terima kasih buat kalian semua..

Sunday, March 7, 2010

Duit Baitulmal untuk siapa


KISAH yang dibawa oleh Mohd. Haziq 31 Januari lalu tentang bantuan Baitulmal sungguh berkesan dan terlekat di hati saya hingga kini, sebab ia memang ada kena mengena dengan keadaan hidup keluarga saya sendiri.

''Bukan saya nak salahkah pihak Baitulmal, tetapi para petugasnya juga orang yang tidak sepatutnya menerima bantuan zakat Baitulmal. Memang saya tak tahu cara bagaimana bantuan diberikan oleh Baitulmal, tetapi saya nak tahu apakah ketegori mereka yang sepatutnya boleh dapat bantuan tersebut.'' Demikian cerita Norsyuhadah dalam e-melnya dan ketika beliau menceritakan dengan panjang lebar di telefon baru-baru ini.

''Sebab saya rasa amat pelik bagaimana sepasang suami isteri yang masih muda umur belum pun mencecah 40 tahun tetapi dapat bantuan Baitulmal? Adakah kerana dia tidak bekerja. Persoalannya mengapa dia tidak mahu bekerja! Atau alasannya anaknya ada lima orang? Sepatutnya anak ramai itulah dia mesti rajin bekerja. Kerana itu sudah menjadi tanggungjawabnya yang hakiki.

''Bila saya tanya persiapan sekolah anak-anak, dia kata: ''Usah bimbang nanti zakat bagi bantuan.'' Bila tanya kenapa tak bekerja? ''Orang Baitulmal akan bagi bantuan. Bila saya kata itukan untuk orang susah? Dia kata dia pun susah duduk rumah PPR.

''Pada pandangan saya dia bukan susah, tetapi malas nak bekerja, dia lebih senang duduk belengkar di rumah dan mendakwa dirinya susah, minta bantuan Baitulmal. Setiap 5 atau 6 hari bulan dia awal-awal lagi beritahu nak pergi cucuk kat bank sama ada Baitulmal dah masukkan duit ataupun belum.

''Kalau terlambat mulalah membebel, orang Baitulmal tak buat kerja, malas, mereka tak tahukah hidup dia susah perlukan duit buat belanja, pada dia dapat lebih RM400 itu dah cukup besar untuk dia buat belanja sara hidup anak beranak.

''Dia juga dengan bangga beritahu anak-anaknya juga dapat bantuan duit tusyen dari Baitulmal, jadi hidupnya memang tak susah, semuanya dibantu. Cuma tak senang dan kaya aja macam orang lain. Dalam susah macam tu pun dia boleh pakai kereta walaupun kereta terpakai, bab bayar sewa rumah dia tak ambil peduli.

''Sikapnya memang menyusahkan hati kami suami isteri, sebab itu saya tawarkan kepadanya untuk bekerja dengan syarikat kecil kami bantu pekerja jadi tukang cat rumah. Malangnya dia tak macam orang nak bekerja. Pekerja lain jam 8 dah mula berkumpul dan bekerja. Dia jam 10 masih di rumah. Buat kerja sejam dah berhenti makan. Sedangkan pekerja lain masih habiskan kerja.

''Perbuatannya menyakitkan hati dan mata pekerja kami yang lain. Dia ambil kesempatan kerana mengaku saudara jadi tak payah buat kerja. Nak makan gaji buta. Sikapnya membuatkan kami menghadapi banyak masalah dengan pekerja lain, mulalah mereka menyindir dan ada pulak yang bagi pelbagai alasan untuk datang lambat.

''Akhirnya kami terpaksa berhentikan dia kerja sebab setiap awal bulan seminggu dia tak tak mahu kerja sebab sudah dapat duit bantuan zakat Baitulmal. Buat apa susah bekerja.

''Isterinya pun malas berusaha sedangkan ramai jiran tetangga mencari orang untuk menjaga anak, dia tak mahu ambil peluang cari duit. Sering beri alasan banyak kerja nak jaga 5 orang anak. Sedangkan anaknya yang kecil berusia 4 tahun, yang sulung dah darjah enam. Sesungguhnya mereka suami isteri memang malas.

Malas

''Kawan baik saya yang bekerja juga bercerita yang sama, katanya ada jirannya suami isteri masih muda juga tak mahu bekerja tunggu duit zakat Baitulmal. Bukan tak ada kerja yang sesuai, tapi mereka malas. Alasannya kalau bekerja pun gaji tak sebanyak mana, jadi lebih baik tak bekerja minta duit Baitulmal aja.

''Seorang lagi kawan saya bercerita jiran adiknya tinggal di sebuah apartmen, di kawasan Ampang kerjanya menjaga 3 orang anak jiran yang bekerja. Tinggal bersamanya ibu mertuanya yang berusia 56 tahun. Tapi dia tak tinggal tetap. Dia cuma datang awal bulan untuk ambil duit Baitulmal.

''Lepas dapat duit dia balik kampung atau berjalan ke rumah anak-anaknya yang lain sekitar KL yang boleh dikatakan hidup mereka senang kerana bekerja tetap yang boleh memanggung kehidupan emaknya yang seorang itu, tanpa duit Baitulmal.

''Apa yang menyakitkan hati emaknya gembira dapat duit Baitulmal yang dia dapat sebanyak RM300 sebulan kerana dia memilih wakil rakyat yang ada sekarang, yang didakwanya baik, kalau kekal MP yang lama pasti dia tak dapat. Katanya dia akan terus sokong wakil rakyat itu untuk terus dapat bantuan sampai dia mati itu janji mereka.

''Sebenarnya apa yang saya lahirkan ini bukan kerana cemburu mereka dapat duit zakat Baitulmal dan saya tak dapat. Sebaliknya saya lebih gembira jadi pembayar zakat. Harapan saya pihak Baitulmal akan memberikan bantuan zakatnya kepada orang miskin, menanggung anak-anak atau ahli keluarga cacat, gila, keluarga yang berpenyakit teruk, berpenyakit melarat yang tidak membolehkan mereka keluar bekerja.

''Atau membantu mereka yang miskin tetapi berpenyakit strok, sakit buah pinggang yang terpaksa menjalani dialasis ataupun berpenyakit jantung yang memerlukan pembedahan segera sedangkan mereka tak mampu.

''Saya harap sangat para pegawai Baitulmal jalankan siasatan, turun padang lihat sendiri kehidupan orang yang dapat duit zakat itu apakah mereka benar-benar susah atau sebaliknya. Kalaupun nak bagi bantuan jangan lagi dimasukkan terus ke akaun bank mereka, sebab anda tak tahu dan tak kenal siapa mereka sebenarnya.

''Pada pandangan saya jika Baitulmal terus menjalankan kerja seperti ini, secara tidak langsung mereka menggalakkan masyarakat Melayu kita yang beragama Islam ini jadi manusia peminta sedekah, suka meminta-minta dan pemalas berusaha apa lagi bekerja.'' Demikian cerita Norsyuhadah panjang lebar.

Memang benar sampai bila kita mahu masyarakat kita jadi masyarakt pemalas dan suka meminta sedekah. Akhirnya negara ini dipenuhi oleh pendatang yang rajin bekerja merebut pelbagai peluang yang ada dan jadi kaya raya. Lepas itu kita marah mereka kaya kerana kita tak kaya. Jangan salahkan orang lain kalau diri sendiri miskin?

1 comment:

  1. Berita Gempar...
    Sepandai-pandai kalentong...akhirnya anak Toyo ditangkap....baca seterusnya disini

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...