terima kasih buat kalian semua..

Saturday, March 20, 2010

Orang Asli mahu kemudahan


GERIK 19 Mac - Kira-kira 3,000 penduduk Orang Asli di Perkampungan Dala di sini memohon kerajaan membina jalan raya bagi mengelakkan mereka terus tertinggal daripada arus pembangunan. Penduduk mendakwa, ketiadaan jalan raya bukan sahaja menyukarkan mereka melaksanakan urusan harian, malah membantutkan minat anak-anak ke sekolah kerana terpaksa melalui denai yang sukar.

Perkampungan Dala mengandungi tujuh buah kampung kecil meliputi Kampung Malela 1, Kampung Malela 2, Kampung Sungai Urat, Kampung Tengah, Kampung Untung, Kampung Nangka dan Kampung Sawak.

Walaupun jarak perkampungan tersebut dengan pekan Gerik hanya kira-kira 25 kilometer, namun ketiadaan jalan raya yang sempurna menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa lebih dua setengah jam untuk sampai ke pekan itu.

Selain jalan raya, mereka turut berharap kerajaan dapat menyediakan bekalan air bersih untuk kegunaan harian para penduduk.

Wakil penduduk, Mie a/l Angah, 45, berkata, penduduk sudah buntu kerana sudah beberapa kali perkara itu dibawa kepada pihak atasan, namun usaha untuk memohon kemudahan berkenaan menemui kegagalan.

''Sehingga sekarang masih belum ada jawapan yang pasti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Mie, perkara yang lebih membimbangkan penduduk ialah keadaan laluan sedia ada bertambah teruk akibat pembalakan haram yang semakin menjadi-jadi.

Dia mendakwa kenderaan berat yang melalui jalan tersebut antara punca laluan ke perkampungan berkenaan rosak teruk dan berlopak-lopak.

Selain itu katanya, kemudahan elektrik yang dibekalkan di kampung mereka juga kerap terputus.

''Sumber elektrik di sini menggunakan sistem solar hibrid tetapi yang menjadi masalah ialah ia kerap terputus.

''Bagaimanapun, kami berterima kasih kerana kerajaan menyediakan kemudahan elektrik bagi penduduk kampung," katanya sambil menjelaskan keadaan tersebut menyebabkan ada di kalangan Orang Asli yang tidak mendapat kemudahan itu terpaksa memilih untuk tinggal semula di hutan.

Menurut Mie, akibat ketiadaan bekalan air bersih, penduduk kampung terpaksa menggunakan sumber air daripada tasik berdekatan bagi kegunaan harian mereka untuk membasuh, mandi, minum dan memasak.

''Apa yang dikesalkan, sembilan kanak-kanak Orang Asli pernah mati akibat penyakit taun kerana meminum air tasik berkenaan.

''Ketika itu tiada apa yang dapat kami buat. Akibat masalah pengangkutan dan telekomunikasi, kami tak dapat memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Kesihatan," katanya sedih.

Seorang penduduk kampung, Apong a/l Liman, 40-an pula memberitahu, ramai anak Orang Asli tercicir di dalam pelajaran akibat masalah kekurangan kemudahan asas.

''Kalau selalu tiada elektrik dan air, semangat belajar mereka juga hilang, rumah pula jauh. Tak macam di bandar yang lengkap segala-galanya," kata Apong yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan RPS Perkampungan Dala di sini.

Apong berkata, sistem solar hibrid hanya dapat disalurkan kepada sesetengah kampung dan tidak kepada sekolah yang lebih memerlukan bekalan elektrik tersebut bagi keselesaan murid-murid belajar.

Katanya, janakuasa yang ada untuk menghasilkan elektrik pula sentiasa sahaja rosak menyebabkan murid-murid yang tinggal di asrama semakin hilang semangat untuk mengulang kaji pelajaran.

''Bila tiada elektrik, murid-murid yang tinggal di asrama tidak dapat mengulang kaji pelajaran di waktu malam.

''Ketiadaan bekalan air bersih pula menyebabkan mereka terpaksa mandi di anak sungai berhampiran," jelas Apong.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati masyarakat Orang Asli di perkampungan tersebut hanya bergantung hidup sebagai penoreh getah dan mencari hasil hutan untuk dipasarkan ke pekan.

Disebabkan ketiadaan sistem perhubungan jalan raya yang baik, mereka terpaksa berperahu merentasi tasik untuk tujuan memasarkan getah beku, produk hasil hutan dan membeli barangan keperluan harian.

Oleh WARDAHTUL AIN NAWAWI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...