terima kasih buat kalian semua..

Saturday, March 20, 2010

Jejaka Lombok dianggap wira


Lelaki Lombok akan digelar sebagai ‘pahlawan terhandal’ sekiranya berjaya membawa pulang wanita yang berasal dari luar daerah Lombok. Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap berkata, pegangan itu merupakan tradisi daripada nenek moyang Lombok yang menjadi keagungan masyarakat berkenaan.

Katanya, mana-mana lelaki yang berjaya membawa pulang isteri luar dari daerah akan dihormati dan kemudiannya terus dipanggil sebagai lelaki terhebat.

‘‘Kerana itu, kita sering mendengar lelaki Lombok melarikan anak gadis orang, ia sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada orang kampung bahawa mereka adalah pahlawan.

‘‘Namun, tidak semestinya wanita itu harus dari Malaysia, yang penting perlu luar dari daerah Lombok,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengula punca wanita tempatan yang sering terjerumus dengan ‘cinta Lombok’ dan seterusnya akan dibawa lari oleh kekasihnya ke Lombok, Indonesia.

Mengulas lanjut, katanya, jejaka Lombok sangat dikenali sebagai lelaki yang baik, penyayang, rajin dan berbudi pekerti malah mereka bijak menguruskan kewangan.

‘‘Kerana itu, ramai anak gadis mudah terpikat dengan jejaka dari Lombok ini ekoran mereka tahu dan pakar dalam menambat hati para gadis di negara ini termasuk keluarga si gadis. Mereka tidak mengamalkan ‘ubat guna-guna’, tidak wujud sentimen bomoh.

‘‘Kebaikan mereka boleh dilihat sehingga sanggup membeli barangan yang mahal untuk si gadis seperti telefon bimbit dan minyak wangi yang tentunya sukar ditolak oleh para gadis terbabit,’’ kata beliau.

Ditanya, adakah lelaki Lombok ini benar-benar ikhlas mengahwini wanita dari luar daerah Lombok atau hanya inginkan gelaran pahlawan ekoran ramai wanita tempatan menyatakan bahawa mereka amat tersiksa apabila tiba di Lombok, kata beliau, itu hanya khabar angin sahaja.

Jelasnya, jejaka Lombok sangat menyayangi wanita dan dakwaan wanita tempatan tersiksa adalah kerana tidak biasa dengan aktiviti harian masyarakat Lombok iaitu yang perlu bekerja keras setiap hari untuk bersaing sesama mereka semata-mata untuk mencari rezeki.

‘‘Kita perlu tahu bahawa kehidupan masyarakat Lombok sangat susah, Lombok antara daerah yang paling mundur atau lebih popular sebagai daerah gersang, sehubungan itu, wanita tempatan merasakan mereka disiksa,’’ katanya.

Khairudin menjelaskan, sebenarnya wanita yang berasal dari luar lebih disayangi oleh penduduk di sana berikutan ahli politik, ketua kampung dan masyarakat di sana akan mengenakan hukuman iaitu ‘hukum adat’ (halau keluar daerah) kepada lelaki Lombok sekiranya gagal menjaga isteri mereka dengan baik.

Dalam pada itu, ditanya mengapakah kejadian wanita tempatan dilarikan lelaki Lombok sering berlaku di luar bandar berbanding di bandar, beliau berkata, warga Lombok tidak suka kehidupan di bandar kerana terlalu banyak hiburan.

Katanya, lelaki Lombok gemarkan kawasan kampung bagi memudahkan mereka mencari rezeki ekoran mereka mahir dalam bidang pertanian dan berkebun.

Sehubungan itu, katanya, mereka memilih untuk menetap di kawasan luar bandar yang mempunyai banyak estet dan dusun.

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...