terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 25, 2010

Bukan niatku jual anak...'


KETIKA diwawancara, berulang kali wanita yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor ini menafikan pernah wujud niat di hatinya untuk menjual anak.

Menyalahkan desakan hidup atas segala perbuatan lampau, apa yang nyata wanita ini telah 'kehilangan' lima daripada enam anaknya.

Kelima-lima anaknya itu diserahkan secara suka rela untuk dipelihara oleh orang lain dengan diberikan sedikit 'imbuhan' untuk dia meneruskan hidup.

Berpendidikan hanya setakat darjah satu, Ayu (bukan nama sebenar) yang merupakan anak tunggal dan kematian ibu bapa memberitahu, sebagai seorang ibu, apa yang diharapkan hanyalah yang terbaik untuk anak-anak.

Bercerita lanjut, Ayu, 52, memberitahu, dia pertama kali dinikahkan ketika berusia 17 tahun. Jodohnya adalah seorang lelaki berusia 51 tahun, berasal dari Bagan Datoh, Perak.

Tidak sampai tiga bulan berkahwin, suaminya itu meninggal dunia. Perkahwinan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki.

''Anak ini saya jaga dan pada umur enam tahun saya masukkan ke asrama anak yatim yang dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana tidak mampu untuk menjaganya.

''Semenjak itu saya tidak berjumpa dengan anak lelaki saya itu sehinggalah baru-baru ini apabila kami dipertemukan semula,'' katanya yang memberitahu anak lelakinya itu telah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri.

Beberapa tahun kemudian, pada usia 21 tahun, Ayu dipertemukan pula dengan seorang pemuda berusia 25 tahun dan mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu.

Akibat perkenalan yang singkat dan terburu-buru, Ayu tidak mengetahui rupa-rupanya suaminya itu adalah seorang penagih yang sanggup mencuri untuk mendapatkan najis dadah. Suaminya juga seorang yang panas baran dan cepat 'naik tangan'.

Usia perkahwinan hanya bertahan selama dua tahun sebelum suaminya yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor ditangkap dan kemudian dipenjarakan atas kesalahan dadah.

''Keadaan kehidupan saya pada ketika itu sangat terdesak. Saya tidak bekerja, suami pula dalam penjara, keadaan saya tidak terurus.

''Ketika bersalin di hospital seorang insan dari Klang ingin mengambil anak saya sebagai anak angkat apatah lagi dia sendiri tidak mempunyai anak,'' ujarnya.

Lantas tanpa berfikir panjang Ayu memberikan anak itu kepada pasangan suami isteri terbabit dengan harapan nasib si anak akan terbela.

''Apabila anak itu dihulurkan, saya diberikan beberapa ratus ringgit. Katanya sebagai duit ubat. Pada mulanya saya enggan mengambilnya, tapi akhirnya saya ambil juga duit itu untuk membiayai kehidupan saya,'' katanya perlahan.

Selepas bercerai dengan suami kedua, ditakdirkan seorang kenalan lama membawa Ayu ke Port Dickson, kononnya untuk dicarikan kerja, tanpa mengetahui rupa-rupanya dia ditipu dan 'dijual' dengan harga RM15,000 di sebuah hotel.

Bermula saat itu kehidupan Ayu dikenali sebagai pelacur. Pernah terfikir untuk melarikan diri, namun atas dasar tidak tahu hendak ke mana dan apa yang boleh dilakukan untuk mencari rezeki dia meneruskan pekerjaan itu.

Akibatnya, Ayu mengandungkan anak yang ketiga.

''Saya melahirkan seorang bayi perempuan yang comel. Ketika di hospital, kenalan lama saya itu datang dan mengambil anak saya cara paksa.

''Katanya dia akan memberikan anak itu kepada ibu mertuanya di Ipoh atau kepada orang lain yang mahukan anak angkat.

''Selebihnya saya tidak tahu, saya rasa anak saya itu mungkin telah dijual kepada orang lain,'' ujarnya sebak.

Tidak serik-serik lagi, pada usia 35 tahun, Ayu mengandung buat sekian kalinya.

Pada ketika ini dia menjalankan aktiviti pelacuran secara sendirian. Dia menjalankan aktivitinya di Kuala Lumpur. Selain kegiatan pelacuran dia juga mencari tin dan botol untuk dijual.

Ayu menyewa sebuah bilik dengan segala kelengkapan ditanggung oleh pemiliknya, seorang wanita berketurunan Sikh.

''Saya bertuah kerana kali ini saya mendapat anak kembar perempuan. Tapi saya serahkan pula kedua-dua anak saya itu kepada pemilik bilik yang saya sewa apabila dia merayu hendak membela kedua-dua anak saya.

''Memandangkan sudah termakan budi, anak yang saya sempat bela selama sebulan itu saya serahkan kepada wanita ini dan dia memberi saya RM500,'' katanya.

Bagaikan tahu apa yang berada di benak penulis, Ayu menegaskan bahawa wanita itu sudah memeluk Islam, tetapi secara rahsia tanpa pengetahuan keluarganya.

''Saya tahu anak saya itu pasti dijaga dengan baik kerana wanita itu seorang yang baik. Saya juga tahu di mana dia tinggal dan ada waktunya saya berkesempatan melawat mereka ketika kecil,'' jelasnya.

Namun dengan perlahan Ayu memberitahu bahawa dia mendapat tahu kedua-dua anaknya itu kini ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat apabila wanita yang menjaganya telah meninggal dunia.

Seterusnya anak lelaki bongsu dilahirkan ketika dia berusia 44 tahun. Anak itu diberikan kepada seorang kenalan dari Kedah yang kononnya mahu menjaga anaknya.

Ayu diberi sagu hati sebanyak RM400.

''Saya dapat tahu ketika anak saya masih kecil, kenalan ini turut membawa anak saya ini ke sarang penagih untuk membeli dadah.

''Saya terus berjumpa dengannya untuk mendapatkan kembali anak saya.

''Tetapi pada pertemuan itu saya telah dipukul dan ditendang serta diberi amaran agar tidak mengambil tahu urusan anak itu lagi.

"Sekarang pada usia sembilan tahun, saya dengar ibu kenalan ini telah membawa anak saya ke Kedah untuk dijaga,'' katanya.

Pasrah dengan keadaan, Ayu berkata, apa yang dilakukannya pada ketika itu adalah untuk kebaikan anak-anaknya agar menjadi manusia lebih berguna daripada dirinya.

''Saya bukan hilang pertimbangan. Saya mahu supaya mereka dijaga dengan baik, berpendidikan, tidak jadi macam saya. Jual diri untuk mencari sesuap nasi,'' katanya.

Biarpun sedikit kesal, namun Ayu pasti perbuatan yang dilakukannya adalah berdasarkan niat yang baik.

''Jangan sesekali menuduh saya menjual anak, saya bukan begitu,'' katanya.

Apa pun, sebagai ibu, pasti sesekali dia teringatkan anak-anaknya. Apabila ditanya tidak inginkah dia bertemu anak-anaknya.

Jawabnya: ''Biarlah. Mereka semua sudah pergi dari saya. Lagi pun saya tidak tahu di mana mereka berada.

''Apa yang saya harap dan doakan selalu ialah kesejahteraan mereka buat selama-lamanya. Biarlah mereka jadi 'manusia'.

''Walaupun ada di antara mereka tidak tahu siapa ibu yang mengandungkan mereka, itu mungkin lebih baik. Lebih baik untuk kehidupan mereka.

''Mereka sudah ada kehidupan sendiri. Biarlah kekal begitu.''

Ayu kini menghabiskan sisa-sisa kehidupannya dengan memperbanyakkan amal jariah dan mendalami ilmu Islam di sebuah pusat kebajikan di ibu kota.

Oleh ROSMAH DAIN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...