terima kasih buat kalian semua..

Friday, February 5, 2010

Tarikh cuti sekolah penggal dua tak sesuai

SAYA terpanggil untuk menyuarakan pandangan terhadap isu ditimbulkan pengetua dan guru besar mengenai cuti berganti atau cuti peristiwa sempena Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 dan 11 September nanti.

Sepatutnya Kementerian Pelajaran perlu melihat dulu tarikh perayaan berkenaan sebelum mewartakan cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 3 hingga 11 September kerana cuti perayaan Aidilfitri akan jatuh pada 10 dan 11 September (bagi negeri zon A) dan 4 hingga 12 September (bagi negeri zon B).

Memang sekali pandang bagus cuti awal sebelum raya, tetapi natijahnya ialah hari terakhir cuti ialah Ahad 12 September. Cuba bayangkan betapa sesaknya jalan raya dengan kereta yang kebanyakan penghuni kota baru balik dari kampung untuk beraya.

Tambah pula, Ahad hari raya ketiga. Jika dilihat senario raya di Malaysia, kebanyakan penghuni kota akan balik beraya di kampung. Mereka akan berebut untuk kembali semula ke ibu kota pada Ahad kerana akan memulakan tugas pada Isnin.

Akhbar Berita Harian (2 Februari 2010) turut menyiarkan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, menyatakan sekolah yang ingin menyambung cuti Aidilfitri sehingga Isnin, 13 September boleh berbuat demikian dengan syarat menggantikan hari persekolahan itu.

Saya sebagai guru berasakan penggantian hari persekolahan pada Sabtu tidak membantu murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana kehadiran murid tidak menggalakkan jika hari persekolahan diadakan pada Sabtu.

Bagi pihak guru pula, mereka akan bekerja selama enam hari seminggu. Boleh dikatakan hampir setiap Sabtu mereka akan datang ke sekolah untuk tujuan sekolah ganti (cuti Tahun Baru Cina, Deepavali dan perayaan lain, mesyuarat atau perjumpaan kokurikulum.

Untuk makluman, guru dipaksa bekerja secara rela pada Sabtu bagi memenuhi tuntutan hari bekerja supaya mencukupi hari persekolahan untuk tahun berkenaan sedangkan kakitangan awam yang lain menikmati cuti hujung minggu mereka.

Saya mencadangkan supaya situasi ini tidak berulang pada masa akan datang. Pihak Kementerian Pelajaran perlu melihat dan mengkaji masa cuti serta perayaan yang akan disambut.

Sehubungan itu, apa salahnya jika kementerian menganjak cuti pertengahan penggal dua yang akan bermula pada 3 hingga 12 September kepada 10 hingga 19 September. Jika khuatir berlaku kesesakan lalu lintas pada 9 September, kementerian boleh memulakan cuti persekolahan pada 8 September hingga 15 September.

Tarikh itu tidak akan menyusahkan sesiapa baik guru atau murid mahupun ibu bapa yang bekerja. Keadaan itu juga tidak akan mengganggu jumlah hari persekolahan untuk tahun ini serta kesesakan jalan raya juga boleh dielakkan.

CIKGU NOOR,
Batu Caves, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...