terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 12, 2010

'Aurah' Muslimah


TUJUAN wanita diperintahkan Allah wajib menutup aurat ialah membezakan dengan haiwan; supaya wanita tidak disakiti; sebagai tanda atau seperti uniform kepada penganut Islam dan menandakan profesionalisme dalam sistem pemakaian Islam.

Sejak beberapa selebriti di negara ini dilihat gemar mengenakan selendang, gayanya sebegitu semakin menjadi ikutan ramai wanita. Mungkin segelintir memikirkan ia fesyen, tetapi hakikatnya cara pemakaian sebegitu tidak sempurna. Mungkin ingin melihat diri secantik si empunya diri, tetapi hakikatnya ia tidak menepati syariat dalam menutup aurat sebenar.

Lantaran terlalu kerap menyaksikan wanita bergaya sedemikian, tidak banyak sedikit pasti ada berkenan lalu mengikutnya, malangnya ia tidak lebih daripada perbuatan sia-sia apabila anak tudung ditinggalkan, sebaliknya rambut ditutup selendang yang tetap menampakkan sebahagian rambut. Ada juga wanita yang gemar mengenakan tudung, tetapi hanya ke pejabat, sedangkan aurat perlu diteruskan walaupun berada di luar rumah seperti menyidai pakaian atau ke kedai runcit berhampiran rumah.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di negara ini apabila ramai bertudung, tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat.

Aurat berasal daripada daripada perkataan bahasa Arab bererti 'Aurah' yang bererti kurang. Di dalam fiqh, pula ertinya sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib.

Pereka Indonesia, Ida Royani, berkata untuk memenuhi syarat menutup aurat, ciri-ciri pakaian berkenaan termasuklah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan, longgar; tidak jarang dan tidak menyerupai lelaki.
“Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi atau bukan mahram.

“Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: ‘Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka’. Firman Allah lagi yang bermaksud: ‘Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’ (Surah al-Ahzab, ayat 59). Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat . Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Ida yang hampir dua dekad terbabit menghasilkan pakaian Muslimah berkata, walaupun ingin bergaya, bagi wanita menutup aurat adalah penting bagi mereka menjaga adab dalam berpakaian.

“Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak,” katanya.

Tegasnya, dalam mereka pakaian Muslimah, pereka tidak boleh syok sendiri sebaliknya mementingkan aspek aurat seperti tidak terlalu ketat dan jarang. Umpamanya, sekiranya menggunakan produk seperti sutera tidak salah menambah bahagian dalam.

“Perlu bagi pereka mendidik pengguna dengan menghasilkan pakaian sebaiknya. Walaupun pelanggan bebas memilih, hakikatnya apabila kita mengeluarkan banyak pakaian berbentuk Muslimah, maka secara tidak langsung kita mendorong pelanggan meminati pakaian menutup aurat, seperti Indonesia yang sudah pun menjadi kiblat pakaian Muslimah,” katanya.

Bagi pereka Calvin Thoo pula, pakaian Muslimah ‘boleh jual’ dengan mudah kerana selain tumpuan warga tempatan, ibu kota tetap menjadi pilihan pelancong beragama Islam dari Brunei, Indonesia dan Asia Barat.

“Takkan lah saya menghasilkan pakaian yang terlalu jarang dan tidak menepati kehendak aurat itu. Sejak membabitkan diri dalam mereka busana Muslimah, saya kerap membaca malah bertanya kepada orang-orang Islam mengenai pakaian yang sesuai. Kalau menghasilkan helaian yang agak tebal dan bertingkat-tingkat, saya pastikan menggunakan fabrik sejuk. Sementara kalau agak jarang, saya sarankan kepada mereka menggunakan kain dalam atau ‘inner’,” katanya.

Thoo, berkata menutup aurat juga boleh menyerlahkan gaya seorang wanita. Mengambil contoh potongan longgar dan lengan kembung yang tetap diminati, menjadi pilihan kerana ia menutup aurat, lantaran bercerut pada hujung pergelangan tangan.

Sementara pemilik Beautiful Abaya, Haliah Abdul Hamid, selesa menjual abaya. Katanya, pemakaian abaya antara cara terbaik memelihara aurat wanita ia mempunyai potongan longgar dan tidak jarang.

“Saya mengimport abaya dari Asia Barat. Walaupun di sana mereka gemar memakai baju berwarna hitam, untuk disesuaikan dengan selera tempatan, ada juga abaya didatangkan dalam warna menarik kerana wanita di sini rata-rata memang gemarkan pakaian berwarna, selain hitam semata-mata,” katanya.

Satu kelebihan menggayakan abaya apabila wanita tidak perlu terlalu berlebih-lebihan dalam mengenakan padanan aksesori.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung, tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukan ilmu Islam sebenar.

INFO: Salah faham mengenai aurat


  • Aurat itu adalah memakai tudung saja justeru mengenakan kemeja T berlengan pendek dibenarkan.
  • Memakai tudung, tetapi kain belah, sendat atau terlalu nipis hingga menyerlahkan bahagian tertentu tubuh badan.
  • Bertudung, tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
  • Bertudung, tetapi hanya memakainya di pejabat saja, tidak di sekitar rumah atau kawasan rekreasi.
  • Menampakkan bahagian dadanya daripada ditutupi kain tudung.
  • Tudung yang amat nipis sehingga boleh dilihat rambut, leher, tengkuk dan dadanya.
  • Pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya.
  • Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...