terima kasih buat kalian semua..

Monday, March 29, 2010

Nasib guru-guru SAR di Pulau Pinang

TULISAN ini mungkin mewakili guru-guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Pulau Pinang atau kalau tidak pun ia menyuarakan rasa hati saya yang amat mengharapkan simpati. Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir telah menyerahkan jutaan ringgit di Pulau Pinang sebagai imbuhan kepada para iman, guru Takmir dan pegawai masjid. Alhamdulillah.

Ada yang prihatin dengan mereka. Malangnya nasib kami guru SAR tiada siapa yang ambil peduli.

Kami guru SAR dibayar elaun oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) sebanyak RM160 sebulan. Tetapi mulai bulan Oktober 2009 JAIPP telah memberhentikan bayaran elaun tersebut, ini bermakna hingga hari ini sudah lima bulan kami tidak menerima elaun.

Episod malang kami bermula apabila Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan (BPI-JP) memberi bantuan perkapita kepada sekolah- sekolah agama di Pulau Pinang dengan menghantar terus bantuan tersebut ke sekolah-sekolah. Tujuan BPI-JP adalah untuk membantu guru SAR dan sebagai sumbangan bagi menghargai guru-guru ini dalam bidang pendidikan.

Bantuan tersebut tidaklah sebesar mana kerana ia bergantung kepada bilangan murid di sekolah berkenaan. Dapatlah kami guru SAR tambahan di antara RM50 hingga ke RM100 seorang yang berbeza mengikut sekolah. Terima kasih kami ucapkan kepada BPI-JP atas sumbangan tersebut.

Mungkin disebabkan bantuan tersebut diberi secara keseluruhan, maka JAIPP nampak ia suatu jumlah yang besar iaitu antara RM10,000 hingga RM20,000.

Pada tahun 2009 bantuan BPI-JP diterima pada bulan Oktober. Pada tahun ini kami tidak tahu bilakah bantuan BPI-JP akan diterima. Kalau tahun ini bantuan BPI-JP sampai pada bulan Oktober juga bermakna lama lagilah kami terpaksa menunggu.

Jadi JAIPP tentu dapat bayangkan bagaimana keadaan kami hari ini. Kita lihatlah perumpamaan ini. Kalaulah kita biasa beri belanja sekolah anak kita sebanyak RM2 sehari, tiba-tiba ada pula orang yang bersimpati dengan anak kita lalu diberinya tambahan 50 sen. Apakah wajar kita bertindak memberhentikan pemberian belanja sekolah anak kita hanya kerana ada orang lain yang memberi 50 sen itu. Beginilah keadaan kami.

Untuk makluman JAIPP, tindakan BPI-JP adalah semata-mata kerana prihatin mereka terhadap bebanan guru SAR dalam mendidik anak-anak. BPI-JP tidak bercadang untuk mengambil alih peranan JAIPP sebagai majikan guru SAR. JAIPP tetap majikan kami.

Hingga hari ini kami masih setia menjalankan tugas yang diamanahkan dan kami masih melaksanakan arahan JAIPP. Semua ini kerana anak-anak kita.

Suatu ketika dulu ketika Datuk Zahid Hamidi menjadi menteri di JPM, kami dijanji gaji guru agama akan mencapai angka RM1,000 sebulan.

Kini, kenyataan yang kami terima ialah bukan dapat RM1,000, tapi RM160 pun kena potong.

Dengan itu kami merayu kepada sesiapa saja yang boleh membantu menyelesaikan masalah kami ini.


Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...