terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 16, 2010

Haramkan jejaka Lombok?



KISAH jejaka Lombok yang melarikan gadis di negara ini kerap menjadi antara tajuk utama di dada akhbar tempatan kebelakangan ini. Meskipun bukan perkara baru dan pernah didedahkan sebelum ini, namun isu itu kembali hangat, lantaran beberapa kes yang terjadi.

Terbaru, cerita 'kehebatan' jejaka Lombok tidak terhad kepada cinta gadis remaja sahaja tetapi turut mensasarkan golongan wanita berumur.

Pada 12 Mac lalu, dilaporkan seorang janda anak tiga dari Kampung Abau, Mukim Padang Temak sanggup berpisah dengan keluarganya demi cintanya pada jejaka Lombok.

Berikutan itu, ramai mengaitkan kes wanita Malaysia lari mengikut jejaka Lombok dengan pelbagai andaian termasuk kononnya warga asing itu memiliki sifat romantik, penyayang, setia, pandai mengambil hati dan sebagainya.

Apa pun tiada yang dapat menjelaskan punca perkara ia berlaku. Namun yang pasti, gadis di negara ini, tetap tertarik meskipun tahu taraf kehidupan di Lombok adalah sukar.

Bimbang dengan perkara itu berulang, ada pula yang mencadangkan agar mengharamkan lelaki Lombok memasuki dan bekerja di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semua pihak harus mengakui bahawa negara bergantung kepada tenaga warga asing.

Bagi yang berasal dari Lombok, mereka amat diperlukan di sektor perladangan khususnya kelapa sawit yang luasnya beratus ribu hektar di seluruh negara.

Ini kerana mengikut sejarahnya, warga Lombok telah terlibat dalam pertanian dan pengeluaran kelapa sawit sejak sekian lama.

"Lebih 90 peratus daripada mereka yang bekerja di ladang kelapa sawit di negara ini, berasal dari Lombok. Mereka lasak dan mahu bekerja di ladang-ladang berbanding dengan warga lain.

"Malah, jika diberi tugas untuk menurunkan buah sawit (memetik) kepada warganegara lain, belum tentu ada yang boleh melakukannya," katanya.

Sebagaimana Lombok, tenaga kerja asing dari negara lain juga mempunyai pengkhususan seperti Vietnam di sektor perikanan dan pertanian.

Warga Myanmar pula di sektor pembuatan dan perkilangan dan sebab itulah, mereka banyak ditemui di Lembah Klang.

Abdul Rahman berkata, menyedari bahaya untuk bergantung kepada hanya negara tertentu, Malaysia kini menyerap lebih banyak rakyat Bangladesh untuk bertugas di ladang kelapa sawit.

Ini kerana, warganegara itu hampir sekuat dan selasak mereka dari Lombok.

"Ia akan dilakukan secara perlahan-lahan untuk mengelakkan kita bergantung kepada hanya tenaga buruh dari negara tertentu.

"Sungguhpun begitu, adakah ia dapat menyelesaikan masalah rakyat kita dilarikan oleh warganegara asing," soalnya.

Ini kerana masalah sama mungkin akan terus berlaku kerana rakyat Bangladesh juga tidak kurang mendatangkan masalah sosial di negara ini.

Perlu diingatkan negara pernah pada Mac tahun lalu membatalkan kemasukan warga Bangladesh bagi mengelak berlakunya lambakan tenaga kerja asing.

Berikutan itu, kira-kira 55,000 warganegara tersebut terkandas dan sehingga kini dikatakan masih menunggu masa untuk masuk ke Malaysia.

Menurut Abdul Rahman, pengharaman kemasukan warganegara tertentu tidak dapat menyelesaikan masalah sosial di kalangan rakyat negara ini.

"Banyak faktor yang perlu diambil kira dan bukannya hanya mengambil jalan dengan mengharamkan kemasukan mana-mana warganegara," ujar beliau.

Oleh SHARILFUDDIN SAARI

1 comment:

  1. diorang kebanyakan yg datang sini tak kira Lombok atau dari mana2 pon dah 'isi' dulu...harap kaum wanita kita lebih berhati2

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...