terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 25, 2010

Beribadat di depan Kaabah

UMAR al Khattab benar-benar menjadi peneroka kepada era dakwah atau penyebaran Islam oleh Rasulullah SAW secara terbuka dan berterus terang. Keberanian Umar membawa keluar Islam dari persembunyian itu menyebabkan Rasulullah begitu kagum, lantas menggelarkan sahabat itu dengan panggilan Umar Al Faruq, iaitu seseorang yang dapat membezakan antara hak dan batil, antara kebenaran dan yang palsu.

Sejak itu, tanpa perlu takut apatah lagi segan, baginda dan seluruh sahabat tidak lagi menoleh ke belakang kecuali maju terus ke hadapan untuk menyampaikan Islam tanpa mengira masa, tempat dan sasaran.

Ia juga menyaksikan umat Islam 'merdeka' melakukan ibadat di Kaabah. Mereka solat dan memanjatkan syukur terhadap Allah kerana telah menjadi impian sekian lama untuk beribadat di hadapan Kaabah tanpa gangguan mana-mana pihak.

Ibnu Masud r.a. berkata: "Kami tidak berupaya untuk bersembahyang di sisi Kaabah melainkan setelah Umar memeluk Islam. Apabila dia masuk Islam, dia memerangi mereka sehingga Quraisy membiarkan kami sembahyang dengan bebas. Sesungguhnya dengan Islamnya Umar adalah suatu kemenangan. Kami sentiasa merasa mulia sejak Umar memeluk Islam."

Diriwayatkan dari Suhayb bin Sinan al Rumiy r.a pula katanya: "Apabila Umar masuk Islam, maka Islam mula zahir dan dia menyeru kepada Islam secara terang-terangan. Kami pun duduk di sekitar masjid (Kaabah) dalam beberapa halaqah (lingkaran) dan kami bertawaf sekeliling Kaabah.

"Kami juga dapat membalas terhadap mereka yang berkasar dengan kami dan kami pulangkan sebahagian yang pernah mereka lakukan terhadap kami."

Benar semua kejadian di Kaabah itu terpaksa disaksikan sendiri oleh kaum Musyrik lagi kafir sambil tidak dapat berbuat apa-apa lagi apabila Islam mempunyai dua jaguh yang sangat terkemuka iaitu Hamzah dan Umar.

Namun Abu Jahal yang mati akal, datang berjumpa Nabi Muhammad lalu berkata: "Wahai Muhammad, kalau kamu cerca lagi tuhan kami selepas ini kami akan mencerca Allah!"

Lalu turun ayat memberi panduan kepada umat Islam untuk berhadapan dengan sikap Abu Jahal tadi dalam surah al-An'am ayat 108.

Tetapi sebelum itu tahukah anda bagaimana bapa saudara Nabi Muhammad iaitu Hamzah Abdul Mutalib memeluk Islam?

Kita perlu kembali ke peristiwa Nabi SAW dihina oleh Abu Jahal ketika baginda memanggil penduduk Mekah untuk menerima seruan baginda di Bukit Safa, iaitu di peringkat awal baginda cuba berdakwah terhadap kaumnya.

Seorang hamba wanita milik Abdullah bin Juda'an terus mengadu kepada Hamzah yang ketika itu baru pulang dari memburu binatang mengenai penghinaan yang dibuat oleh Abu Jahal terhadap baginda.

Hamzah yang ketika itu belum lagi memeluk Islam begitu marah dan terus mencari Abu Jahal yang dikatakan sedang berkumpul dengan kaumnya.

Sejurus Hamzah bertemu dengan seteru Islam itu, tanpa banyak soal, bapa saudara Nabi itu terus mengetuk kepala Abu Jahal dengan busur panah yang ada di tangannya sehingga luka berdarah.

"Berani kamu menghina Muhammad pada hal aku seagama dengan dia. Tahukah kamu aku sendiri percaya dengan apa yang diserukannya itu," kata Hamzah dengan bengisnya.

Walaupun mengalami luka dan seolah-olah dimalukan di hadapan khalayak ramai namun amaran keras Hamzah itu sedikit pun tidak dibalas oleh Abu Jahal. Ini kerana dia memang gentar kepada kekuatan Hamzah.

Namun selepas kejadian itu, dengan segera Hamzah menemui anak Nabi untuk memeluk Islam kerana bimbang pembohongannya yang beliau telah memeluk Islam akan diketahui ramai.

Pengislaman Hamzah itu sangat ditakuti oleh kaum musyrikin kerana beliau sangat terkenal dengan keberanian dan kegagahan.

Lalu apakah caranya lagi bagi kaum kafir Quraisy itu untuk menghalang kemaraan Islam? Segala-galanya telah dilakukan. Daripada sehalus-halus perbuatan termasuk memujuk Nabi Muhammad sehinggalah para pengikut baginda ramai yang mati disiksa namun semua gagal.

Namun apa yang dapat dilakukan oleh patung-patung yang kaku dan bisu itu? Sebanyak mana pun mereka membuat persembahan dan korban di hadapan berhala-berhala, tiada satu pun dari patung-patung itu mampu menunjukkan kuasa mempertahankan diri mereka dari terus kononnya dihina oleh ajaran-ajaran Islam yang dibawa oleh baginda itu.

Mereka benar-benar terkepung dengan segala macam kesulitan yang mereka sendiri ciptakan.

Untuk membunuh Rasulullah mungkin mudah bagi mereka lakukan namun mereka sedar setitis darah baginda tumpah maka akan berlaku pertumpahan darah yang lebih teruk di seluruh Mekah. Lebih teruk mereka sendiri akan terbunuh dan musnah.

Lalu agenda untuk membunuh baginda terpaksa mereka lupakan.

Namun setiap hari telah menjadi rutin sebahagian dari mereka terus menyakiti Nabi SAW yang kebetulan lingkungan jiran-jirannya, ramai yang masih terdiri dari golongan kafir.

Antara jiran-jiran baginda itu termasuklah Abu Lahab, iaitu bapa saudara baginda sendiri, Hakam Ibni Abil asi, Uqbah bin Abi Muit dan Udai bin hamra al Saqofi. Inilah jiran-jiran terdekat baginda.

Mereka semua sepakat menyakiti baginda. Iaitu dengan cara semua dan segala macam jenis sampah dan kotoran dari rumah mereka, terus dibuang di hadapan rumah nabi.

Apabila mereka menyembelih lembu, unta mahupun kambing segala perut, tali perut dan kekotoran haiwan-haiwan itu diletakkan di hadapan rumah baginda.

Namun baginda tidak pernah marah atau membalas perbuatan-perbuatan mereka itu, malah baginda tetap bersabar dan baginda membersihkan dan membuang semua sampah dan kotoran itu.

Sebenarnya keluarga dan seluruh kaum kerabat Nabi SAW turut bimbang terhadap keselamatan baginda. Lebih-lebih lagi bapa saudara nabi, Abu Talib sentiasa memastikan baginda tidak diapa-apakan dari sebarang cubaan untuk mencedera atau membunuhnya.

Malah beliau sanggup menggantikan di tempat tidur Nabi SAW dan begitu juga anak-anaknya lain bagi memastikan tiada cubaan membunuh ketika baginda sedang tidur.

Dalam masa yang sama juga dikatakan kafir Quraisy ini sanggup menawarkan kepada baginda tidak sahaja termasuk pangkat, kedudukan, harta malah akidah juga.

Dalam suatu peristiwa baginda dipanggil untuk hadir dalam persidangan kafir Quraisy di Dewan Nadwah dan ditawarkan untuk berkongsi akidah. Sekalipun tawaran itu sebenarnya begitu berat, tidak memberikan faedah apa-apa kepada mereka sendiri namun mereka terpaksa tawarkan asalkan sahaja Rasulullah tidak lagi menjadi ancaman.

"Wahai Muhammad sudah bermacam-mcam kami tawarkan kepada kamu tetapi tidak satu pun yang kamu setuju dan terima. Sekarang ini kami hendak membuat tawaran lagi, tawaran ini berat bagi kami. Tetapi mudah-mudahan kita dapat sepakat.

"Kami lihat engkau bermati-matian dengan agama kamu, kami ingin berseru kepada kamu supaya kita selesaikan masalah antara kita.

"Iaitu engkau sembah Tuhan kami sehari dan kami sembah tuhan kamu sehari, berselang-selang," kata mereka.

Tentu Rasulullah sekali-kali tidak akan menggadaikan maruah agama itu dengan tawaran yang sebegitu. Baginda terus menolak dengan tegasnya.

"Bagaimana kalau kami sembah tuhan kamu selama seminggu tetapi kamu sembah tuhan kami cukup hanya satu hari dalam seminggu," kata mereka.

"Tidak!," jawab Rasulullah.

"Bagaimana pula dengan tawaran berikut yang tentu sama sekali mudah untuk engkau lakukan berbanding berat kepada kami untuk menerimanya.

"Iaitu kami sanggup sambah tuhan kami sepanjang tahun tetapi cukup sehari dalam setahun itu untuk kamu menyembah tuhan kami pula," pinta mereka.

Permintaan mereka itu tetap ditolak mentah-mentah oleh baginda. Baginda tidak berkompromi dalam soal akidah. Tidak seinci pun baginda mengalah untuk berpaling daripada menyembah Allah sekali pun mereka dikatakan akhirnya dapat menerima Islam.

Lalu kaum kafir Quraisy benar-benar kebingungan sedangkan seorang demi seorang meninggalkan patung berhala dan lebih tertarik memeluk Islam.

Akhirnya dengan tidak ada cara lain, mereka berbincang dan bersetuju untuk melancarkan gerakan memboikot Rasulullah.

Boikot atau pemulauan, dianggap sebagai pembunuh dalam senyap yang diharapkan dapat 'mengajar' baginda.

Ikuti seterusnya bagaimana peritnya hidup baginda sehinggakan ada di kalangan kaum keluarga terpaksa makan rumput-rumput kering!

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...