terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 19, 2010

Hanya 20,000 ayam proses diyakini halal

JOHOR BAHRU 18 Mac - Hanya 20,000 ekor ayam proses di bandar raya ini diyakini suci dan halal manakala 180,000 ekor lagi belum diketahui statusnya berikutan kegagalan pemborong menghantar ayam ke Pusat Memproses Ayam (CPC) Pandan di sini untuk diproses mengikut hukum syarak.

Pengurus Pentadbiran dan Korporat CPC, M. Nazir Harasad berkata, hanya ayam dari Pasar Borong Pandan, Pasar Kampung Melayu, Pasar Awam Larkin, Pasar Dahlia, Pasar Tebrau, Setia Indah dan beberapa syarikat tempatan lain yang menghantar ayam untuk diproses di CPC manakala selebihnya tidak berbuat demikian.

Sebelum ini, katanya, kerajaan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Johor, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar sebulat suara meletakkan syarat semua pemborong dan pembekal perlu menghantar ayam ke pusat memproses di sekitar negeri ini bagi tujuan memudahkan pemantauan berikutan banyak pusat sembelih gagal mematuhi hukum syarak.

"Pusat ini beroperasi selama 12 jam sehari dengan pekerja seramai 80 orang termasuk 11 jurusembelih bertauliah terdiri daripada penduduk tempatan.

"Kesemua jurusembelih terlebih dulu menghadiri kursus berkaitan termasuk kursus pengendalian makanan bagi memenuhi kehendak pihak berkuasa seperti Jabatan Agama, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar ," katanya pada sidang akhbar di Hotel Pandan City di sini hari ini.

CPC Pandan dibina dengan kos kira-kira RM17 juta menerusi projek usahasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Mahabuilders Sdn. Bhd. serta Triton Worldwide Sdn. Bhd. dan ia merupakan satu-satunya hab proses ayam halal pertama milik kerajaan di Malaysia.

M. Nazir berkata, CPC bukan sahaja dilengkapi pelbagai prasarana dan teknologi canggih dari Eropah, malah menyediakan perkhidmatan penyembelihan dan pemprosesan setempat mengikut hukum syarak dan piawaian pihak berkuasa.

Selain itu, setiap ayam yang siap diproses akan diletakkan label dan logo CPC pada kepak bagi membolehkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan apabila diperlukan.

"Kami akan pastikan setiap kapasiti pengeluaran ayam di pusat ini dilengkapi dengan label yang lengkap dengan tarikh penyembelihan selain logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...