terima kasih buat kalian semua..

Sunday, March 28, 2010

Manusia jenis lain


KISAH kewujudan manusia sentiasa diperdebatkan terutama oleh para saintis dan pakar sejarah Barat. Penemuan fosil manusia membuktikan bahawa manusia telah wujud 3 juta tahun dahulu. Mereka tinggal di dalam gua dan memburu binatang dengan peralatan yang diperbuat daripada batu dan kayu.

Ia dibuktikan melalui penemuan zaman prasejarah yang dikesan oleh ahli-ahli arkeologi dengan penemuan tembikar, tulang, fosil dan peralatan berburu. Hanya pada 3500 sebelum masihi (s.m) sejarah berjaya direkodkan secara bertulis.

Manusia yang wujud pada zaman yang dikenali sebagai zaman paleolitik itu digelar manusia Neanderthal. Ia dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pra-Neanderthal yang wujud antara 600,00 hingga 150,000 tahun, manusia Neanderthal yang hidup antara 150,000 hingga 60,000 tahun yang lalu serta manusia post-Neanderthal yang hidup antara 60,000 hingga 10,000 tahun yang lalu

Manusia pada zaman Post Neanderthal dinamakan Homo sapiens. Mereka lebih bijak dari manusia sebelumnya. Namun kebolehan dan pemikiran mereka tetap terhad seperti menggunakan kulit binatang untuk membuat pakaian. Mereka berupaya menggunakan api untuk memasak, memanaskan badan dan menakutkan binatang.

Pada zaman itu, manusia hidup secara nomad atau berpindah-randah dalam kumpulan kecil untuk mencari makanan dengan memburu binatang, menangkap ikan dan mengutip hasil hutan. Mereka menggunakan batu, kayu dan tulang binatang untuk membuat peralatan memburu selain mempertahankan diri.

Satu perkara yang membantu manusia mengenal pasti sejarah kewujudan manusia purba adalah melalui penemuan fosil-fosil dari zaman purba. Fosil adalah kerangka atau bahagian kerangka baik dari haiwan, tumbuh-tumbuhan serta manusia yang pernah hidup di zaman purbakala. Menurut Teori Evolusi, manusia adalah sebahagian daripada haiwan yang berkembang untuk menjadi pelbagai spesis. Teori Evolusi bermula dari sebuah pertanyaan besar yang sering menganggu pemikiran manusia dari dahulu, iaitu dari mana asalnya manusia. Seperti yang kita sedia maklum Teori Evolusi telah menggemparkan pemikiran manusia.

Antara tokoh-tokoh awal Teori Evolusi yang terkenal ialah J. B. de Lamarck (1774-1829) seorang sarjana Perancis yang juga orang pertama menyatakan kehidupan manusia berkembang dari tumbuh-tumbuhan kepada binatang, dari binatang menuju manusia. Namun, pandangannya pada waktu itu belum lagi mendapat banyak perhatian ramai.

Pastinya tokoh paling terkenal tentang Teori Evolusi ialah Charles Darwin (1809-1882). Dalam bukunya The Origin of Species yang diterbitkan pada 1859, beliau merumuskan semua jenis binatang berasal dari satu sel purba. Namun buku kedua Darwin, The Descent of Man beliau menyatakan binatang yang paling maju, iaitu monyet, sedikit demi sedikit berubah menjadi paling sempurna hingga wujudnya manusia. Pandangan beliau ini diperkuat dengan penemuan tengkorak manusia Neanderthal pada 1856 di Lembah dekat Dusseldorf, Jerman Barat. Manusia Neanderthal menyerupai kera dan manusia. Mereka beranggapan bahawa manusia Neanderthal dan manusia yang hidup kini adalah bersaudara.

Penghijrahan

Secara umumnya pengkaji Barat berpegang bahawa kemunculan manusia bermula di timur Afrika. Manusia pertama yang berhijrah dari sana adalah Homo erectus, kira-kira 1.9 juta tahun lalu. Penghijrahan beramai-ramai kemudiannya berlaku dalam dua gelombang seterusnya. Pertama ia melibatkan golongan Homo rhodesiensis yang berhijrah pada 300,000 hingga 500,000 tahun lalu. Golongan ini juga dikatakan sebagai keturunan asal kepada manusia Neanderthal. Penghijrahan kedua pula membabitkan golongan yang menjadi keturunan manusia sekarang yang dikenali sebagai Homo sapiens. Mereka ini berhijrah lebih kurang 50,000 tahun lampau.

Namun kita semua dikejutkan baru-baru ini dengan penemuan terbaru tulang manusia purba yang di percaya tulang kanak-kanak di selatan Siberia. Manusia ini yang dikatakan berusia 40,000 tahun dikatakan sebagai saudara terbaru kepada susur galur manusia yang mungkin mengakibatkan sejarah kewujudan manusia terpaksa dikaji semula.

Berdasarkan kajian DNA, tulang manusia purba itu langsung tidak menyamai dengan manusia Neanderthal dan Homo sapien. Tulang tersebut yang ditemu di Gua Denisova dikeluarkan pada 2008 dari lapisan tanah yang bertarikh antara 30,000 hingga 48,000 tahun lalu.

Sebelum penemuan ini, secara umumnya hanya manusia Homo sapien dan golongan Neanderthal yang mendiami bumi sejak sekian lama. Namun manusia Neanderthal dikatakan pupus secara misteri yang masih belum mampu dirungkai sehingga kini. Namun penemuan terbaru ini mengakibatkan kita, manusia Neanderthal dan manusia yang ditemui di Siberia berkemungkinan berasal dari keturunan yang sama.

Berdasarkan kajian, manusia Siberia ini mempunyai 400 perbezaan genetik yang membuatkannya berbeza. Kajian mengenai penemuan ini telah disiarkan dalam jurnal mingguan, Nature dan diketuai oleh Johannes Krause dari Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology. Berdasarkan kajian yang dijalankan, kesemua pengkaji yang terlibat menyatakan keghairahan dan kegembiraan mereka kerana manusia yang baru ditemui ini merupakan penemuan terbaru yang tidak pernah dijumpai. Ia juga dilihat bakal mengubah sejarah kewujudan manusia. Yang pasti bagi mereka sehingga kini dari mana asalnya keturunan manusia Siberia ini masih belum diketahui walaupun ia tetap berasal dari Afrika. Namun ia bukan terdiri dari keturunan Homo erectus, Homo rhodesiensis dan Homo sapien. Namun sama ada penemuan ini terbukti benar atau hanya satu lagi teori yang berasaskan kajian dan fakta berasaskan logik akal semata-mata masih lagi satu misteri yang tersimpan rahsia.

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...