terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, March 10, 2010

30 tahun tunggu bekalan air bersih

Penduduk Kampung Jaya Bakti semakin terhimpit apabila perigi, kolam kini kering

SANDAKAN: Musim kemarau sekarang memaksa kira-kira 1,130 penduduk Kampung Jaya Bakti, dekat sini menggunakan air anak sungai dan longkang kotor untuk mandi serta membasuh pakaian, selain terpaksa mengeluarkan kos membeli air untuk diminum.

Penderitaan itu semakin menghimpit kehidupan mereka sejak sebulan lalu apabila tangki air di rumah masing-masing dan perigi kering kontang akibat cuaca panas.

Kesengsaraan yang ditanggung sejak 30 tahun lalu berikutan ketiadaan bekalan air bersih, semakin membebankan setiap kali musim kemarau antara Januari hingga April setiap tahun.

Tinjauan Berita Harian di kampung itu, di sini mendapati hampir semua sumber air seperti perigi dan kolam, kering kontang.

Meskipun ada sumber air dari anak Sungai Ulu Dusun berhampiran kampung itu, ia tidak boleh digunakan berikutan pencemaran sungai yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa toksik beberapa kilang pemprosesan kelapa sawit sejak 1989.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jaya Bakti, Asip Ahim, berkata penderitaan penduduk akibat ketiadaan bekalan air bersih bukan setakat menghimpit mereka sejak sebelum merdeka, malah selepas negara mencapai kemerdekaan.

Nasib kami tidak pernah berubah sejak sebelum dan selepas merdeka kerana tiada bekalan air bersih. Seramai 1,130 penduduk yang menghuni 167 rumah di kampung ini semakin menderita apabila perigi dan kolam yang kami gali sendiri tidak mampu bertahan lama pada musim kemarau.

Penderitaan kami semakin parah apabila permohonan untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sepanjang musim kemarau tidak dilayan, katanya, di sini.

Kampung Jaya Bakti adalah skim penempatan pekebun kelapa sawit milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang diwartakan sebagai perkampungan pada 1980.

Kampung itu berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum yang diwakili Datuk Zakaria Edris dan Parlimen Libaran yang diwakili Datuk Juslie Ajirol.

Asip berkata, penduduk terpaksa membeli air bersih dari pekan Beluran atau bandar Sandakan untuk diminum dan memasak, manakala untuk mandi dan membasuh pakaian, mereka terpaksa menggunakan air anak Sungai Jaya Bakti serta longkang berhampiran yang kotor.

Saya menghantar surat memohon MPS membekalkan air bersih kepada penduduk sepanjang musim kemarau pada 21 Februari lalu.

Berikutan itu, MPS menghantar lori tangki air. Bagaimanapun, hanya sekali lori itu datang. Kami tertunggu-tunggu lori itu datang lagi tetapi ibarat menunggu buah tak gugur, katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Jaya Bakti, Othman Abdullah, berkata hampir semua rumah penduduk ada tangki menyimpan air hujan tetapi sudah kering akibat musim kemarau.

Bukan semua air dalam tangki boleh digunakan sepenuhnya kerana saluran air dari bumbung sudah banyak yang berkarat. Kami bimbang menggunakannya untuk diminum kerana mengandungi karat yang berbahaya untuk kesihatan, katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan segera meringankan beban hidup penduduk dengan menyediakan bekalan air bersih yang bukan setakat membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat, malah memastikan kesihatan mereka sentiasa terjamin.

Kami tidak tahan lagi menanggung derita kerana tidak ada bekalan air bersih. Hidup kami tidak seperti penduduk di kawasan lain yang sudah lama menikmati bekalan air bersih, katanya.

Bagaimanapun, katanya, kesengsaraan sedemikian tidak pernah melemahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan kerana mereka yakin kepada ketentuan Allah SWT.

Oleh Johary Indan


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...