terima kasih buat kalian semua..

Friday, February 12, 2010

Terlepas penerbangan AirAsia

SAYA menulis di ruangan ini bertujuan agar AirAsia memperbaiki perkhidmatan. Jika pelanggan tidak mengadu tentang masalah mereka, tentu sesuatu syarikat itu tidak mengetahui masalah pelanggan serta membaiki mutu perkhidmatan mereka.

Selasa lalu, dalam pukul 5 pagi saya dan adik lelaki saya pergi menghantar isterinya, (warganegara Indonesia yang ingin pulang melawat ibu bapanya di Jogjakarta), bersama anaknya. Kami ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk mendapatkan penerbangan AK594, penerbangan ke Jogjakarta yang dijadual berlepas pukul 7.00 pagi.

Sampai di sana sebelum pukul 6 pagi, kami tercari-cari tempat check in untuk penerbangan tersebut. Ternyata papan kenyataan di tempat check in terlalu kecil untuk dilihat dan dibaca dari jauh. Ada juga terdapat kaunter check in yang hanya ditampal dengan kertas putih A4, memberitahu tentang destinasi penerbangan untuk kaunter tersebut.

Setelah mencari-cari, akhirnya diketahui ada satu kaunter untuk tiga destinasi ke Indonesia, termasuklah Jogjakarta.

Kami pun berbaris di kaunter tersebut yang mempunyai dua barisan yang begitu panjang. Sepanjang adik ipar saya (mengandung) berada di dalam barisan bersama anak lelakinya, kami tidak mendengar sebarang pengumuman tentang pelepasan penerbangan ke Jogjakarta itu. Jadi kami menyangka masih sempat untuk terus berada di barisan, walaupun ia terlalu panjang.

Setelah beratur hampir 45 minit, apabila sampai di kaunter, pegawai bertugas memberitahu bahawa check in untuk penerbangan ke Jogjakarta telah ditutup dan harus ke kaunter lain, S14, bukan kaunter S16 yang kami telah beratur lama. Rupanya kaunter tersebut bukan hanya untuk ke Jogjakarta, tetapi juga untuk ke destinasi lain.

Yang kami sedih, sepanjang kami beratur hampir sejam, tidak ada pengumuman tentang penerbangan tersebut, atau memberitahu kami harus ke kaunter lain. Tiada juga pengumuman tentang nombor penerbangan AK594 disebut. Atas dasar ini kami merasa tidak mengapa untuk terus berada di barisan, mungkin ada sedikit kelewatan dalam penerbangan.

Bila kami bertanya kepada pegawai bertugas di kaunter S14, mereka berkata bahawa pengumuman telah dibuat, tetapi disebut penerbangan ke Jakarta. Adik saya menuju ke Jogjakarta, bukan Jakarta! Kalau pengumuman dibuat dengan betul, menyebut nombor penerbangan dan destinasi dengan jelas dan teratur, sudah pasti para penumpang dapat mendengar dengan jelas.

Adik saya cuba mendapatkan bantuan untuk penerbangan keesokan harinya. Ternyata adik saya perlu membayar lebih kurang RM1,000 lagi tambahan. Saya amat merasa kecewa dengan keadaan ini. Sebelum ini, saya tak pernah melalui peristiwa seperti ini. Semua berjalan lancar dan mudah dengan AirAsia.

Saya merayu kepada AirAsia agar memandang serius perkara ini. Bukan sebab ia terjadi kepada adik ipar saya dan anak kecilnya, tetapi jika tidak diperbaiki, mungkin berlaku ke atas orang lain lagi di masa hadapan.

Tiket pada hari tersebut terpaksalah menjadi ‘gajah putih’, tidak dapat digunakan. Tidak dapat juga untuk mendapatkan wang kembali.


Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...