terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 9, 2010

Haziq berjiwa besar


DARI kejauhan kelibatnya mengundang sorotan mata dengan pelbagai reaksinya. Ada yang terpegun, kagum, simpati dan melopong tatkala melihat ketangkasan dan kesungguhan dua tangan kerdil adik Muhammad Haziq Samrat, 15, 'mengayuh' papan luncurnya.

Tidak pernah berenggang dengan 'kawan baiknya' itu, kehidupan seharian Haziq bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Terpaksa menggunakan tangan bagi menggantikan fungsi kaki tetapi itu bukanlah halangan pencetus kejayaan baginya.

Semangat kental dan gigih yang sekian lama tersemat di sanubari mendorong remaja itu mengatasi segala permasalahan mendatang dengan matang. Di asuh berdikari sejak kecil, Haziq sama seperti insan normal yang lain.

Ibunya, Narimawati Abdul Jalil, berkata Haziq adalah anak yang baik dan mendengar kata. Malahan, tidak susah menjaganya yang kurang karenah dan kuat berdikari sejak dari ‘merah’ sehingga sekarang.

“Cuma masa awal kelahiran makcik sedikit bimbang dan risau memandangkan, tidak pernah berhadapan dengan situasi anak sebegini. Tetapi, kesungguhan dan perkembangan untuk berdikari yang ditunjukkan Haziq sejak berusia dua tahun melapangkan dada ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambahan, Haziq berkebolehan menggunakan dua aset tangannya seperti mula memegang papan luncur ketika berusia dua tahun. Begitupun, beliau tidak terkecuali dilanda demam yang teruk tatkala kecil dan setiap minggu terpaksa berulang alik ke hospital berdekatan.

Cekal dan tabah menghadapi ujian, si kecil ini disarankan mengambil dos ubat yang dibekalkan kerajaan dalam membina antibodi ( daya ketahanan tubuh) yang mantap namun ubat berkenaan harganya mahal.

Sedar akan situasi berkenaan, Haziq berani mengambil risiko dengan tidak memakan ubat berkenaan namun menggantikannya dengan suplemen atau vitamin sebagai alternatif ketahanan badan.

“Apabila makan ubat berkenaan, Haziq akan menjadi lemah dan kurang aktif. Bagaimanapun, keinginan dan semangat yang kuat untuk tidak bergantung pada ubat membantu Haziq kembali lasak dan menjalani aktiviti seperti biasa, “ kata ibunya yang kini berusia 52 tahun.

Pada masa sama, sikap mereka sekeluarga yang tidak pernah membezakan Haziq pula selain sering memberikan tunjuk ajar dan ilmu pembelajaran kehidupan yang berguna banyak membantunya menghadapi cabaran mendatang.

Jika diperhatikan, aspek psikologi cenderung menekankan bahawa nilai sosialisasi berperanan utama dalam pembentukan minda dan perangai seseorang. Jadi, tidak mustahil jika penulis katakan proses sosialisasi yang diterima oleh duta Kolej Masterskill ini, menarik.

“Walaupun Haziq begini, dia pandai berenang, bermain bola, terpilih mewakili tenis peringkat Malaysia dan lain-lain. Abang dan kakaknya banyak membantu dan tidak memanjakan Haziq tetapi mengajarnya berdikari seperti mencampakkan adiknya ini ke dalam kolam renang.

“Haziq dibiarkan lemas dan terkial-kial menyelamatkan diri. Bagaimanapun, kaedah itu membuatkan Haziq cekal dan lebih berusaha. Kini, dia pandai berenang dan seringkali menikmati hidupnya seperti adik-beradiknya yang lain,” kata Narimawati yang juga ibu kepada tujuh anak.

Kelihatan berbeza daripada fizikal dengan kanak-kanak lain seusianya, turut membuatkan Haziq lebih terkenal dan disegani. Acapkali bersiar-siar mahupun keluar membeli-belah, banyak mulut yang ramah menegurnya.

Bagaimanapun, tidak ada yang memperkecilkan bakat mahupun keadaan fizikal yang dianugerahi-Nya itu sebaliknya, ramai lebih cenderung menatang Haziq seperti minyak yang penuh kerana perangainya yang sopan, peramah dan bijak.

“Jiran dan kawan-kawannya tidak pernah menyisihkan Haziq. Sebaliknya, mereka adalah individu yang paling banyak membantunya. Kalau hari cuti, mereka senang mengajak Haziq berjalan-jalan bersama mereka memandangkan Haziq cepat bosan jika tidak membuat sebarang aktiviti, “ kata Narimawati.

Kegiatan lasak yang dijalani seharian dan sikap tidak betah keseorangan secara tidak langsung, menjana IQ dan minda remaja itu. Cemerlang dalam pelajaran dan sukan, Haziq juga dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Maulidur Rasul, tahun lalu.

Banyak membantu

SEKOLAH diibaratkan seperti rumah kedua bagi Muhammad Haziq Samrat. Banyak masa dan tenaga dicurahkan di sekolah tempatnya menimba ilmu bersama kawan tersayang, iaitu Sekolah Menengah Hussein Onn di Cheras, Kajang.

Pernah membintangi beberapa drama tempatan arahan Raja Ahmad Alauddin dan Habsah Hassan beliau tidak pernah mengabaikan pelajaran, sebaliknya muncul meraih gelaran antara pelajar terbaik selain mensasarkan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) .

Bergelar pelajar merangkap Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Haziq banyak melakukan aktiviti selain sering bergerak ke sana sini. Mujur, Haziq mempunyai ramai kenalan yang tidak lekang membantunya tatkala memerlukan bantuan.

“Di sekolah, ramai kawan yang ingin membantu tidak kira dalam pelajaran mahupun aktiviti kokurikulum. Sekiranya tidak mampu melakukan sesuatu perkara sendirian, saya akan meminta bantuan mereka seperti membawakan papan luncur apabila menuruni tangga,” kata Haziq.

Selain itu, kawan-kawan juga adalah teman sepermainannya apabila petang menjengah. Mereka yang akan mengambil Haziq di rumah dengan membonceng motosikal lalu bersama-sama bermain bola di padang berdekatan.

Memandangkan bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi, Haziq tidak terkecuali mengikuti kelas tuisyen di sebelah malam. Menariknya, Haziq ke kelas berkenaan bersama kawan-kawan yang sentiasa sedia membantunya sehinggakan bapanya, Samrat Haji Mekah jarang sekali perlu menghantarnya.

Bercita-cita untuk bergelar usahawan kelak, Haziq amat berterima kasih di atas bantuan, dorongan dan keikhlasan kawan-kawannya.

INFO: Muhammad Haziq Samrat

  • Umur: 15 tahun
  • Pencapaian: Duta Kolej Masterskills, dan Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2009.

  • Oleh Nurul Nadia Abdul Hamid



    1 comment:

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...