terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 18, 2010

Kekalkan Kampung Sri Kempas 1


JOHOR BAHRU 17 Mac - Beberapa orang yang meneroka Kampung Sri Kempas 1 di sini menaruh harapan perkampungan itu dikekalkan seperti sedia ada.

Menurut mereka, dengan pemberian tanah pemilikan sementara (TOL) ia bukan sahaja dapat mengekalkan penduduk asal perkampungan itu malah yang lebih penting kehidupan generasi baru termasuk anak dan cucu mereka terjamin.

Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kampung Sri Kempas 1, Samsudin Tukimin berkata, penat lelah dan jerih meneroka belukar perkampungan ini masih dapat dirasakan sehingga hari ini.

Samsudin, 60, yang merupakan pesara tentera dan kini bekerja memandu teksi berkata, dia meneroka kampung itu pada 1982 dan di kampung itu juga keenam-enam anaknya dilahirkan.

"Alhamdulillah kesemua anak-anak telah membesar, bersekolah dan melangsungkan perkahwinan di rumah bertuah ini.

"Kami bimbang, kerana kalau dilihat di sekeliling perkampungan pelbagai projek pembangunan sedang rancak dilaksanakan.

''Maka kami harap kampung ini tidak dilibatkan dengan sebarang pembangunan," katanya kepada Utusan Malaysia yang mengadakan tinjauan ke kampung itu baru baru ini.

Kebimbangan itu dikongsi sama, Amah Said, 62, yang mahukan kerajaan memberikan TOL dengan segera kepada penduduk kampung itu.

"Kalau tanah ini diambil oleh kerajaan atas dasar pembangunan ke mana kami hendak berteduh, selepas ini. Rumah yang kami bina secara berdikit-dikit ini jika dinilai harganya adalah RM70,000.

"Rasanya dalam usia emas sebegini, saya tak sanggup untuk mendiami rumah flat, maklum saja bila dah tua macam-macam penyakit datang," katanya.

Marfiah Nasri, 53, yang tinggal di Lorong Sawa 1, berkata, inilah satu-satunya tempat tanah tumpah darah bagi tiga anaknya yang kini semua telah berumahtangga.

"Kami di sini hidup dalam suasana harmoni dan keadaan susun atur rumah-rumah di sini juga bukan macam setinggan, tapi tersusun macam Felda.

"Semangat kerjasama dan tolong menolong juga begitu tinggi di kalangan kami. Sokongan kami terhadap kerajaan juga tidak berbelah-bahagi dan tidak perlu diragui," katanya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...