terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 7, 2010

Ramai rakyat kita tiada budi bahasa, rapuh amalan nilai murni

SEBAGAI rakyat Malaysia, kita seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan kempen budi bahasa dan nilai murni. Kempen ini dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan rakyat Malaysia.

Sifat biadap dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat melalui cara mereka berkelakuan di tempat awam dan juga di jalan raya.

Sikap tidak bertimbang rasa adalah suatu perkara biasa yang dapat dilihat melalui cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; meletak kenderaan di tempat terletaknya pili bomba; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam; memotong barisan dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.

Isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan; merokok di kawasan larangan; meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, orang kurang upaya dan juga wanita hamil. Ada banyak lagi isu lain yang boleh disenaraikan dan hal ini adalah berlarutan.

Adalah tepat pada masanya bagi rakyat untuk menangani isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh manakah mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai murni itu.

Menganjurkan kempen mempromosikan budi bahasa dan nilai murni ini adalah penting, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan budi bahasa dan nilai murni itu sebagai suatu amalan harian.

Kepemimpinan melalui teladan adalah perlu dalam menjayakan kempen berkenaan. Sehubungan itu, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan harus memupuk nilai murni di kalangan kakitangan mereka.

Perkhidmatan awam contohnya, harus mempromosikan budi bahasa di kalangan staf di kaunter yang berurusan dengan orang awam. Pengamalan asas kesopanan dan berbudi bahasa dalam menjawab panggilan telefon dan membalas surat-menyurat daripada orang awam mesti diamalkan oleh mereka yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas terbabit.

Kejayaan kempen itu juga perlu dimulakan daripada kesedaran pada peringkat bangku sekolah lagi apabila budi bahasa dan nilai murni perlu diajar.

Pencapaian Wawasan 2020 hanya akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita dapat menyemai budaya berbudi bahasa dan nilai murni di kalangan rakyat Malaysia.



TAN SRI LEE LAM THYE,

Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...