pekerja luar negara sama ada dari Indonesia, China, Pakistan, Myanmar dan India tidak dinafikan kepentingannya untuk menampung sektor kerja yang 'kurang popular di kalangan masyarakat tempatan.

Namun, kebergantungan secara terlampau dan kemasukan pekerja asing secara haram merugikan negara serta dikhuatiri meningkatkan kadar jenayah.

Bagi menangani kemasukan pekerja asing, terutama warga India yang 'hilang', Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan tempoh sebulan kepada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) untuk memberi maklumat lengkap statistik pekerja warga India di restoran India Muslim di negara ini serta langkah yang boleh diambil.

Dalam pertemuan itu dengan Hishammuddin, baru-baru ini, persatuan yang mempunyai ahli di lebih 2,200 restoran di seluruh negara, mengumumkan untuk mengambil tindakan drastik dengan menawarkan 25,000 kerja kosong kepada rakyat tempatan bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing.

Tidak cukup dengan itu, persatuan berkenaan turut menawarkan gaji dan insentif menarik untuk menarik minat rakyat tempatan mengisi kekosongan jawatan di restoran India Muslim. Sebelum ini, pekerja asing ditawarkan gaji antara RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi penyelia dan pelayan restoran.

Bagi menarik minat rakyat tempatan, Presma menawarkan gaji menarik, iaitu bagi pengurus restoran RM1,500 hingga RM2,500; tukang masak RM1,500 hingga RM2,500; juruwang RM1,000 hingga RM1,300 dan pelayan RM800 hingga RM1,200 bergantung kepada pengalaman dan sijil dimiliki.

Masa bekerja juga dicadangkan lapan jam dengan insentif yang bakal dibincangkan bersama KDN dan ahli persatuan berkenaan.

Persoalan yang timbul adakah peluang kerja membabitkan 25,000 jawatan kosong dengan kadar gaji baru yang dikategorikan sebagai tinggi boleh menarik rakyat tempatan untuk mengisi sektor pekerjaan yang sebelum ini dikuasai 'orang luar'.

Pandangan umum secara rambang dilakukan memberikan reaksi negatif apabila memperlekehkan kebolehan rakyat tempatan untuk bekerja di restoran India Muslim atas beberapa faktor, termasuk cara bekerja yang dikatakan tidak mampu 'ditanggung' rakyat tempatan.

Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed, berkata persatuan itu pernah mengambil langkah untuk mengambil pekerja tempatan, tetapi kurang sambutan.

Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...