terima kasih buat kalian semua..

Sunday, March 28, 2010

Jantung luruh bila terlanggar jalan berlubang


MEMANDU di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur memang sarat dengan cabaran. Justeru setiap pemandu mesti membuat persediaan untuk berhadapan dengan cabaran itu. Apatah lagi di bandar raya seperti Kuala Lumpur. Bukan sahaja pemandu dituntut bersedia dari sudut fizikal, malah kekuatan mental mesti datang seiring.

Adakalanya rutin harian memandu di bandar-bandar besar menyebabkan warga kota lali, tidak kisah dan tidak ambil berat keadaan sekeliling. Mereka juga lali terhadap maki hamun, sikap kurang ajar pemandu juga gelagat pemandu yang terlebih bersopan santun di jalan raya.

Kesemuanya itu terpaksa dilalui dalam keadaan terpaksa tapi rela lantaran bandar- bandar besar menjadi tempat mencari rezeki yang mesti dikunjungi setiap hari. Manakala tarikan di bandar juga menyebabkan ia tidak putus dikunjungi apabila cuti.

Sememangnya sebut sahaja bandar raya terutama yang membawa gelaran ibu negara tidak boleh dipisahkan dengan kesesakan jalan raya.

Tokyo, London, Paris misalnya menitip cerita yang sama. Tidak kurang juga Bangkok, Jakarta dan Manila. Keadaan itu tidak akan ada akhirnya. Pertambahan penduduk, keupayaan membeli dan tumpuan peluang pekerjaan di bandar-bandar besar menyumbang kepada kesesakan jalan raya.

Biar pun begitu tidak bermakna warga kota selamanya akan bersikap tidak peduli terhadap cabaran mengharungi jalan raya. Ada yang stres, tidak kurang juga ‘menderita’ kerana tiada pilihan selain terpaksa memandu untuk ke bandar. Berkait pula dengan masalah sistem pengangkutan awam terutamanya bagi penduduk yang tinggal di pinggir kota tetapi mencari makan di tengah bandar raya.

Selain jalan raya sesak ada cabaran lain yang mesti dilepasi pengguna jalan raya.

Antaranya masalah jalan berlubang, permukaan jalan tidak rata dan penurapan tidak kemas. Walaupun mungkin ada pihak yang memandang remeh masalah tetapi perlu diakui kesannya sangat besar sehingga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Kita pernah mendengar perihal kemalangan jalan raya gara-gara mengelak lubang. Kita juga pernah disogokkan berita tentang kenderaan yang rosak gara-gara permukaan jalan raya berbonggol di sana sini.

Kita bukan bercakap tentang jalan raya di kawasan pedalaman atau luar bandar yang tidak kerap digunakan.

Sebaliknya masalah jalan raya tidak sempurna sering menghantui bandar-bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur.

Boleh saja dikatakan setiap satu kilometer ada saja lubang. Jika sempat mengelak selamat, kalau tak sempat tanggung saja kesan hentakan atau gegaran. Sekali terhentak bolehlah tahan tetapi jika setiap hari ada saja lubang atau kesan penyambungan jalan yang tidak kemas terpaksa ‘dirempuh’ mahu terbarai segala-galanya.

Di Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Jalan Bangsar dan banyak lagi liku-liku jalan berlubang di sana sini sehingga timbul pertanyaan, apa sebenarnya punca semua itu.

Malah jalan-jalan yang menjadi tumpuan pelancong juga mengalami nasib yang sama. Bukan tidak diselenggara, tetapi penyelenggaraan tidak dilakukan dengan sempurna atau tidak mengikut jadual.

Itu belum lagi keadaan jalan raya kecil seperti Jalan Chan Sow Lin, Salak Selatan, Balakong, Seri Kembangan atau jalan-jalan memasuki taman perumahan yang selalu menggoncang badan dan perasaan.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan memindahkan sedikit beban penyelenggaraan jalan raya kepada pihak yang menjadi punca berlakunya keadaan itu.

Misalnya di Jalan Lima, Jalan Chan Sow Lin, keadaan jalan berlubang, berbonggol sehinggakan apabila melalui jalan itu umpama menunggang kuda selalunya disebabkan lori-lori simen yang berulang-alik di situ.

Bukan saja berat lori memberi kesan kepada permukaan jalan malah tumpahan simen menimbulkan reka bentuk baru pada jalan sehingga menyusahkan pengguna jalan raya.

Malah, jalan berhampiran kilang simen berlubang-lubang dan setiap kenderaan terpaksa mengelak ke laluan bertentangan bagi mengelak tayar terbenam ke dalam lubang.

Sepatutnya pemilik pusat pemprosesan pasir atau simen dipertanggungjawabkan atas kerosakan jalan raya yang berkenaan.

Selain itu Jabatan Kerja Raya perlu memikirkan sama ada konsep pembinaan jalan raya yang digunapakai selama ini sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia atau sebaliknya.

Jika sesuai, kaji pula apa puncanya keadaan jalan raya di negara kita berlubang di sana sini. Lebih teruk lagi hari ini turap esok lusa mendap semula. Adakah bahan pembinaan yang digunakan tidak berkualiti? Atau kaedah mencampur simen dan pasir yang tidak telus sehinggakan turapan tar gagal memelihara permukaan jalan.

Rakyat tidak bercakap mengenai projek yang bernilai billion ringgit. Tetapi rakyat terutama yang menunggang motosikal dan memandu kereta kecil mahukan sedikit kesempurnaan di jalan raya. Hal-hal seperti air, elektrik, jambatan dan jalan sememangnya menjadi nadi rakyat kebanyakan yang juga merupakan pembayar cukai.

Sebab itu dalam hal penyelenggaraan jalan raya, pihak yang berkenaan tidak boleh berlengah - kaji segera apa sebenarnya kelemahan kita dan atasi masalah itu dengan berkesan. Jangan sesekali dibiarkan berlarutan lantaran ‘penyakit jalan raya berlubang di sana sini’ kini menjangkiti bandar-bandar besar termasuk di ibu negara.

Oleh Noraini Abd. Razak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...