terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 5, 2010

Harga barang naik: Peniaga raja di Malaysia?


HARGA barang keperluan terutama sekali barangan basah seperti ikan, udang, sotong, ketam naik mendadak seolah-olah tidak terkawal.

Penjual barangan basah ini seperti berpakat di antara mereka kerana harga yang dijual seakan-akan sama sahaja.

Bayangkanlah sekilogram ikan kembung kini mencecah RM14 dan sotong pula sudah mencecah RM18 sekilogram dan begitu juga ketam kini harganya RM26 sekilogram.

Tidak kira di mana pun penjualan barangan basah ini, sama ada di pasar besar atau pasar malam dan pusat membeli-belah harganya seolah-olah sudah ditetapkan.

Begitu juga apabila kenaikan gula sebanyak 20 sen sekilogram. Gerai-gerai dan restoran telah menaikkan harga minuman teh tarik dan kopi sebanyak 50 sen lagi, jika dahulu secawan harganya RM1, kini sudah mencecah RM1.50 dengan alasan harga gula naik.

Peniaga seperti ini sepatutnya tidak mengambil kesempatan menjual air minuman seperti kopi dan teh untuk mendapatkan keuntungan berlipatganda.

Diperhatikan peniaga tidak mempamerkan harga jualan mereka seperti yang telah disyaratkan oleh pihak kerajaan dan yang menjadi masalahnya pula ada segelintir pusat membeli-belah yang mempamerkan harga rendah di tempat barangan tertentu tetapi apabila hendak dibayar di kaunter harganya sudah lain.

Ini boleh dianggap sebagai cuba mengeksploitasi harga barang untuk mengelirukan pelanggan dan apabila ditanya mereka akan berpura-pura menyatakan ada kesilapan dan minta maaf.

Sebagai rakyat Malaysia yang mengakui cintakan negara dan bersemangat patriotik dan mencari sumber dengan perniagaan kecil-kecilan tidak akan tergamak untuk mengaut untung berlipat kali ganda dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

Ini kerana sedikit sebanyak ia akan mengundang harga-harga barang lain juga akan turut naik mendadak.

Apabila berlaku sebegitu bukan sahaja rakyat sekeliling akan menerima bahana tetapi juga keluarga kita sendiri akan turut susah kerana sikap tamak tanpa sempadan itu.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...