terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 23, 2010

Kami mahu jalan raya!


PENSIANGAN: "Permintaan kami tidak banyak, cuma mahu kerajaan memberi pertimbangan membina jalan raya atau laluan sesuai ke Kampung Saliliran," kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Saliliran dekat sini, Angim Sula, 45.

Beliau berkata, penduduk terpaksa meredah hutan belantara, mendaki lima bukit dan merentasi anak sungai kira-kira enam jam sebelum tiba ke Kampung Sinapar sebagai kawasan terakhir sebelum menaiki perahu ke Kuala Salung, Nabawan.

Katanya, untuk meneruskan perjalanan menggunakan perahu ke Kuala Salung, penduduk kampung memerlukan enam jam dan keadaan bertambah mencabar jika musim banjir melanda. "Itulah laluan kami jika mahu ke pekan Pensiangan atau Keningau. Bagi penduduk kampung, ia mungkin perkara biasa dan dalam dua atau tiga jam sudah tiba ke Kampung Sinapar.

"Bagaimanapun, bagi orang luar khususnya golongan guru atau kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang datang ke sini, keadaan ini agak menyulitkan.

"Kalau ada penduduk sakit dan memerlukan rawatan segera, laluan itu memang tidak membantu. Jika banjir pula, kami tidak dapat bergerak ke mana-mana," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, baru-baru ini.

Perjalanan ke Kampung Saliliran lazimnya mengambil masa dua hari menaiki perahu dari Kampung Kuala Salung, Nabawan, sebelum berjalan antara lima hingga enam jam dari Kampung Kuala Sinapar Pensiangan manakala perjalanan menaiki helikopter mengambil masa 45 minit.
Majoriti daripada 120 penduduk daripada 24 keluarga di Kampung Saliliran berbangsa Murut dan kebanyakannya menjadi petani.

Bekalan air diperoleh menerusi paip graviti atau sungai manakala bekalan elektrik menggunakan generator.

Kampung itu mempunyai sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran yang menempatkan murid Tahun Satu hingga Enam yang dikategori sebagai Pedalaman 3 (P3) dan juga sebuah Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) serta rumah guru.

Kampung Saliliran bersempadanan dengan Kalimantan, Indonesia, dengan hanya kira dua jam perjalanan untuk tiba ke negara berkenaan.

Angim berkata, ketiadaan jalan raya sempurna menyukarkan mereka memperoleh bekalan barangan keperluan dari Pensiangan atau Keningau.

"Kalau sungai naik disebabkan hujan lebat, kami tak berani menyeberang. Jika ada bekalan makanan, syukurlah tetapi kalau tidak sempat menyimpan, kelaparan kami.

"Bayangkanlah jika kami yang sudah berpuluh tahun tinggal di sini pun gerun dengan perjalanan mencabar seperti itu, apa lagi kumpulan guru termasuk dari Semenanjung yang baru tinggal di sini," katanya.

Beliau berkata, kemudahan sekolah juga perlu ditingkatkan termasuk menyediakan asrama supaya murid dari kampung pedalaman tidak tercicir daripada mendapat pendidikan.

Guru berasal dari Kluang, Johor, Hamzah Abdul Kadir, 30, mengakui ada kalanya barang keperluan yang dibeli di pekan rosak kerana terjatuh dalam perjalanan pulang.

"Jika membeli barang di pekan, lazimnya kami menyewa porter untuk mengangkat barang keadaan laluan, tetapi perjalanan meredah hutan dan bukit serta anak sungai menyebabkan ada barang rosak dan pecah.

"Banyak kemudahan belum ada di sini termasuk perpustakaan. Anak-anak tidak ada pusat rujukan dan bahan bacaan bermutu," katanya.

Oleh Suzianah Jiffar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...