terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 25, 2010

Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan . Pelayan bersongkok, tudung bukan tanda restoran halal

PEKERJA wanita memakai tudung manakala lelaki bersongkok menjadi pelayan di restoran atau kopitiam yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di seluruh negara sudah menjadi pemandangan biasa. Rata-rata restoran itu pula diletakkan logo halal atau tulisan ‘Halal’ selain frasa ‘Ditanggung Halal’ bagi meyakinkan orang ramai bahawa premis mereka menjual makanan halal.

Pengusaha juga bijak mengelirukan pelanggan dengan menggaji pekerja asing Indonesia dan Bangladesh, kemudian meminta mereka memakai tudung dan songkok supaya lebih nampak Islam. Justeru, tanpa syak atau ragu, orang Islam pun menikmati makanan di premis berkenaan kerana yakin restoran itu halal tanpa mempersoalkan benarkah makanan yang dihidangkan disediakan secara halal dari semua sudut.

Selain itu, makan, minum dan ‘melepak’ di kopitiam serta restoran 24 jam yang kebanyakan menyediakan ‘wi-fi’ percuma mampu menarik pelanggan sehingga menjadi trend kepada generasi sekarang tidak mengira bangsa. Sekali lagi status halal makanan di premis itu dipersoalkan. Tetapi sejauh mana keprihatinan umat Islam terhadap status halal itu? Apa yang dikesali, fenomena ini tidak begitu mendapat perhatian pihak berkuasa. Penguat kuasa seolah-olah ‘menutup mata’ dengan membiarkan premis beroperasi tanpa membuat pemeriksaan secara menyeluruh. Kelonggaran penguatkuasaan terhadap status halal dan kedangkalan orang ramai terhadap perundangan Islam menjadikan isu itu semakin berleluasa.

Sebenarnya penguatkuasaan berhubung status halal termaktub dalam Akta Perihal Dagangan 1972/Perintah Perihal Dagangan Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975/ Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975. Namun sejauh mana akta itu dikuatkuasakan? Apakah ada kerjasama pelbagai agensi untuk menyerbu premis yang disyaki tidak mematuhi akta itu?

Akta itu boleh dijadikan asas sebagai perlindungan kepada peniaga atau pengguna daripada amalan perdagangan tidak sihat. Ia merangkumi penggunaan perihal dagangan palsu atau mengelirukan berhubung harga dan barang serta pernyataan palsu yang mengelirukan berhubung perkhidmatan, tempat tinggal dan kemudahan. Perbahasaan ‘Halal’ adalah antara perihal dagangan bagi maksud akta ini.

Penggunaan perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’, ‘Makanan Islam’ dan sebagainya termasuk dalam bentuk logo oleh premis perniagaan tidak diwajibkan mengikut undang-undang sedia ada. Bagaimanapun apabila perbahasaan ‘Halal’ atau seumpamanya itu digunakan terhadap makanan, ia hendaklah dimaksudkan bahawa makanan itu boleh dimakan orang Islam termasuk tidak mengandungi apa-apa bahagian binatang dilarang atau tidak disembelih mengikut hukum syarak; tidak disediakan, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas daripada sebarang najis mengikut hukum syarak.
Selain itu, penggunaan perbahasaan itu tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya melainkan mematuhi perkara digariskan, sebaliknya menggunakan logo persijilan halal yang keluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) dan pihak badan Islam diiktiraf.

Sesiapa yang menjual makanan dengan perbahasaan ‘Halal’ sedangkan ia berlawanan dengan kehendak itu adalah melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh dikenakan sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya. Penalti untuk syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000 bagi kesalahan kali pertama dan kesalahan kedua dendanya RM500,000. Justeru, dengan kuasa yang ada, sepatutnya anggota penguat kuasa bertindak tegas dalam setiap operasi.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berpendapat tindakan sebilangan pengusaha restoran yang memperdagangkan ‘Halal’ bukan saja mempersendakan Islam malah tidak menghormati umat Islam. Taktik itu juga dilihat amat kotor untuk mengelirukan masyarakat.

Oleh Jami’ah Shukri


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...